Tuesday, September 6, 2011

Selasa bersejarah

Hari ini hari Selasa. Istimewanya Raya tahun ini disambut pada hari Selasa. Hari nostalgia. Hari Selasa menghimpun sejarah. Hari yang selalu membuatku terkenang saat mak meninggal dipangkuan hamba. Walaupun sedih hamba bersyukur mak dijemput mudah. Sungguhpun usia mak sudah lebih 83 tahun, mak tak pernah susahkan sesiapa bahkan sampai hujung nyawa mak tetap ceria.  Segala kenangan bersama mak    terpahat dihati sanubari. Mak tersisih dari anak2 sebab mak orang susah. Tidak meninggalkan harta berkoyan untuk anak2 mak berebut. Aku lebih rela mak kembali kepangkuan Allah sebagai orang miskin. Bagiku ilmu peninggalan mak sudah cukup mak bekalkan. Kadang kala manusia lupa, di ciptakan dia diatas untuk apa sebenarnya. Walaupun pada pandangan mata, akal dan hati semua yang ada bukannya datang dari usaha mak maupun bapa, kenapa mesti dia lupa siapa membenarkan dia melihat bulan dan matahari. Segala yang berlaku pada mak semuanya meninggalkan pengajaran paling berharga.. Dalam hidup jangan lekas berputus asa, berputus harap pada yang Esa. Kecekalan mak menempuh segala kesusahan bersama menjadi kenangan paling indah buat kami berdua.

Al Fatihah untuk  ibuku sayang.

Ibu yang cantek luar dan cantek dalam. Mak langsung tak mengeluh pada semua peristiwa yang mengguris perasaan bahkan mak akui mak tak dapat tumpahkan kasih pada anak2 disebabkan  mak banyak tanggungjawab, terbeban sebagai hamba, sebagai isteri dan ibu pada anak2nya ramai, sebab tu kata mak anak2 pun tak kasihkan dia. Ini sudah tidak adil bagi mak. Kesian kat mak!! Apa pun gambaran yang ada mengajarku mengenal erti kasihnya ibu. Bukan harta atau rupa jadi sandaran. Paling digeruni bila kita selalu mengecewakan mak pasti kita tak lari dari hukuman. Di satu masa dan di satu ketika sudah pasti anak2 akan kembali berbuat  perkara yang sama. Bila mak sudah tiada, hanya sesalan meruntun jiwa, sukanya manusia  berpura2. Padahal jelas terpancar semua rahsia hati bila melihat raut wajah2 kusam tanpa seri.

Sayang semuanya sudah terlambat...tak guna dikesalkan lagi. Sampai giliran kita pula yang sudah tua. Masing2 berebut untuk berbaik2 dengan anak2 padahal hakikat hidup sebenar sudah di ajar oleh nabi kita, berbuat baiklah pada ibu bapa nescaya anak2 akan buat baik pada kita. Kerajaan rumahtangga yang ada sekarang, yang berantakan pagi dan petang adakala sampai malam  tak ubah seperti kerajaan Barisan Nasional. Rakyat sudah pandai kecewa, inikan pula anak2 yang menbesar didepan mata. Sudah bijak menjadi hakim yang arif lagi bijaksana.

Selasa muncul lagi hari untuk  kita memeriahkan semula suasana raya  setelah menjalani ibadah puasa enam Syawal. Tahniah pada remaja perempuan  berilmu yang sudah menunaikan qada puasa seiring meraih pahala puasa enam. Pada anak2 muda diluar sana salah satu tips mencari jodoh, carilah yang berilmu dalam berugama. 

Tidak ramai anak gadis yang sanggup mengorbankan nafsu makan sempena hari raya. Kalau dulu amalan berpuasa enam  Syawal khususnya hari kedua raya secara terus, di monopoli oleh wanita2 tua yang dah menopause dan yang sudah hilang selera makan. Alhamdulillah kesedaran sudah menjalar dikalangan para gadis remaja dan wanita tua muda untuk sama2 mengambil peluang menjalani ibadah puasa enam dengan gumbira tanpa mempedulikan juadah2 hari raya yang kaya dengan kolestrol tinggi, lemak berkrim disukai ramai. Sunat berpuasa enam yang muncul setahun sekali datang menyapa pada yang sudi membeli, mengutip keuntungan yang hanya Dia  berhak memberikan nilai sebenar ganjaran.

Zaman tujuh puluhan dulu zaman Jahiliah. Tidak dilatih anak2 secara langsung untuk berpuasa. Ikut suka hatilah nak puasa ke tidak tapi yang pasti anak2 dilarang samasekali untuk makan bersama orang2 berpuasa. Tiada kompromi. Keputusan bapak muktamad. Bertawaflah kamu keliling pinggang mak namun nak jemput makan jauh sekali. Bagi yang memang giat dengan aktiviti luar, dia peduli apa tak makan bersama. Di masjid dia masih berpeluang menjamu selera. Bila dah besar panjang, dia lah otai, dia lah taiko. Orang2 begini, dah pakat jadi orang besar sekarang. Liatnya mereka untuk berpuasa masa muda2  menjadikan mereka orang berguna di hari tua Hanya dia yang meyimpan rahsia kejahilannya ketika muda belia. Kelebihan pada laungan azan.

