Showing posts with label My Family. Show all posts
Showing posts with label My Family. Show all posts

Thursday, November 14, 2013

Salam 10 Muharam

Alhamdulillah kita bersama lagi pada hari Asyura. Hari 10 Muharam. Sejarah Hari Asyura telah menyaksikan banyak peristiwa besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Sempena meraikan hari Asyura kita disunatkan berpuasa. Seeloknya dimulakan pada hari ke sembilan. Info tentang makna dan kelebihan hari Asyura boleh dihayati sepenuhnya hanya dihujung jari.

Apa yang menarik mengikut tradisi orang melayu, bergotong royong memasak bubur asyura. Biarpun ada yang tidak menghiraukan asal usul dari mana bermula sejarah bubur Asyura namun kita bahagia bersepakat mengambil berkat meraikan tanggal 10 Muharam.


Kata mak, bagi mengesahkan tarikh sebenar yang pagi itu adalah pagi 10 Muharam, burung cak rumah pun tidak kedengaran, sunyi sepi tidak berbunyi. Kadang-kadang kata-kata orang lama meninggalkan kesan tanda tanya. Biasanya bila berpagi-pagi akan kedengaran suara burung cak rumah berkicau-kicau. Memang benar sudah berapa kali 10 Muharam disambut, hamba cuba mengamati suara burung ini.  Ternyata, memang sah siddeq, suara burung ini tidak kedengaran. Ironinya mak bilang, burung cak rumah antara bahan hidangan yang dimasukkan  ketika sejarah asyura bermula. Betul atau tidak hanya Allah Penyimpan segala rahsia.Tidak pula terjumpa dalam hadis.

Kita manusia biasa sekadar  bermain dengan teka teki. Apapun kita terus menghayati Asyura sejauh mana meninggalkan kesan pada kita dipenghujung usia.


10 Muharam kali ini. hamba catatkan,  makna besar bagiku setelah hampir 7 tahun bersara awal. Ramai yang membuat andaian, hidup pasti bosan tanpa kerja tanpa pendapatan. Sesungguhnya bersara merehatkan separuh nyawa. Terlepas dari beban tanggung jawab yang tidak pernah habis. Lainlah kalau niat bekerja itu hanya sambil lewa. Setakat bekerja hanya untuk menunggu gaji, lebih baik mati. Tidak membawa apa makna dalam hidup bahkan melantun kemalasan pada anak cucu.Tidak jumpa jalan pulang sampai tua.


Bila dirasakan segala hampir selesai, anak-anak sudah boleh berdikari. Apa salahnya kita undur diri. Mencari ruang untuk diri sendiri. Memberi laluan pada anak-anak muda yang dahagakan pekerjaan. Ternyata tindakan bersara awal memberi keistimewaan luar biasa. Siapa sangka setelah putus hubungan dengan rakan-rakan sekerja, kini tumbuh rakan- rakan tunas baru. Rakan seperjuangan, rakan niaga bahkan paling terkesan muncul saudara-saudara baru. Hubungan ikhlas terjalin tanpa talian darah.


Ada yang menawar diri menjadi anak angkat. Ada sudah selesa memanggil mak. Ada yang menganggap seperti saudara sendiri dan seribu satu macam hubungan begitu indah, begitu akrab. Bahagia bila ada yang menjadikan tempat mereka mengadu, meluahkan apa yang terbuku, meminta khidmat nasihat dan berbagai lagi keperluan khususnya melibatkan rasa jiwa. Diluar sana ramai dahagakan sentuhan. Aduhaaii...


Jalinan ikhlas ini meliputi semua bangsa, semua pangkat tidak kira darjat. Rumah yang dulunya sepi bila anak-anak sudah keluar mengejar impian, kini seringkali ada tamu bertemu janji. Tidak kira doktor perubatan maupun doktor falsafah, jurutera, tidak ketinggalan guru-guru, misi-misi messy, bahkan apa jua bidang hadir membawa seribu satu masalah. Seribu satu kisah duka, kisah rumahtangga sedang mewarnai dunia hamba. Pendek kata macam-macam ada. Seronok juga dipenghujung usia dapat jadi penawar rindu. Ingatkan dihati selalu, aku berbakti kerana Allah. Jika ada pahala dalam bakti ini, hamba hadiahkan pada kedua ibu bapa kita.


Sekadar meninggalkan jejak-jejak kisah kita buat tatapan anak cucu kita. Bila kita yakin pada Allah, insyaAllah ditemukan kita jalan keluar.  Segala kesukaran dimudahkan. Bila sudah melalui jalan berduri, jalan penuh liku, tidak sukar bagi kita melalui jalan lurus bahkan dapat membantu meredakan jiwa-jiwa yang hampir putus asa dengan rahmat Allah. Allah tidak saja-saja menguji hambaNYA. SubhanAllah semakin berat ujian ditempuh semakin dekat kita dengan kasih sayang Allah. Yakin lah pada ayat Al Quran, antaranya,

 “Dan sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut, kelaparan, dan kekurangan harta, hilangnya jiwa, dan sedikitnya buah-buahan…(Al-Baqarah : 155)

Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya….  
 (Al-Baqarah 286)


Dipenghujung usia ini rasa bersyukur diberikan Allah sedikit ilmu. Sebagaimana kita semua maklum ilmu manusia hanyalah seumpama titisan air yang jatuh dari paruh burung berbanding dengan ilmu Allah yang melebihi luas lautan. Dengan izinNya juga dapat di manfaatkan untuk berkongsi, mencurah bakti. Hamba rakamkan tanda kenangan buat anak cucu sambil berpesan-pesan pada kebenaran. Online selalu dengan Allah, insyaAllah doa mustajab. Bersuara dengan mata, melihat melalui jiwa, insyaAllah masin mulut bila kurang berkata pada sia-sia.



