Showing posts with label My Patient. Show all posts
Showing posts with label My Patient. Show all posts

Thursday, November 14, 2013

Salam 10 Muharam

Alhamdulillah kita bersama lagi pada hari Asyura. Hari 10 Muharam. Sejarah Hari Asyura telah menyaksikan banyak peristiwa besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Sempena meraikan hari Asyura kita disunatkan berpuasa. Seeloknya dimulakan pada hari ke sembilan. Info tentang makna dan kelebihan hari Asyura boleh dihayati sepenuhnya hanya dihujung jari.

Apa yang menarik mengikut tradisi orang melayu, bergotong royong memasak bubur asyura. Biarpun ada yang tidak menghiraukan asal usul dari mana bermula sejarah bubur Asyura namun kita bahagia bersepakat mengambil berkat meraikan tanggal 10 Muharam.


Kata mak, bagi mengesahkan tarikh sebenar yang pagi itu adalah pagi 10 Muharam, burung cak rumah pun tidak kedengaran, sunyi sepi tidak berbunyi. Kadang-kadang kata-kata orang lama meninggalkan kesan tanda tanya. Biasanya bila berpagi-pagi akan kedengaran suara burung cak rumah berkicau-kicau. Memang benar sudah berapa kali 10 Muharam disambut, hamba cuba mengamati suara burung ini.  Ternyata, memang sah siddeq, suara burung ini tidak kedengaran. Ironinya mak bilang, burung cak rumah antara bahan hidangan yang dimasukkan  ketika sejarah asyura bermula. Betul atau tidak hanya Allah Penyimpan segala rahsia.Tidak pula terjumpa dalam hadis.

Kita manusia biasa sekadar  bermain dengan teka teki. Apapun kita terus menghayati Asyura sejauh mana meninggalkan kesan pada kita dipenghujung usia.


10 Muharam kali ini. hamba catatkan,  makna besar bagiku setelah hampir 7 tahun bersara awal. Ramai yang membuat andaian, hidup pasti bosan tanpa kerja tanpa pendapatan. Sesungguhnya bersara merehatkan separuh nyawa. Terlepas dari beban tanggung jawab yang tidak pernah habis. Lainlah kalau niat bekerja itu hanya sambil lewa. Setakat bekerja hanya untuk menunggu gaji, lebih baik mati. Tidak membawa apa makna dalam hidup bahkan melantun kemalasan pada anak cucu.Tidak jumpa jalan pulang sampai tua.


Bila dirasakan segala hampir selesai, anak-anak sudah boleh berdikari. Apa salahnya kita undur diri. Mencari ruang untuk diri sendiri. Memberi laluan pada anak-anak muda yang dahagakan pekerjaan. Ternyata tindakan bersara awal memberi keistimewaan luar biasa. Siapa sangka setelah putus hubungan dengan rakan-rakan sekerja, kini tumbuh rakan- rakan tunas baru. Rakan seperjuangan, rakan niaga bahkan paling terkesan muncul saudara-saudara baru. Hubungan ikhlas terjalin tanpa talian darah.


Ada yang menawar diri menjadi anak angkat. Ada sudah selesa memanggil mak. Ada yang menganggap seperti saudara sendiri dan seribu satu macam hubungan begitu indah, begitu akrab. Bahagia bila ada yang menjadikan tempat mereka mengadu, meluahkan apa yang terbuku, meminta khidmat nasihat dan berbagai lagi keperluan khususnya melibatkan rasa jiwa. Diluar sana ramai dahagakan sentuhan. Aduhaaii...


Jalinan ikhlas ini meliputi semua bangsa, semua pangkat tidak kira darjat. Rumah yang dulunya sepi bila anak-anak sudah keluar mengejar impian, kini seringkali ada tamu bertemu janji. Tidak kira doktor perubatan maupun doktor falsafah, jurutera, tidak ketinggalan guru-guru, misi-misi messy, bahkan apa jua bidang hadir membawa seribu satu masalah. Seribu satu kisah duka, kisah rumahtangga sedang mewarnai dunia hamba. Pendek kata macam-macam ada. Seronok juga dipenghujung usia dapat jadi penawar rindu. Ingatkan dihati selalu, aku berbakti kerana Allah. Jika ada pahala dalam bakti ini, hamba hadiahkan pada kedua ibu bapa kita.


