Monday, February 28, 2011

Mak serba boleh

Mak bukan anak penoreh tapi bila dalam kesempitan, mak keluar menoreh. Mak bukan anak pesawah tapi sekali sekala mak turun ke bendang. Mak pandai menggemal padi bahkan gemal yang mak buat kemas2 belaka, lain dari yang lain. Kata nenek kerja buat mak guna tangan kiri sebab tu ada gayanya yang tersendiri.

Mak pandai menjahit dan anak-anak mak tak kira laki-laki maupun perempuan semuanya berhari raya dengan baju jahitan mak. Mak ambil upah menjahit nak cari duit lebih tolong bapa. Mak pakar jahit baju melayu. Bapa hanya pakai baju teluk belanga jahitan mak. Soal masak memasak memang bidang keutamaan. Maklumlah nak bagi anak-anaknya yang lapan hidup sihat sejahtera. Kerja buat orang lelaki pun mak boleh sehingga terbina tandas baru untuk kami seisi keluarga.

Berkebun pun bukan main menjadi-jadi tanaman mak. Buah tomato, tembikai, labu dan serba serbi tanaman hidup segar dibelakang rumah. Mak minat tanam bunga. Bunga-bungaan kembang setaman dalam jagaan mak seperti menggambarkan rumah mak ada anak-anak dara. Mak Doyah dikenali dengan mak pada anak yang segak-segak. Pendek kata cukup je umur, anak-anak mak laku macam goreng pisang panas. Ada yang baru cecah lima belas tahun sudah diambil orang. Kadangkala buat mak tak senang. Kalau boleh mak nak anak-anak cerdik sebelum kawin tapi biasalah zaman dulu nenek berkuasa penuh menentukan masa depan anak cucu tambahan pula sidara sunti.. Pantang tok nenek anak dara keluar belajar dan bekerja. Anak bongsu ni terlepas pandang. Sudahlah hodoh, kawin diusia 26 pun sudah dikira agak tua pada zaman itu. Ternyata dicerdikkan dulu sebelum kawin ada baiknya. Persekitaran mengajarku untuk  jadi tabah, sabar dan taat ikut perintah. Cerita puteri bongsu selalu dirundung malang.

Catatan kenangan ini adalah untuk anak cucu yang tak berkesempatan mendengar kelebihan Tok Doyah. Tok yang sama sekali sukar dicari ganti. Tok yang boleh dibawa ke tepi ke tengah. Boleh hidup dalam dunia anak muda dan orang dewasa. Boleh jadi teman untuk berkongsi rahsia cinta. Boleh kupas soal ugama. Baik ilmu feqah maupun ilmu tauhid sudah jadi teras hidup mak. Dengan zikir, sentiasa membasahi bibir membuatkan mak berseri sampai mati. Fikiran mak bergeliga sampai tua. Adakalanya dengan kelebihan yang luar biasa membuatkan anak-anak jadi tak senang sebab mak hanya memandang. What you give, You get back. Mak berani menegur siapa salah siapa benar. Mak tidak kenal anak menantu. Salah tetap salah. Mak bukan berat sebelah.

Mak tak perlu takut sebab mak kata aku tetap mak. Biar anak-anak menyisih namun mak berani kerana mak benar. Ironinya mak paling minat berniaga sebab darah yang mengalir dalam tubuh mak darah bapanya  seorang pedagang. Sebab itu mak berani membuat keputusan hidup di rantau orang. Sayangnya mak tidak mendapat sokongan penuh dari anak-anak. Dengan  rasa sedih tapi sudah jadi tanggungjawab mak memikul amanah, mak kembali untuk berbakti memelihara anak-anak yatim yang diwasiatkan oleh arwah menantu mak. Sejak itu mak bawa rasa kecewa, memendam segala dukalara dalam dada. Sesungguhnya mak bahagia tatkala hidup berniaga.

Begitulah secebis kisah perjalanan hidup seorang ibu, mak yang serba boleh. Berperibadi mulia, pulang ke rahmatullah setelah selesai  menyempurnakan misi hawa dimuka bumi Allah.

Al Fatihah.
 





Friday, February 25, 2011

Ratu hidupku.

Sudah jadi rutin hari Jumaat untuk menziarahi pusara bonda. Hamba bersyukur sangat2 padaMu wahai Allah kerana telah memakbulkan doa hambaMu ini. Aku berdoa biarlah mak mati dulu dari aku supaya aku dapat bersamanya hingga ke akhir hayat dan dapat turut sama membantu mengurus jenazah mak. Aku berdoa lagi agar mak mati dirumah ini. Rumah yang mak telah anggap seperti rumahnya sendiri. Aku pinta lagi padaMu wahai Allah biarlah alamat surat mati mak sama dengan alamat kad pengenalan mak.