Antara yang terkesan, kisah sebuah rumahtangga. Pasangan berkahwin sudah lama. Hampir 6 tahun masih belum dikurniakan cahaya mata. Suami sudah disahkan doktor tidak ada sperm. Seumpama mandullah dia. Miang pun bukan main bagi menutup keaiban sendiri. Isteri tetap sabar menanti. Hanya melalui sentuhan, ditambah doa mustajab, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Bila Allah hendakkan sesuatu itu terjadi, maka jadilah ia. Bila isteri sudah disahkan mengandung, dengan sendiri mententeramkan suami. Alhamdulillah, lahirlah sudah bayi perempuan sihat lagi comel bahkan sesuatu yang luar biasa, bayi ini lahir sudah tumbuh gigi bawah dua batang. Doktor sendiri mengaku tidak pernah jumpa kes seperti dia. Tahniah pada isteri dan Zahrin bukan nama sebenar.




Lagu jiwa menyentuh rasa sempena Hari Asyura.












Friday, November 1, 2013

Jurnal Mama

Jurnal mama disusun sekadar penglipur lara. Buat peninggalan menemani anak cucu. Lambang Cinta Qaseh Bonda pada semua. Tidak kira lelaki maupun perempuan, dosa pahala kita sama rata. Siapa yang terbaik amalan, serahkan pada Allah, Yang Maha Tahu membuat perhitungan.  Kita bukan dihidupkan seorang diri.  Saling kait berkait membina ikatan hablumminannas bagi mengukuhkan tali ikatan hablumminallah..

Mencari bahagia itu bila hidup dirasakan ada pencinta setulus hati. Cinta memberikan kekuatan untuk meneruskan pencarian makna dihidupkan untuk siapa, dimatikan untuk apa lantas dihidupkan semula untuk kemana.

Hatta bila dihati tersimpan rasa cinta murni, cinta  membangkitkan semangat untuk terus berjuang mencapai matlamat hidup. Nikmat berkongsi bahagia membuktikan cinta itu ada. Cinta ada dimana-mana asal kita kenal hidup saling berkasih sayang. Bahagia sentiasa menjelma bila selalu memilih untuk memaafkan.

Betapa indah Tuhan menciptakan insan. Tuhan Menciptakan Cinta. Tuhan juga membisikkan rindu.

Mengambil berkat hari Jumaat, permulaan 1 November, sempena tarikh keramat, 3 November, ulangtahun perkahwinan dan bagi meraikan awal Muharam, jatuh pada 5 November, hamba rakamkan kenangan terindah hidup berkeluarga. Selamat menyambut Maal Hijrah. Hijrah lambang pengorbanan.




Bertemu jodoh bagaikan ikan dilaut asam didarat. Bukan keserasian yang kita cari untuk berjumpa bahagia hakiki. Ketidaksamaan itu menguatkan ikatan suci kemana arah tujuan jika benar faham makna dihidupkan untuk apa. Berbakti untuk siapa dan akan kemana.

Sejarah diciptakan  hamba menjadi  orang melayu. Moyang bernama Musa. Tok Wan bernama Ali. Bapa bernama Ahmad. Kata P. Ramlee ' kekuatan Hang Tuah terletak pada huruf Ta'

Ternyata  kekuatan orang Melayu ada pada nama. Ada apa dengan nama? Nama Melayu mewarisi nama para ambiya', para sahabat baginda Rasulullah s.a.w. Takkan melayu hilang didunia selagi kita setia mengharumkan resipi pusaka melayu.

Sudah termaktub dalam kitab, isteri sekadar dirusuk kiri. Isteri adalah pakaian suami dan begitulah sebaliknya. Tulang belakang bapa terletak teras warisan sejati. 

Yang teristimewa teras kasih milik ibu. Kasih ibu kasih paling suci. Ibu sanggup berkorban apa saja. Baik harta maupun nyawa asalkan suami dan anak-anak berbahagia. Ibu sebenar tidak merebut piala siapa paling layak mendapat tempat. Bukan mudah menggali jati diri jika tidak diuji hebat begini. Segala ujian terima dengan redha. Membujur lalu melintang patah. Hanya pada Dia kita berserah. Tanda Dia sedang Memerhati.

Bukan mudah menyelam hati paling dalam. Seumpama menyelam ke dasar lautan mencari tiram.Tempat persembunyian mutiara paling berharga. Ketidaksamaan itu mengukuhkan makna Cinta itu sebenarnya milik siapa. Rindu itu pula bagaimana.


  

Jurnal mama  mencipta resipi bahagia. Mak yakin apa yang kita semai, itulah nanti yang akan kita tuai. Bahagia mengutip kemanisan dihujung usia.

Anak-anak mak sayang!! Bahagia seorang ibu bila melihat anak-anak membesar, sihat. Menjadi insan sabar, pemaaf dan bijak menceriakan suasana. Memendam rasa didada. A good leader ia a good follower. Anak-anak menjadi saksi bagaimana melayari bahtera hidup bersuami isteri. Biarpun semua sudah menjadi dewasa namun dimata mak anak-anak mak masih seperti dulu. Mak bahagia bila anak-anak bahagia bersama. Cukuplah mak belajar jadi  isteri baik dihadapan suami. Menjadi mak yang dihargai oleh anak-anak sebelum mati. Susah senang kita tempuh bersama.

 Cukuplah hanya anak-anak mak tahu betapa hidup ini seperti dalam lagu.

' Hidup mestilah rukun, sabar paling perlu, Cinta setiap hari, senyum mesti selalu '

Bagaimana tanggung jawab menjadi anak lelaki. Bagaimana menjadi suami bertanggunjawab pada keluarga. Macam mana nak mendidik isteri jika bergelar suami.Bagaimana pula melayan suami andai sudah menjadi isteri. Bagaimana pula melayan anak-anak andai sudah menjadi bapa atau bergelar ibu. Segala akhlak baik bermula dari dalam rumah. Rumahtangga merupakan madrasah  paling berharga menimba ilmu hidup berakhlak mengikut syari'at. Menemukan jalan-jalan menuju hakikat hidup, menempa makrifatullah.


Doa kalian kami dambakan, wahai anak-anak mak sayang. Anak-anak mak sudah mempunyai impian sendiri. Mak doakan kalian berjaya didunia, bahagia diakhirat.

Dahulu kita susah namun kita bahagia. Dulu kita menderita, sekarang Alhamdulillah. InsyaAllah, mak tinggalkan jurnal mak sebagai teman penglipur lara.  Gubahan bingkisan, Cinta Qaseh Bonda.

' Cause you're my special thing
I'm flying without wings

Thank You Allah!!