Sekadar meninggalkan jejak-jejak kisah kita buat tatapan anak cucu kita. Bila kita yakin pada Allah, insyaAllah ditemukan kita jalan keluar.  Segala kesukaran dimudahkan. Bila sudah melalui jalan berduri, jalan penuh liku, tidak sukar bagi kita melalui jalan lurus bahkan dapat membantu meredakan jiwa-jiwa yang hampir putus asa dengan rahmat Allah. Allah tidak saja-saja menguji hambaNYA. SubhanAllah semakin berat ujian ditempuh semakin dekat kita dengan kasih sayang Allah. Yakin lah pada ayat Al Quran, antaranya,

 “Dan sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut, kelaparan, dan kekurangan harta, hilangnya jiwa, dan sedikitnya buah-buahan…(Al-Baqarah : 155)

Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya….  
 (Al-Baqarah 286)


Dipenghujung usia ini rasa bersyukur diberikan Allah sedikit ilmu. Sebagaimana kita semua maklum ilmu manusia hanyalah seumpama titisan air yang jatuh dari paruh burung berbanding dengan ilmu Allah yang melebihi luas lautan. Dengan izinNya juga dapat di manfaatkan untuk berkongsi, mencurah bakti. Hamba rakamkan tanda kenangan buat anak cucu sambil berpesan-pesan pada kebenaran. Online selalu dengan Allah, insyaAllah doa mustajab. Bersuara dengan mata, melihat melalui jiwa, insyaAllah masin mulut bila kurang berkata pada sia-sia.



Antara yang terkesan, kisah sebuah rumahtangga. Pasangan berkahwin sudah lama. Hampir 6 tahun masih belum dikurniakan cahaya mata. Suami sudah disahkan doktor tidak ada sperm. Seumpama mandullah dia. Miang pun bukan main bagi menutup keaiban sendiri. Isteri tetap sabar menanti. Hanya melalui sentuhan, ditambah doa mustajab, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Bila Allah hendakkan sesuatu itu terjadi, maka jadilah ia. Bila isteri sudah disahkan mengandung, dengan sendiri mententeramkan suami. Alhamdulillah, lahirlah sudah bayi perempuan sihat lagi comel bahkan sesuatu yang luar biasa, bayi ini lahir sudah tumbuh gigi bawah dua batang. Doktor sendiri mengaku tidak pernah jumpa kes seperti dia. Tahniah pada isteri dan Zahrin bukan nama sebenar.




Lagu jiwa menyentuh rasa sempena Hari Asyura.












Tuesday, October 4, 2011

Selasa nan indah


Banyak lagi catatan perjalanan yang tak sempat nak update dalam Qaseh Bonda. Disepanjang minggu ini,banyak cerita2 menarik yang nak dikongsikan bersama. Biasalah bila Selasa, terkenangkan mak yang tak putus-putus bercerita, memberi nasihat tanpa henti. Adakalanya seperti cerita sama yang telah kita dengar dua tiga hari yang lalu. Pun begitu mak peduli apa, dia terus bercerita walaupun sudah dua tiga puluh tahun peristiwa itu berlaku. Terkadang berani juga mengusik mak, moh!! kita pasang kaset sebab cerita tu dah keluar semalam. Kami ketawa bersama. Al Fatihah buat ibuku sayang.

Lukmanul Hakim membenarkan segala tutur kata mak kita seumpama menyiram dipohon yang kering. Biarpun pohon itu telah mati, segala pesan dan cerita mak tak pernah mati, tetap terpahat dihati sanubari. Boleh dijadikan sempadan dan teladan pada anak cucu hingga akhir nanti. Kata Azimat mak itu adalah keramat.

Zaman siber sekarang ramai anak-anak  sudah tidak sudi nak mendengar, tidak ada masa bercerita. Asyik melayari dunia siber. Dunia sekarang dunia berkerjaya. Biarlah mak terus berkarya cara mak sendiri. Saja suka-suka. Mana tahu bila mak tiada lagi didunia, ada yang sudi menatap warkah peninggalan mak ini sepenuh hati. Bila mak sudah tiada lagi bak kata P. Ramlee, ramai yang angkat topi dengar lagu daddy.

Apa ada pada nama.

Memang banyak maknanya pada nama. Jadi, berhati-hatilah memilih nama anak-anakmu wahai anak-anakku.. Jangan jadi jahil seperti orang dulu. Ikut sedap mulut dan panggil pun ikut sedap telinga. Ada juga orang sekarang yang menamakan anak dengan nama-nama hebat tapi sayang perangai mak bapak pula lintang pukang. Mudah-mudahan berkat menamakan anak dengan nama baik-baik, nama-nama Melayu akan memberi laluan mudah pada ibu bapa.