Alhamdullillah...itulah antara doa dan harapanku selama ini. Tiada siapa yang tahu hanya Allah. Aku tambah bersyukur lagi bila doaku ini bukan saja telah dimakbulkan bahkan telah diberi ganjaran tambahan. Mak menghembuskan nafasnya dalam pangkuanku yang aku sendiri tak percaya mak sudah tidak bernyawa lagi.
Detik2 inilah yang melekat dalam hati sehingga membuatkan aku yakin ada mesej indah antara hubungan mak dan anak. Betapa aku sedar besarnya pengorbanan seorang mak yang tidak pernah minta apa2 pada anak2  sekadar  menumpang teduh sementara masih bernyawa. Bagi anak2 mak disangkakan miskin kerana tidak meninggalkan walaupun secebis harta. Bagi aku mak paling kaya dengan budi. Mak paling mulia dengan tutur kata, mak hebat dengan pantun seloka dan yang paling manis mak cantik bersih hingga hujung nyawa.

Entah kenapa pagi ini aku sedu sedan dipusara bonda. Pusara bonda tidak ditempah cantik tapi cukuplah sentiasa dikunjungi bila Jumaat bertandang. Sedihnya hati ku bila tiba2 terkenang pada perjalanan hidup mak yang sanggup menjual tanah kampung halamannya, luas dengan tanaman sayur dan  penuh dengan pohon2 rambutan. Hanya dengan satu tujuan. untuk mengubah nasib keluarga.  Di akhir perjuangan mak berani membuat keputusan bergolok gadai meninggalkan kampung laman, merantau ke negeri orang sambil berniaga, menjaja dari rumah ke rumah. Mak seperti  pengembara.

Macam2 yang mak jual. Dodol buatan tangan yang mak masak berkawah2. Bedak sejuk yang mak titik, halus, putih bersih seperti wajah mak yang berseri dengan bedak sejuk. Make over semula jadi. Acar yang mak masak sendiri menjadi kegemaran ramai bila bulan puasa. Ada keropok dan belacan yang mak impot dari Pulau Aman dengan bas xpress.

Masih ingat lagi pagi2 buta kami dua beranak menumpang van surat kabar utusan melayu dari Ipoh ke Pulau Pinang nak buat tempahan belacan dan keropok. Seronoknya aku yang masih kecil dibawa menaiki kereta sarat dengan surat kabar dan majalah. Kecik2 sudah berpeluang  membaca macam2 bahan bacaan. Surat kabar utusan yang baru dan yang lama, yang jawi dan yang rumi. Ada majalah URTV  dan majalah WANITA. Seronoknya tak terkata. Pandainya mereka menulis. Kebetulan abang ipar pemandunya jadi dapatlah kami tumpang dengan rasa selesa. Maafkan kami wahai pengurus akhbar Utusan. Sayangnya orang2 di Utusan sudah tidak sehebat dulu.

Begitulah antara pengorbanan mak menyekolahkan kami adik beradik. Tidak sampai hati sama sekali untuk menidakkan segala pengorbanan mak. Biar berpatah arang, berkerat rotan namun jangan sekali2 ada yang berani mendustakan mak. Biar ramai yang buat baris, seperti biasa, aku sorang2 diri hanya berada di depan mak. Tiada kompromi untuk mengata mak sendiri. Ada yang tidak memahami mak sepenuh jiwa lantaran hidup mereka sudah jadi kaya. Kehadiran mak diusia tua merimaskan hidup anak beranak yang kaya2.. Ada pula yang pandang rendah konon mak tidak punya harta. Mak dipanjangkan usia hingga 83 bukan untuk menguji nasib mak tapi untuk menguji kita anak2. Mak paling bahagia bila pulang tak bawa harta.

What you give u get back. Nabi tak pesan suruh berbakti pada anak2 nanti anak2 pasti berbakti kat kita tapi nabi berpesan buat baik terhadap ibu bapa nescaya anak2 pun buat yang sama.

Susah sangat ke nak faham. Lihatlah segala kepincangan yang berlaku dipersekitaran  gara2 kita tidak meletakkan qaseh dilandasan yang betul. Jangan mengeluh bila anak tak dengar kata, jangan bersedih bila anak dilarikan orang dan jangan pula merana bila suami berpaling tadah...dapat isteri yang tuding jari. Semak semula macamana hubungan kita dengan mak bapa.

Kita patut syukur bila mak tumpang habiskan sisa2 hidupnya bersama kita. Dapat juga mengumpul pahala jika ada. Biarkan mak hias apa saja dalam rumah kita supaya dia tak rasa menumpang dalam rumah kita. Biarkan mak sayangkan cucu2nya yang adakalanya memang double standard. Mak punya pilihan hatinya sendiri untuk menguji kita supaya jangan buat double standard kat anak2. Mak memang jual mahal tak nak duduk dengan anak2 tapi behind the scene, dia bangga bila anak memaksa dengan ikhlas berbahasa.