Saturday, October 12, 2013

Sentuhan

Tersentuh hati ini pada penceritaan Alif semalam. Kami berdua bercerita sampai larut pagi. Mujur ada Alif yang sudah bijak memberi pendapat pada mak yang adakalanya tersasar dari landasan. Benar kata arwah mak, Alif akan jadi cucu warak. Cukuplah warak bagiku, bila kenal diri dihadirkan untuk apa, untuk siapa dan akan kemana.


Kabar Alif, dia sudah kali enam kali menderma darah. Ada teman yang meragui tujuan dia menderma darah.Ada pula yang buat main-main dengan tindakannya menderma darah banyak kali. Ada yang sindir tak takut ke kalau darah habis.

 ' Aku tak de duit. Ini saja yang aku ada nak derma kat orang '

Alif, anak mak yang  humble buat mak jatuh airmata pagi ini.

Without Alif, what would i be?


Thursday, March 21, 2013

Pusaka Melayu


' Dulunya gadis melayu sekarang wanita melayu jadi  pusaka orang melayu'


' Siapa bilang gadis melayu tak menawan, tak menarik hati, tiada memikat ..... '


Memperkenalkan Juwita-juwitaku sayang. Termimpi-mimpi wajah menawan. Ibarat bulan nan bergemerlapan. Meruntun qalbu, kekal jadi idaman. Itulah kata-kata sanjungan pada dua insan istimewa. Daripada memiliki biorafi Rosmah Mansor yang tidak membawa pada apa-apa faedah, lebih baik dikesempatan yang ada ini hamba rakamkan kehidupan dua insan yang sedang meniti usia senja namun diraut wajah jelas terpancar rahsia hati sedang bahagia.


Keunggulan cinta dari sinar mata. Dua wanita hebat lagi berjiwa kental ini terkenal dengan kecantikan paras rupa ketika zaman remaja. Bila sudah  dimamah usia, mereka tetap anggun menawan. Wajah mereka yang rupawan membuatkan diri yang serba kekurangan ini selalu rasa terpencil. Selalu menganggap hamba bagaikan gagak dirimba mana kan sama merak kayangan, tak sepadan tak sebaya.


Memperkenalkan yang disebelah kiri Johariah berusia sudah lewat enam puluhan. Masih anggun, sopan dan menawan. Manakala disebelahnya bernama Rohani, cantik, manis, pandai berbahasa, lancar tutur kata. Ramai yang memuja pada kecantikan mereka yang luar biasa bahkan menjadi siulan anak muda pada zaman dahulu kala. Sungguhpun Rohani juga sudah lewat lima puluhan namun kak Ani tetap manis menawan. Bibirnya bak  delima merekah,  sungguh hamba terpesona pada indahnya ciptaan Dia.


Rahsia awet muda kekanda tercinta. Mengabdikan diri pada keluarga hingga hujung nyawa. Mereka bagaikan lilin yang hidupnya untuk membahagiakan orang disekeliling. Jauh disudut hati, tiada siapa yang mengerti apa sebenarnya yang mereka cari. Sukar dimengerti  jika tidak direnung jauh dari matahati. Menyelami akan halusnya budi pekerti, menyimpan segala rahsia rumahtangga, memendam segala derita, yang terpancar hanyalah pengabdian demi kerana Tuhan. Beginilah  jiwa seorang perempuan.


Biarlah persekitaran tidak memahami, namun dalam mencari kebenaran, wajah itulah rahsia. Segala yang terpancar dari wajah itulah yang terbit dari sanubari nan suci. Tidak pernah kenal erti penat, mereka terus berbakti. 


Alhamdulillah takdir penentu segala matlamat. Kita seharusnya bersyukur dihidupkan dari permulaan, diuji dipertengahan, InsyaAllah, dipermudahkan pada kesudahan. Menikmati keselesaan dipenghujung usia hasil penat lelah, jerit perit, menempuh segala dengan kesabaran.


Istimewanya dua wanita melayu ini, paling pakar bab masak memasak. Selain dari air tangan mak, tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan keduanya dalam menyediakan masakan khususnya kuih muih melayu jati. Sekali rasa pasti tidak lupa. Siapa saja andai merasa, pasti memuja dan memuji rasa keenakan kuih muih antaranya, seri muka, tepung talam,lopeh dan aneka jenis kuih melayu hasil air tangan keduanya, warisan bondaku sayang. Setiap syawal hamba terkenangkan ketupat mak, ketupat palas mak lemak, liatnya tiada tandingan. Ruginya tidak mewarisi kepandaian mak.

Alhamdulillah bila raya menjelang, adakalanya dapat juga menumpang rasa kesedapan ketupat hasil air tangan kakak.

Mereka berdua berkorban demi keluarga. Mewarisi keunikan bakat masakan melayu untuk santapan seisi keluarga. Pastinya diakui anak-anak sendiri, hasil air  tangan ibu mereka tiadalah tandingan diatas dunia fana ini. Beruntung anak-anak yang dapat menikmati hasil air tangan ibu. Pasti dikenang sepanjang zaman, sampai menutup mata, masakan ibu pengubat segalanya.


Masa muda mereka berkorban segalanya demi suami. Mengabdikan pula hidup pada keluarga. Tidak kenal erti penat. Mereka tabah mengharungi. Tidak seperti hidupnya Rosmah, tidak pernah puas nafsu bergolak. Tidak pernah bersyukur diatas pemberian, malah terus menerus berbelanja macam syaitan. Mengerbang rambut macam hantu dalam hutan, suami tetap tak cukup makan. Apalah ertinya hidup si Hawa jika sekadar memusnahkan usia si Adam. 


Tidak cukupkah peringatan pada kaum Hawa pada nasib Adam yang dicampak keluar dari syurga hasil dorongan nafsunya Hawa. Bila Adam turun kedunia, Adam tidak putus-putus berdoa memohon keampunan dari Allah sambil Adam mencari-cari hilangnya Hawa. Bukankah Hawa juga bertaubat.


Seharusnya kaum Hawa mengambil iktibar pada kisah Adam dan Hawa. Segala kehancuran bermula dengan sikap perempuan yang tidak pernah puas, tamak  lagi merbahaya.


