Mak bukan anak penoreh tapi bila dalam kesempitan, mak keluar menoreh. Mak bukan anak pesawah tapi sekali sekala mak turun ke bendang. Mak pandai menggemal padi bahkan gemal yang mak buat kemas2 belaka, lain dari yang lain. Kata nenek kerja buat mak guna tangan kiri sebab tu ada gayanya yang tersendiri.
Mak pandai menjahit dan anak-anak mak tak kira laki-laki maupun perempuan semuanya berhari raya dengan baju jahitan mak. Mak ambil upah menjahit nak cari duit lebih tolong bapa. Mak pakar jahit baju melayu. Bapa hanya pakai baju teluk belanga jahitan mak. Soal masak memasak memang bidang keutamaan. Maklumlah nak bagi anak-anaknya yang lapan hidup sihat sejahtera. Kerja buat orang lelaki pun mak boleh sehingga terbina tandas baru untuk kami seisi keluarga.
Berkebun pun bukan main menjadi-jadi tanaman mak. Buah tomato, tembikai, labu dan serba serbi tanaman hidup segar dibelakang rumah. Mak minat tanam bunga. Bunga-bungaan kembang setaman dalam jagaan mak seperti menggambarkan rumah mak ada anak-anak dara. Mak Doyah dikenali dengan mak pada anak yang segak-segak. Pendek kata cukup je umur, anak-anak mak laku macam goreng pisang panas. Ada yang baru cecah lima belas tahun sudah diambil orang. Kadangkala buat mak tak senang. Kalau boleh mak nak anak-anak cerdik sebelum kawin tapi biasalah zaman dulu nenek berkuasa penuh menentukan masa depan anak cucu tambahan pula sidara sunti.. Pantang tok nenek anak dara keluar belajar dan bekerja. Anak bongsu ni terlepas pandang. Sudahlah hodoh, kawin diusia 26 pun sudah dikira agak tua pada zaman itu. Ternyata dicerdikkan dulu sebelum kawin ada baiknya. Persekitaran mengajarku untuk jadi tabah, sabar dan taat ikut perintah. Cerita puteri bongsu selalu dirundung malang.
Catatan kenangan ini adalah untuk anak cucu yang tak berkesempatan mendengar kelebihan Tok Doyah. Tok yang sama sekali sukar dicari ganti. Tok yang boleh dibawa ke tepi ke tengah. Boleh hidup dalam dunia anak muda dan orang dewasa. Boleh jadi teman untuk berkongsi rahsia cinta. Boleh kupas soal ugama. Baik ilmu feqah maupun ilmu tauhid sudah jadi teras hidup mak. Dengan zikir, sentiasa membasahi bibir membuatkan mak berseri sampai mati. Fikiran mak bergeliga sampai tua. Adakalanya dengan kelebihan yang luar biasa membuatkan anak-anak jadi tak senang sebab mak hanya memandang. What you give, You get back. Mak berani menegur siapa salah siapa benar. Mak tidak kenal anak menantu. Salah tetap salah. Mak bukan berat sebelah.
Mak tak perlu takut sebab mak kata aku tetap mak. Biar anak-anak menyisih namun mak berani kerana mak benar. Ironinya mak paling minat berniaga sebab darah yang mengalir dalam tubuh mak darah bapanya seorang pedagang. Sebab itu mak berani membuat keputusan hidup di rantau orang. Sayangnya mak tidak mendapat sokongan penuh dari anak-anak. Dengan rasa sedih tapi sudah jadi tanggungjawab mak memikul amanah, mak kembali untuk berbakti memelihara anak-anak yatim yang diwasiatkan oleh arwah menantu mak. Sejak itu mak bawa rasa kecewa, memendam segala dukalara dalam dada. Sesungguhnya mak bahagia tatkala hidup berniaga.
Begitulah secebis kisah perjalanan hidup seorang ibu, mak yang serba boleh. Berperibadi mulia, pulang ke rahmatullah setelah selesai menyempurnakan misi hawa dimuka bumi Allah.
Al Fatihah.
Al Fatihah.
No comments:
Post a Comment