Ternyata mak memang bijak main sandiwara tapi kita kena ingat itu hanyalah isyarat dari Pencipta yang Maha Berkuasa menyempurnakan sifat keibuan sebagai ujian paling atas bagi insan meraih Qaseh Sayang Hakiki.

Segala kelebihan mak membuat kita tambah sedar betapa hebatnya pula bapa kita ini. Dalam Quran kata perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya. Jika ada yang tak baik kita seharusnya bersyukur kerana salah seorang telah dapat memperbaiki kita.

Tanpa keduanya siapa kita dibumi Allah ini.











Sunday, February 20, 2011

Ahlan wa sahlan

Selamat datang YB Khalil Idham Lim @ Cina Islam wakil rakyat TiTi Serong merangkap Blogger Cina Islam.
Masjid Al Muksinin Kg. Raja mengalu-alukan kedatangan hamba Allah yang dikurniakan taufik dan hidayah menerima Islam dengan sepenuh hati, sepenuh jiwa dan sepenuh rasa tanggungjawab dalam memikul amanah.

Sudah lama saya kepingin benar melihat YB dan mendengar suara YB. Setelah sekian lama  saya mengikuti blog YB dan selalu juga saya meninggalkan jejak-jejak Qaseh saya di sana. Saya sedar YB munkin tidak samasekali menjenguk blog yang tidak sepertinya ini tapi cukuplah posting saya kali ini khusus untuk  mengingati kehadiran YB di masjid kg. raja. Saya tinggalkan jejak ini pada anak cucu yang mungkin satu hari, satu masa berkesempatan meluangkan waktu menghayati Gubahan Qaseh Bonda.

Benar apa yang diperkatakan YB, Cina ada raya cina.  Melayu ada  raya apa?? Ada raya Melayu??  Cina Islam tidak memperkecilkan maruah dan istiadat keturunan nenek moyang bahkan mana yang baik boleh jadi ikutan asalkan tidak lari dari akidah Islam. Cina Islam membuka minda melayu seluas2nya yang Islam itu bukan hak mutlak orang2 melayu semata2. Antara yang terawal memeluk Islam adalah dikalangan bangsa Cina itu sendiri yang berada nun jauh dibenua sana.

Bukan kehendak kita untuk dijadikan kita dikalangan bangsa melayu, bangsa cina bahkan bangsa apa sekalipun. Semua ditakdirkan oleh Allah. Dia yang Maha Berkuasa menghidupkan kita dimana saja untuk kita saling kenal mengenal demi satu ikatan perpaduan.

Mengagumi satu2 ayat kalam suci Tuhan yang ditafsirkan oleh YB, malu rasanya dalam  diri  sendiri dan saya pasti ramai lagi diantara jemaah yang berada dalam masjid kg. RAJA merasakan sama. Kita yang dah lama Islam pun tidak mampu pun untuk mengupas ayat Al Quran. Nak baca dengar lancar  pun belum tentu. Dari kecil cukup pandai Bismillah, bila sudah besar, Islam kita buat  mudah.

Paling lancar baca Fatihah, nak tafsir surah Fatihah??

Walaupun hanya memandang dari jauh, cukuplah dapat mendengar suara YB dengan jelas . Mesej YB  menggerak inspirasi orang melayu jangan hanya pandai berdengki dalam perjuangan Islam. Peristiwa Memali membangkitkan semangat YB sedangkan ramai melayu diluar sana langusng tidak terkesan dengan peristiwa berdarah di Memali.  Orang Melayu  sibuk dengan ketuanan melayu padahal hidup bertuan tak ada pun dalam hadis dan Al Quran. Fitrah manusia hidup berTuhan. Bila sudah tak takut Tuhan takutkan tuan, jadilah seperti  kerajaan yang memerintah sekarang. Tuan buat perkara salah pun tiada siapa berani menegur.  Yang arif dan para ulamak macam melukut di tepi gantang. Sampaikan lagu selimut putih pun di gam untuk siaran. Takutnya dan gerunnya mereka bila Izrail datang memanggil. Dengan Israel, mereka  sanggup terbang bersama berkawan2.

Usia subsidi yang Allah beri bukan untuk meraih sokongan bakti, tapi cukup untuk memperbaiki budi supaya menguntungkan pemberian subsidi.  Bersiap sedia dengan redha bagi menyahut panggilan Ilahi yang akan sampai pada bila2 masa.  Di jemput malaikat dengan Ahlan wa sahlan.

Apa kita bawa pulang sepanjang diberi tempuh matang dalam perjalanan  ini untuk dipersembahkan pada Maha Pencipta.