Biografi Rosmah mengukur sejauhmana nafsu bertakhta dihati andai tidak dibendung dengan akal melalui ilmu dan amal. Wajah Rosmah menggerunkan kita umat hawa untuk tunduk mengajar anak-anak agar tidak leka bila hidup sempurna. Berbalik kita mencari kebenaran dengan mengenang air tangan ibu, pemberian semula jadi lagi suci. Ingatlah kita diciptakan untuk memberi, teruskan memberi.


Bersyukur atas pengajaran dari kedua kekanda ini yang setia sampai hujung nyawa. Bersendirian lebih bahagia bila suami yang pergi dulu.Melihat kelebihan anugerah yang diberi pada setiap insan, terasa kerdilnya diri ini dalam memujaMU selalu.


' Seperti lagu P. Ramlee, dimanakan ku cari ganti, serupa denganmu....'










Tuesday, February 5, 2013

SubhanAllah, Alhamdulillah...

Puji dan syukur pada Ilahi. AnugerahNya yang tiada terhingga. Hari ini, hari Selasa, 5 Februari bersamaan 24 Rabiulawal, usia merangkak setapak lagi. 54 tahun sudah diberi nafas untuk terus menghirup udara Allah. Menumpang berteduh didunia fana sebelum dijemput pulang oleh Yang Maha Kaya.


Allah tak pernah mengungkit segala pemberian malah Dia terus memberi, memberi dan memberi. Bila sudah cukup segala pemberian, kita dijemput pulang lalu disoal apakah pula yang kamu beri setelah sekian lama Aku tinggalkan kamu menumpang teduh dalam duniaKu.


Sungguh hamba bersyukur masih diberi kesempatan untuk berbakti pada orang tua. Memohon keampunan siang dan malam bagi pihak keduanya yang sudah tiada lagi didunia ini. Menghadiahkan segala pemberian pahala jika ada bagi menyuburkan taman-taman syurga mereka disana.

ÙˆَÙ‚ُÙ„ رَّبِّ ارْØ­َÙ…ْÙ‡ُÙ…َا ÙƒَÙ…َا رَبَّÙŠَانِÙŠ صَغِيرًا
"Wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil"(Al-Isra’: 24).


Semua yang beriman yakin pada 3 perkara yang kita ditinggalkan setelah jasad bersemadi diliang lahad. Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara lagi yang pasti menanti.


Bagi menyemarakkan cinta pada Nabi s.a.w. inginku rakam segala pemberian tandamata dari anak-anak tercinta. Anak-anak yang tidak pernah lupa mengucapkan selamat hari lahir buat bonda. Kemudahan teknologi maklumat tidak disia-siakan untuk terus berbudi  pada Qaseh Bonda.


SMS pertama jam 00.12 , diterima dari my girl, anakku yang pertama dengan ucapan,

' Mama...happy birthday!!! Semoga sentiasa sihat, ceria dan bahagia...Nanti i balik kita celebrate ok..i love you !!! And i miss you....'


SMS kedua masuk jam 00.17 Alif Farhan, a gentleman to all wishing me,


' Happy birthday mama!!! May Allah bless u. My prayers are always with u mama. Thank you for everything.:) '


Sementara membalas sms yang masuk, panggilan diterima dari anak lelaki sulong jam 00.21, mengucapkan happry birthday secara langsung dengan nada  manis,

'  Happy birthday mama, Birthday girl xtido lagi ke? Birthday yang ke berapa ni?


Kami berdua ketawa dimalam yang sunyi bila ku katakan entahlah sayang, yang ke 45 kut !!!


Apapun jawapannya thank you to all of you for being such a wonderful kids to me. Brave, gentle and kind.


Bangun pagi-pagi setelah solat, berdua bersama Adam kami senaman pagi-pagi. Alhamdulillah menerima ucapan happy birthday dari suami dan Adam Haqimi. Berpelukan kami suami isteri, lalu dimarahi Adam konon malu pada orang yang lalu lalang padahal subuh masih ada, tentu gelapnya masih samar.


Terima kasih pada suami yang sudah menyiapkan teh tarik untukku bersarapan. Indahnya sabar bila kemanisan dapat dikutip dihujung usia.


Begitulah indahnya hari ini ku rakamkan rasa bahagia menyambut genapnya usia 54 tahun. Tiada kata secantik bahasa, tiada gambar seindah lukisan nak ku gambarkan perasaan. Mujurlah dengan kemudahan dunia tanpa sepadan, dapatlah juga ku rakam suasana rasa melalui blog yang tidak sepertinya ini untuk kenang-kenangan bila akhir nanti.


Secebis kisah indah dalam hidupku. Puas sudahku harungi segala onak dan duri. Tanpa Qaseh sejati ayahbonda mana munkin hamba sekuat ini. Tanpa cinta suci yang hamba miliki mana munkin ada kesabaran dalam diri. Tanpa cinta agung, mana munkin kenal makna siapa kita yang diciptakan terlalu sempurnanya ilusi Tuhan. Sempurna lagi ciptaanNya dalam diri  junjungan kita yang dimuliakan. Penghulu segala nabi, Nabi Muhammad s.a.w.


Sayunya hati mengenangkan kasih nabi pada fakir miskin dan anak-anak yatim. Cinta nabi pada umatnya begitu tinggi sedang Nabi punya banyak kelebihan mukjizat membolehkan Nabi menjadi apa saja. Namun begitu baginda sanggup menjadi miskin dan mati sebagai orang miskin. Andainya nabi hidup kaya raya didunia, mana munkin kita yang miskin dapat menaruh harapan untuk ditempatkan nanti bersama Nabi. Cukuplah Al Quran, mukjizat yang ditinggalkan jadi pegangan penyuluh jalan, bersama hadis peninggalan baginda, menemani kita agar tidak sesat dari membangga diri kononnya hidup sudah sempurna.


Antara hadis yang meresap jiwa, memandang pada persekitaran yang ada. Ramai kita leka untuk bermuhasabah...


" Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu,nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".


Sesungguhnya ada diantara kita yang memang tiada hubungan namun ada  pertalian saudara sesama Islam seperti mana hadis nabi s.a.w.