Berbeza dengan zaman sekarang anak2 yang lima tahun pun sudah rajin berpuasa penuh. Mak bangga giler!! Latih tubi orang dahulu kala jauh bezanya dan memang berbeza tapi impaknya melekat dihati sampai hari tua. Ada sebab rupanya bila tiada yang memaksa untuk berpuasa, menyuruh pun tidak, marah pun tidak. Benarlah kata Nabil...Lu pikirla sendiri!!

Ya tak ya jugak...bukanlah cukup umur berpuasa  pun masa tu. Ikut suka engkaulah nak puasa ke tidak. Janji tak boleh buka sama. Satu penghinaan masa kecik2 amat terasa meninggalkan kesan sampai ke tua. Tanda kasih orang dulu kala tidak melampaui batas. Ada had untuk anak2 tunduk hormat. Bezanya kasih orang dulu zahir tak terucap. Kasih orang sekarang terlebih kasih.  Bila anak2 tak dengar kata, lebih selesa dengan kawan2, mak mula hilang arah, hilanglah nikmat cinta dalam rumahtangga. Nak menumpang kasih jauh sekali. Bermula episod ungkit mengungkit, jeling menjeling, tiada lagi tegur sapa. Bila masing2 merasa bosan terbuka semula lembaran sejarah hitam hidup berkeluarga. Jangan biarkan sejarah silam yang diwarisi turun temurun oleh orang2 melayu berulang dalam rumah tangga kita. Benar kata Dr. Robiah K. Hamzah, didik wanita, terdidik generasi.

Orang putih pula kata,  What you give you get back.

Sama bersepakat cipta bahagia. Kelainan kita cipta, impak maksima kita tempa bagi mengutip segala kemanisan makna berkeluarga. Makna sebenar bila dah jadi mak...harga diri seorang ayah. Ada sebab kita dijadikan kakak, jadi abang dan jadi adik. Kena tunjuk contoh terbaik, berkasih sayang sama rata. Sulong ke bongsu sama sahaja. Apa yang penting, saling bekerjasama. Bila kita baik, orang keliling turut jadi baik. Bagi menebus segala ketidaksempurnaan sayugia  kita yang sedang meniti usia2 emas ini, merebut peluang mengumpul pahala dengan membanyakkan berpuasa sunat sepertimana hadis yang di riwayatkan oleh  Abu Hurairah r.h. 


Rasulullah s.a.w. bersabda : Semua amalan Anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku (sendiri yang) akan membalasnya. 

Hanya dengan berpuasa dan diteruskan berpuasa sunat kita merasakan keyakinan tinggi untuk memantapkan hati. Keistimewaan dalam berpuasa sunat se awal 2 syawal secara terus dari tahun ke tahun membuka tabir kemanisan dalam beramal. Mengenal diri secara hakiki. Menjaga lidah sepanjang hayat. Tunduk sujud mensyukuri nikmat Tuhan, nikmat hidup, nikmat kelapangan, nikmat kesihatan dan segala nikmat yang di pancarkan melalui kehalusan dan kelembutan yang Maha Rahim.

Di kesempatan masih ada, dikala masih lagi diberi peluang menghidupkan semangat Ramadan. Sama2 kita meneruskan bakti murni pada diri sendiri tanpa berlengah lagi. Sebelum dijemput awal atau agak lambat atau pun masih dikira kuat untuk terus menungkat langit, bertanyalah pada hati sejauhmanakah kita sayangkan diri. Kadang2 kita lupa soal hati sendiri, yang meronta2  minta disucikan selalu, hati sering dipenuhi kotoran lalu hati dahagakan perhatian dari tuan empunya badan. 

Sayup terdengar suara hati mohon berselawat ke atas nabi, tanda cintakan nabi cinta paling tinggi. Hati terus membisik minta mengingatkan Dia ketika tuannya susah maupun senang. Hati yang telah lama membenarkan hawa nafsu bermaharajalela, membiarkan syaitan terus bersarang sewajarnya dididik dengan berpuasa.  Bila gabungan hati dan jasad menjadi kuat, hidup tidak gentar menempuh badai, dilanda derita itu jadi nikmat. Sudah sehati dalam  satu jiwa menempah masa depan bahagia. Dunia semakin canggih dengan warna warni iklan serba serbi untuk mengingatkan kita pada jenama mereka sedang hati tidak pernah berubah fungsi, tidak tua dan tidak muda, cumanya hati terus merintih minta tidak lupa pada Pencipta yang Maha Kaya.

Antara doa mustajab minta hati tidak berpaling lagi; 

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami
sesudah Engkau beri petunjuk dan kurniakanlah
kepada kami limpah rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau 
jualah Tuhan yang melimpah2 pemberianNya.

(Al-imran 3:8)






  

No comments:

Post a Comment