Tuesday, February 15, 2011

Cinta Klasik

Walaupun tidak pernah bersua, tidak pula dihidupkan dalam zamannya, cinta padanya sudah terpahat dihati. Rindu dendam pada qaseh sayangnya yang suci.

Imam Al Ghazali menggariskan amalan wirid harian dalam mencari ketenangan dan kebahagian hati.  Khusus pada hari Selasa pesan Imam Al Ghazali hendaklah memperbanyakkan selawat pada baginda Rasulullah s.a.w. Sempena Malidur Rasul tahun ini yang jatuhnya pada hari Selasa, hari nostalgia, sudah pasti berselawat menjadi dendangan hati sanubari.

Semakin banyak kita berselawat semakin sebak rasa dijiwa terkenangkan hidup baginda  sebatang kara tanpa Qaseh sayang ibu dan bapa berbanding kita yang mendapat penuh Qaseh sayang kedua orang tua. Setiap kali menghayati selawat, airmata pilu akan mengalir,  terbayang pada anak kecil yang menumpang susu. Bila  dewasa menempuh berbagai dugaan. Di benci, dihina bapa2 saudara. Apa yang dibekalkan hanya sumber kekuatan para sahabat dan Qaseh sayang para isteri dalam harmoni. Tatkala berbuka puasa baginda berkongsi sebiji kurma sedang ada diantara kita yang berbuka puasa dengan hidangan penuh meja.  

Timbul rasa cinta yang amat sangat pada nabi Muhammad s.a.w. Apalah sangat hidup kita ini jika nak dibandingkan dengan kehidupan baginda dan para sahabat. Susah sangatkah kita untuk berselawat bagi menunjukkan betapa Qasehnya kita dan betapa beruntungnya dijadikan kita umat Muhammad.

Antara selawat paling popular adalah selawat syifa'. Penyembuh segala duka lara. Pengubat sukma. Berselawat menghidupkan hati dan sudah pasti hidup jadi tidak bermakna tanpa berselawat. Syahdunya malam ini dengan kemunculan malam 12 Rabiulawal. Gerangan apa yang menyentuh Qalbu sehingga tak tertahan rasa dihati menahan segala sebak didada. Aku kembalikan rasa rindu, rasa hiba  padaMu wahai Allah.

Selawat dan salam semoga tercurah kepada sebaik2 makhlukMu yang terindah, penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas segenap keluarganya serta para sahabat baginda. 

Segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir semesta alam.






Saturday, February 12, 2011

Albert Einstein

" Try not to become a man of success but rather try to become a man of value "

Saturday, February 5, 2011

Alhamdulillah!!!

Syukur pada Allah. Hari ini 5 haribulan 2. Hari ini genap usia hamba 52 tahun. Terima kasih pada insan2 tersayang kerana buat kejutan dengan secret recipe yang very delicious. Di tambah pula dengan rasa yang sungguh istimewa bertemankan hadiah yang menepati impian pada malam 2 Rabiul Awal ini,  Indahnya Hidup bersyariat buku tulisan Dato' Ismail Kamus. 

Memang terlalu indah hidup ini bila kita dapat cinta yang padat. Kita akan dapat rasakan kebahagiaan yang berabad2. Dalam usia2 emas begini apa lagi yang kita harapkan selain dari redha Allah. Segala2nya kerana Allah seperti mana perjanjian kita dalam solat. Inna solati, wanusuki, wamahyaya, wamamati lillahirabbil Alamin. Sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku kerana Allah Taala.

Cukuplah bila kita dapat jadi emak yang baik, yang dapat membahagiakan seisi rumah. Di hargai bila masih bernyawa. Jangan sekali2 jadi emak yang kaya tetapi membiarkan anak2nya menjadi raja manakala bila mak menjadi miskin lantas menghambakan diri pada anak2 yang kaya raya. Na'uzubillah!!

Bila syurga sudah diibaratkan seperti berada dibawah telapak kaki ibu. Adalah menjadi tanggungjawab ibu mempamerkan keindahan suasana dalam membawa anak2 bersama menuju syurga. Bila ibu sudah menunjukkan teladan yang baik pada anak2 mana munkin anak2nya membesar hilang arah tuju kerana hidup ini berpaksikan redha Allah. Untuk meraih redha Allah adalah dengan memenuhi redha ibu bapa terlebih dahulu.

Doa ibu sentiasa mengiringi perjalanan hidup anak2ku Farhana, Izzat, Alif dan Adam. Jadilah anak2 yang baik, anak2 yang sabar, anak2 yang sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah beri dan dapat menunjukkan contoh teladan yang baik.

Terima kasih sekali lagi kerana sudi berkongsi rasa, berkongsi cerita suka duka, segala susah senang  kita tempuh bersama.

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Syukur hamba pada Allah.