"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti dia kasihkan dirinya sendiri" dan ada lagi hadis yang menguatkan kesempurnaan iman bilamana Nabi bersabda lagi yang membawa maksud,


 “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan manusia seluruhnya"


Senyum-senyumlah selalu dan semarakkan cinta Nabi hari ini.




Saturday, November 3, 2012

Because u loved me

Because you loved,  lagu hebat hadiah dari bidadariku.


Hari ini genap ulangtahun perkahwinan yang ke 28. Alhamdulillah hamba sedang mengutip sisa-sisa kemanisan yang ada untuk dibawa pulang berjumpa Allah nanti. Sungguh hamba bersyukur pada Allah kerana dikurniakan anak-anak yang baik, sihat mental dan fizikal. Posting kali ini khusus buat anak-anak tercinta tanda mensyukuri nikmat Allah. Anak-anak anugerah istimewa yang memberi  makna hidup ini untuk siapa. 


Di kesempatan ini mak menulis untuk meluahkan rasa terima kasih pada anak-anak. Terima kasih atas kesabaran kalian menempuh liku hidup dalam berkeluarga. Syukur pada yang Esa memberi kesempatan pada mak menikmati kemanisan hasil air tangan ibu. Mak dulu-dulu memang mereka malu untuk menyatakan kasih. Cukuplah dengan mereka setia menjadi isteri dan ibu sampai ke mati.


Berbeza dengan mak-mak sekarang lebih terbuka mencurahkan rasa. Ada yang berupaya mencurahkan segala kemewahan demi membahagiakan anak-anak. Mak sendiri tidak pasti apa yang mak dah bagi namun mak syukur banyak2  apa yang anak-anak persembahkan menepati rasa idaman qalbu. Tulisan kali ini adalah penceritaan mak  istimewa untuk  anak-anakku. Jadikanlah azimat bila perlu.

Seperti kata lagu,

'Andainya aku pergi dulu sebelummu, janganlah kau bersedih hati.Andainya aku tiada lagi disisimu, janganlah kau memencil diri. Ku percaya kau selalu bahagia, walaupun jasadku tiada....walau dimana kau berada....'


Khususnya buat girl, anak mak yang sulung, mak bahagia melihat kedewasaan anak mak. Terkadang mak sendiri kalah dengan kemampuan girl mengharungi cabaran.Almaklumlah girl punya sifu hebat selain dari mak dan baba.Action speak louder than words. Itulah gambaran yang merangkumi peribadi girl, anak mak. Semasa bayi, girl mendapat sentuhan qaseh paling kuat dari baba. Di zaman persekolahan kita berdua mengharungi segalanya bersama. Sedang di usia meniti remaja, girl bertuah ada yang sudi menumpahkan Qaseh, mencurahkan segala rasa sayang, memenuhi segala tuntutan bagaikan anak emas. Segala pemberian menjadikan girl bijak dalam serba serbi hinggakan mampu menyaingi keupayaan akal orang lelaki. Selaku anak sulung girl berjaya menjadi pemimpin pada adik-adik, memegang amanah keluarga. Mak paling ingat pesan girl.


' Mak jangan lewat2kan Isya'.


Sejak dari itu bukan saja waktu Isya', sebolehnya berusaha supaya semua waktu tidak lagi dilengahkan.


Terima kasih atas pesanan dan terima kasih kerana menghadiahkan lagu hebat untuk mak. Terasa mak dihargai sebelum mati. Thank Q Allah for the helping hand.


Anak kedua tentunya punya watak berbeza. Maklumlah sebagai lelaki nombor 1 dalam family tentunya Izzat tak sabar-sabar nak jadi abang. Izzat nak tunjuk betapa komitednya dia pada keluarga. Izzat sanggup mengorbankan masa kecilnya untuk tidak rajin belajar. Kecik2 dah pandai cari duit. Izzat tak malu bekerja masa sekolah. Izzat rajin ke pasar malam, mak cuma tulis apa yang diperlukan. Izzat pandai membeli. Terkenangkan ikan kembung yang Izzat beli dulu, sayu jadi hati mak. Masakan budak darjah 4 sudah pandai membeli ikan. Aduhailaa Izzat anak mak. Mak tak lupa budi baik Izzat semasa Izzat masih anak sekolah.


Walaupun Izzat lahir tak cukup bulan. Izzat  kuat dan sihat. Bila dikenangkan saat Izzat kecik2 dulu dihantar rumah pengasuh, Izzat diberinya minum cuma air kanji nasi dengan alasan nak bagi anak itu kuat. Susu dibekal tak pernah habis. Nak marah rasanya pada pengasuh tapi apakan daya kita memerlukan khidmat dia. Ternyata impak minum airkanji menjadikan Izzat layak memasuki Sekolah Perantis. Menjadi anggota Affat adalah idaman lelaki yang macam Izzat. Biar malas belajar tapi berjaya jadi anak jantan. Kadangkala kecekalan Izzat membimbangkan mak. Walaupun usia muda Izzat dikorbankan di Sekolah Perantis, sekurang2nya Izzat tidak membesar bersama mad2 rempit.


InsyaAllah dengan kecerdikan yang ada pada Izzat, mak doakan Izzat berjaya seperti caller ring tone Izzat. I want to be a billionaire. Biarlah kaya atau miskin didunia tapi muliana di akhirat asalkan jangan kaya maupun  miskin didunia, muflis pula di akhirat. Bersederhanalah dalam kehidupan.


Thank Q Allah n please help him....


Aliff anak bongsu seperti catatan dalam laman FB nya. Man at age, kid at heart, gentleman to all n a son of the blessfull family. Jelas sekali itulah peribadi Aliff. Menjadi idaman setiap ibu. Aliff tak banyak berkata-kata, Alif tak pandai meminta-minta meskipun Aliff anak bongsu. Digambarkan Alif dimata kawan-kawan seperti Alif anak yang sulung. Apa yang Alif bicara, ringkas dan padat. Kelembutan Alif jauh tersembunyi. Itulah rahsia diri seorang lelaki.


Tersentuh hati membaca folio Alif semasa di sekolah rendah. Kadang2 mak sendiri tak kenal siapa mak yang sebenarnya. Bila Alif menulis tentang ibu, mak terbaca jadi terharu. Emak rajin, penyayang dan kelakar. Bila ditanya pada Alif, garangkah mak. Kata Alif mak garang bila buat salah. Padanlah anak2 mak jarang buat salah sebab bila mak marah, mak membisu seribu bahasa.Tiada lagi gurau senda. Mak bawa hati lara.... pasti kita semua berdukacita.


Alhamdulillah, anak-anak mak sudah dewasa. Sudah boleh buat keputusan. Sudah bijak memilih mana yang baik maupun yang buruk. Mak tak bimbang lagi. Mak sentiasa mengiringi dengan doa selagi mak bernyawa. Selebihnya mak berserah pada Allah. Sudah mak corakkan mengikut acuan yang mak pilih, selebihnya anak2 yang mencantikkan gubahan mengikut citarasa masing2.


Hadir Adam penyeri rumahtangga kita.. Pelita hati kita agar terus menyala. Pengubat rindu dihati dikala sepi menghantui. Adam pelengkap resipi gubahan bahagia. Adam Haqimi Anugerah Ilahi.



Selamat berbahagia anak-anak mak sayang...


Because YOU loved me,thank YOU ALLAH.


















Sunday, May 29, 2011

Johariah @ Cik Putih

Johariah @ Cik Putih bukanlah nama hebat dalam sejarah dunia melayu cuma sekadar nama seorang  wanita biasa berbangsa melayu. Seorang ibu pada anak2 yang ke semuanya lelaki. Berdaya gagah menggarap nilai2 murni pada watak sebenar yang patut ada pada anak2 lelaki. Memupuk semangat pahlawan dalam jiwa.


Memang payah bahkan cukup payah bagi seorang ibu untuk membesarkan ke empat2 anak lelaki untuk menjadikan lelaki berjiwa pahlawan. Isteri kepada seorang guru sepatutnya mewakil kuasakan paling tidak salah seorang dari anak2 yang membesar untuk turut sama memeriahkan profesion perguruan. Menjadi satu kepuasan bilamana anak2nya memilih untuk bersama pasukan keselamatan.

Anak2 Johariah kesemuanya menyarungkan pakaian seragam tentera dan polis. Ada yang sedang meniti pangkat kolonel. Ada yang jadi kapten, ada yang jadi anggota biasa polis dan tentera. Pendekata semuanya terikat dengan kalimat...Yes Sir!

Teringat alunan melody syahdu tentera,

" Andai kata kami gugur semua...taburlah bunga di atas pusara...kami mohon doa...Malaysia berjaya...Semboyan telah berbunyi...menuju medan bakti!!"

Posting kali ini khusus untuk saudaraku Johariah @ Cik Putih. Pusaka Kenang2an untuk anak2 cucu kita nanti betapa hidup kaum wanita melayu khususnya bak seperti kata orang Kedah...jadi mak kena teriak dalam perut. Kena sabar banyak2. Kemanisan bakal dikecapi dipenghujungnya nanti. Tak dapat menikmatinya didunia, disyurga kita berjumpa.

Bukan mudah untuk kita  mengerti siapa itu Johariah. Menjejaki langkahnya sehingga ke akar umbi dapat kita selami hati yang tulus berbakti. Pada mata kasar hanya memandang yang luaran, yang nampak dimata dia seperti panglima perang. Padahal jauh disudut hati, dia berhati waja, berbudi mulia. Anak2 seperti terikat jiwa dan minda. Tidak ada kebebasan memilih sebab segalanya sudah tersedia. Dari kecil dipakaikan baju untuk anak2nya sama belaka. Hari raya kalau pakai batik, berbatiklah mereka adik beradik. Warna semua sama. Fesyen  rambut juga sama, sentiasa disisir rapi, di sapukan minyak rambut oleh ayah yang pendiam, seorang guru yang penyayang. Menyimpan segala rahsia kenangan muda2nya didalam dada. Menabur jasa dimana saja dia berada. Di rumah, di sekolah bahkan untuk masyarakat setempat, siapa tak kenal cikgu Mad.

Jika kita menyusuri jalan daerah bandar baru, masih jelas hasil kerja tangan Cik Gu Mad di sekolah keb. Sg. Kechil Ulu, Bandar Baru. Hasil seni lambang sekolah tulisan jawinya sukar ditandingi anak2 zaman sekarang. Meninggalkan kesan sejarah hasil kerja tangan Cikgu Mad tanpa mengenakan bayaran walau sesen pun dan tanpa mendambakan pengiktirafan pihak sekolah. Kepuasan menghasilkan itu pokok utama insan berjiwa seni. Menumpahkan bakti murni pada sekolah tercinta. Bermulanya kedewasaan kita dengan langkah pertama yang dibekalkan oleh seorang guru sekolah rendah. Seorang yang bernama guru telah mengukir nama di syurga.

Al Fatihah pada Cik Gu Mad dan semua guru2 yang ada mahupun yang telah tiada.

Anak2 mereka terdidik dengan disiplin tinggi. Bangun dari tempat tidur, Johariah memastikan tempat tidur masing2 sudah siap berkemas. Pantang tok nenek kalau anak2 cuba mengabaikan tanggungjawab. Apa yang pasti Johariah tidak pernah melupakan sedetik pun tanggungjawab pada suami dan anak2. Makan pakai sempurna. Memasak memang kepakaran. Bila ada penyertaan kaum ibu, Johariah pasti johan. Kerajinan dalam masakan membolehkan mereka suami isteri membuka warung kecil2an dilaman rumah bagi menambah belanja. Johariah bukan saja seorang isteri dan ibu malah dia juga adalah jururawat peribadi bagi suaminya. Dia yang menyuntik suami dengan insulin. Habis kaku ruang tubuh suami yang kebal dengan suntikan. Kekuatannya menghadapi saat2 kritikal sungguh menyayat hati. Kemampuannya memikul sakit deman suami sukar ditandingi. Dia tidak pernah mengeluh bahkan tidak alpa menyiapkan bekalan biskut dan air manis andai suaminya pengsan tiba2, disekolah maupun dimana sahaja. Johariah siap siaga menghadapi sebarang risiko.

Ujian demi ujian melangkau batas akal manusia. Pun begitu Johariah tetap tabah tanpa keluh kesah. Dia hanya bersembunyi bila suaminya di jemput Ilahi. Paling takut mengaibkan diri. Dia samasekali tidak mahu dipinang mana2 lelaki. Biar dia bersendirian sampai mati. Cinta Johariah ada disyurga. Al hamdulillah....Johariah kini selesa bersama anak2 cucu. Allahuakbar...Allah maha besar menciptakan kekuatan pada setiap insan. Prinsip Johariah sentiasa mengamalkan kebersihan. Paling benci rumah tak bersih. Makanan dimasak tak bersih. Setiap ruang rumah untuk hidup mesti bersih  bahkan kain buruk lap dapur Johariah sentiasa bersih. Di jaga rapi, di basuh sentiasa supaya bersih. Kebersihannya benar2 menggugat insan2  pemalas, yang sukar nak belajar dari kelemahan diri. Kelebihan Johariah wajib dicontohi untuk melengkapkan diri yang kurang serba serbi.

Laksa tomeh resipi Johariah menjadi ikutan keluarga sepanjang zaman. Mengenali Johariah lebih dekat memang sukar pada yang suka menyukarkan keadaan. Siapa yang dapat menerima kelebihan manusia dengan rasa terbuka pasti teruja untuk mencari dan mencari kehalusan budi yang tersembunyi dalam jiwa nurani  insan.

Diceritakan tok doyah, Johariah adalah anaknya yang paling comel lagi gebu masa kanak2. Di abadikan nama cik putih dalam kad pengenalan Johariah. Bila meniti usia remaja Cik Putih antara yang tercantik dalam yang cantik2. Sudah pasti digilai anak2 muda pada zaman pop yeh yeh lalu bagaikan halilintar disambar orang, dipinang seusia muda sahaya oleh cikgu mad  pada tahun enam puluhan.

Tanpa disedari oleh tuan punya badan, majlis perkahwinan Johariah sedang berlangsung secara besar2an.

Padanlah dua tiga bulan yang lalu sebelum berlangsungnya majlis kenduri kendara, Johariah  asyik bertanya pada emak...baju sapa ni mak! Macam baju pengantin. Mak tetap diam membisu. Hanya sekali sekala menjelaskan baju tu untuk orang kawin. Jauh disudut hati ibunya tiada siapa yang tahu betapa kesalan melanda jiwa. Keputusan bapa adalah muktamad.

Tiba malam bersejarah, segalanya terbongkarlah sudah. Diceritakan lagi adat orang perempuan kalau nak kawin pasti ditindik telinga sedangkan telinga Johariah belum bertindik. Malam penentu itulah juga mak andam menindik telinga pengantin perempuan. Pasti sakitnya bukan kepalang. Di pentas persandingan, bila wajahnya di abadikan dalam kenangan, ternyata wajahnya bermasam muka. Pelamin angan2nya musnah. Hati Johariah sudah dimiliki.  Bermuram durja mengenangkan kasihnya yang terpendam, cinta yang tidak kesampaian. Hidup berendam airmata tiada siapa yang dapat meneka.

Di ceritakan lagi johariah sudah punya peminat setia, kekasih hati yang seperti kata pujangga lagi...dia berjanji sehidup semati. Orang dulu2 setianya sampai kemati. Bertemu yang lebih jelita imannya tidak  bergoncang. Seperti dalam lagu Rafeah Buang. Begitulah di nukilkan pada kisah cinta Johariah. Pemuda harapan hati sedang berkursus di maktab perguruan. Sekembalinya dari kursus, buah hatinya sudah diambil orang. Bermulalah kisah sedih UDA dan DARA bersanding tak berpelamin.

Perkahwinan Johariah dipukul gelombang. Rumahtangganya jadi tidak keruan. Demi untuk tidak menyusahkan mak dan bapa, diteruskan perkahwinan tanpa gurau senda...tanpa gelak ketawa. Atas dasar tanggung jawab seorang isteri dan ibu pada anak2nya yang lelaki kesemuanya, lambang kelahiran cinta abadi.  Johariah meneruskan hidup dengan sabar. Berendam air mata dalam diam, menyimpan dendam yang lama terpendam. Hanya  Allah yang Maha Mengerti, Dia yang Menciptakan insan. 

Pilu dihatinya tidak terperi. Kemana saja suaminya ditukarkan pasti akan ada kehadiran kad2 ucapan hari raya dari seorang insan yang hanya dia saja yang tahu siapa pengirimnya. Taat setia pada suami tak pernah berbelah bagi biarpun jauh disudut hatinya hanya Allah saja yang mengerti segala kecewa yang melanda. Adakalanya dia di ekori ke mana saja. Beruntungnya Johariah pada zaman enam puluhan, sebagai suri rumah dia sudah punya lesen memandu. Dia dapat memecut mini coopernya dari di ekori teruna pujaan dulu2 kala.

Bergenang pilu air mata bila terkenangkan kisah lama.

Orang dulu2 kaya dengan budi indah bila berbahasa.

Masih jelas dalam ingatan Johariah sewaktu waktu dahulu ketika dia pulang dari sekolah. Si dia yang sudah lama menunggu dan memerhati, meninggalkan sekeping nota di atas ribanya semasa dalam bas.

' Andai dinda pergi, daku teman tiada... meratap sunyi...hampa merana...ooo jangan tinggal daku'

Begitulah seninya cinta dahulu kala. Zahir tak diucapkan. Hanya hati yang mengerti bahawa cinta yang lahir tulus suci. Setia cinta sampai ke mati. Cinta suci anugerah Ilahi. Terpendam didada mengasyikkan sukma. 

Hari ini segalanya tinggal dalam lipatan kenangan. Bila memandang Johariah yang sudah dimamah usia. Berbisik hati tanpa ketentuan, bersentuh rasa tanpa kehilangan. Murninya qaseh anugerah Tuhan. Biarpun sudah tidak semekar dulu, qaseh sayang anak2 tetap subur mekar mewangi. Segala  kekuatan hidupnya disandarkan bersama kenangan. Bersama air tangannya pengikat qaseh ibu dan anak2. Pengubat rindunya dari satu generasi ke satu generasi. Empayar kekayaan budi air tangan Johariah menjadi sumber kebanggaan anak2 lelakinya. Ada yang berjaya menghasilkan isteri yang mahu belajar dengan air tangan ibu mertua. Lambang jati diri kaum lelaki.

Ibu mertua mana yang tidak bahagia bila menceritakan satu demi satu menantunya sudah pandai mencipta resipi seperti dia. Menjadi masakan mereka macam masakan mak mertua. Tentu matinya nanti dia sudah berjaya mengukir makna sebenar air tangan ibu, lambang Qaseh sejati. Ibu adalah ratu. Qasehnya ibu sentiasa  subur diqalbu untuk menjadikan kita siapa pada hari ini.

Apa yang menarik pada sejarah Johariah. Dia  anak yang baik pada bapanya. Dia akan pastikan tempat tidur bapanya disiapkan. Berpatah arang, berkerat rotan, jangan siapa berani usik tempat tidur bapa yang sudah disiapkan. Dia bukan tidak menabur budi pada  mak cuma dia berjaya membuktikan kehalusan budi mak yang sebenarnya sudah  sebati dalam diri Johariah. Biar anak2 belajar sendiri siapa mak bila dia sudah tiada lagi. Mak mengharungi  hidup bersama Qaseh sayang Allah. Selainnya mak berserah. Keturunan adalah warisan yang abadi. Asas kebanggaan wanita melayu yang semakin terhakis dalam jiwa kaum hawa. Wanita sepatutnya sanggup berkorban apa saja. Harta atau pun nyawa. Itulah kaseh mesra, sejati dan mulia.

Secebis kisah hidup insan lara yang sedang meniti usia senja. Pada anak2nya yang ada, hargailah ibumu sementara dia masih bernyawa. Tidak satu dan tidak dua, dia antara yang terbaik melahirkan kalian menjadi lelaki. Biarpun jasad dimamah bumi, mana munkin kita dapat mengenali seorang wanita yang punya jati diri yang kalau tak kita pecahkan ruyung manakan dapat sagunya lagi. Dia berpegang teguh dengan tali ikatan cinta Ilahi. Hatinya mulia, peribadinya unggul. Pemalu pada Ilahi terlalu tinggi.

Berbaktilah pada ibumu. Berbudilah sebelum disesali pada dia yang telah pergi. Doakan dia hari2. Dari hidup sampai mati. Doa anak2 lelaki paling afdal. Jadilah anak2 abid. Bahagiakanlah dia agar dia dapat merasa betapa hebatnya asas cinta yang dia bina. Memandang ibu meraih pahala. Jangan biarkan dia berdukacita kelak hidup tidak keruan jadinya. Pandanglah kebelakang seketika. Siapakah kita tanpa dia.   

Al Fatihah khusus untuk ibu bapa yang tiada lagi dan tidak lupa pada P. Ramlee yang meninggal dunia pada tarikh ini.

Ada rahsia hebat dalam air tangan ibu. Putih bersih kasihnya ibu. Benar kata Pujangga...lahir kita ada dua hati. Satu untuk airmata, satu lagi untuk bersabar. Fitrah diciptakan insan dalam dua hati satu jiwa.

Subhanallah...Maha suci Allah yang mengilhamkan segala kejadian itu pasti ada kehebatan impak paling maksima.

Kelebihan masakan Johariah tiada galang gantinya lagi. Pakar ketupat pulut, liat lemak berkrim. Digandingkan dengan gulai daging atau rendang pelekat. Kabarnya tersedaplah sangat. Sekali cuba pasti nak berkali2. Kuih melayu memang pakar lima bintang. Pulut seri muka...subhanallah! Sebut apa saja aneka muih semuanya dihujung jari.

Pesanan penaja, jangan berlengah lagi. Tuntutlah resipi, petua masakan air tangan Cik Putih , sebersih dan seputih santan.

Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Kekuatan Johariah menjaga lidah patut dicontohi oleh semua generasi khususnya generasi hawa yang semakin hari semakin suka membuat bising.



Saturday, February 5, 2011

Alhamdulillah!!!

Syukur pada Allah. Hari ini 5 haribulan 2. Hari ini genap usia hamba 52 tahun. Terima kasih pada insan2 tersayang kerana buat kejutan dengan secret recipe yang very delicious. Di tambah pula dengan rasa yang sungguh istimewa bertemankan hadiah yang menepati impian pada malam 2 Rabiul Awal ini,  Indahnya Hidup bersyariat buku tulisan Dato' Ismail Kamus. 

Memang terlalu indah hidup ini bila kita dapat cinta yang padat. Kita akan dapat rasakan kebahagiaan yang berabad2. Dalam usia2 emas begini apa lagi yang kita harapkan selain dari redha Allah. Segala2nya kerana Allah seperti mana perjanjian kita dalam solat. Inna solati, wanusuki, wamahyaya, wamamati lillahirabbil Alamin. Sesungguhnya solatku, hidupku dan matiku kerana Allah Taala.

Cukuplah bila kita dapat jadi emak yang baik, yang dapat membahagiakan seisi rumah. Di hargai bila masih bernyawa. Jangan sekali2 jadi emak yang kaya tetapi membiarkan anak2nya menjadi raja manakala bila mak menjadi miskin lantas menghambakan diri pada anak2 yang kaya raya. Na'uzubillah!!

Bila syurga sudah diibaratkan seperti berada dibawah telapak kaki ibu. Adalah menjadi tanggungjawab ibu mempamerkan keindahan suasana dalam membawa anak2 bersama menuju syurga. Bila ibu sudah menunjukkan teladan yang baik pada anak2 mana munkin anak2nya membesar hilang arah tuju kerana hidup ini berpaksikan redha Allah. Untuk meraih redha Allah adalah dengan memenuhi redha ibu bapa terlebih dahulu.

Doa ibu sentiasa mengiringi perjalanan hidup anak2ku Farhana, Izzat, Alif dan Adam. Jadilah anak2 yang baik, anak2 yang sabar, anak2 yang sentiasa mensyukuri nikmat yang Allah beri dan dapat menunjukkan contoh teladan yang baik.

Terima kasih sekali lagi kerana sudi berkongsi rasa, berkongsi cerita suka duka, segala susah senang  kita tempuh bersama.

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Syukur hamba pada Allah.