Ada satu contoh baik dalam rumah ini nak dikongsikan bersama pada nama anak-anak bertuah ini. Anak sulung bernama Iskandar Zulkarnain. Seorang lagi berumur enam tahun bernama Abu Hurairah. Mak memanggil  nama Abu! Abu! Abu! Terdetik dihati, jarang sekali anak-anak sekarang bernama Abu. Jauh sekali orang sekarang memberi nama Abu Bakar. Orang sekarang sudah tak berani menamakan anak sehebat Abu Bakar. Akhirnya mak Abu bercerita nama anaknya yang ke tiga ini Abu Hurairah. Fuhh!! jarang sekali kita dengar anak kecil bernama Abu Hurairah.

Entah kenapa seperti ada keserasian Mak Abu meluahkan segala yang terpendam. Sudah cukup bersabar dengan kerenah suami yang hanya pandai bagi benih. Sumpah seranah sentiasa berkumandang. Sampai melahirkan yang kecil tak sampai sebulan ini pun dia tak henti menghalau kami anak beranak. Abang saya yang menumpang baru2 ini terpaksa menyewa dihotel murahan sementara nak cari rumah. Bolehkah kakak carikan rumah untuk abang saya dan paling menyedihkan abang saya mengalami strok. Tiga hari kemudian abang Suriani, bukan nama sebenar, ditemui mati seorang diri di bilik hotelnya. Polis meminta Ani ke hospital  mengecam mayat. Innalillah...!!

Kelebihan pada Suriani anak-anaknya dianugerahkan Allah kepandaian sungguhpun rumahtangganya kacau bilau. Hasil bantuan ibu Ani, penerima pencen arwah bapa Ani seorang guru, jadi hidup Ani banyak dibantu mak dan keluarga terdekat.Untungnya Ani menjadi adik bongsu, ramai yang prihatin dengan kesusahannya. Anak2 Ani montel2 belaka, cukup makan dan pakai ditambah dengan supplement pembekal otak cergas bagi kanak2. Tak hairankanlah anak2 Ani cergas dan cerdas.

Sayangnya pandai saja tidak cukup bagi memenuhi tuntutan hidup berkeluarga. Anak Ani membesar menjadi penakut. Nak ke bilik air pun takut bahkan segala apa yang kedengaran membuatkan dia lebih penakut. Siti Aisyah nama yang sulong. Penakut mengalahkan adik2 yang kecil. Pernah Siti minta hadiah pada bapanya ketika kertas periksanya dapat 100. Hadiahnya engkau dan mak kau keluar dari rumah aku.

Ani jadi bingung atas apa yang berlaku pada anak2nya. Sungguhpun cergas tapi Abu cacat sikit ditangan sebab jatuh masa di tadika. Is pula sakit pasang surut. Pendek kata aku sendiri tak daya memikul segala kecelaruan yang berlaku. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Mak Ani sentiasa mendorong supaya anaknya bercerai. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya terus disiksa didepan mata. Tanpa menghiraukan mak mertua, Ani dimaki hamun setiap masa. Baru tujuh hari lepas bersalin, suami bising nak makan kari ayam.

Aduhaii siapalah hamba nak menokok tambah beban yang ditanggung. Bab rumahtangga apatah lagi bab cerai berai, jangan sesekali kita masuk campur waima mak sekalipun jangan campur tangan. Biarkan anak memilih jalan. Aku hanya boleh nasihatkan kembalilah kepada Allah. Buat sembahyang istikharah. Minta petunjuk minta kekuatan dalam memilih jalan. Kata Ani, Ani bukan orang alim kak. Masakan Tuhan nak bagi petunjuk.

Petunjuk Allah bukan di khaskan untuk orang alim saja. Semua kita milik Allah. Asalkan kita ingat pada Dia, pasti Dia mendengar permintaan kita. Kita hidup kena berpandu. Kak pun bukan orang alim tapi kak yakin Allah ada bersama kita. Tidak takut dan tidak gentar Allah ada bersamaku. Itulah kata kunci ketetapan hati yang membuatkan iblis lari lintang pukang. Tiada lagi hasut menghasut. Bab meruntuhkan masjid memang iblis paling laris berjual beli.

Dengan kekuatan yang ada pada Ani, aku yakin dia dapat mengharungi semua detik cemas bersama suami.Anak2 Ani bakal menjadi anak2 berjaya disuatu masa nanti asalkan Ani tetap teguh dengan kesabaran yang ada. Mahal harga seorang ibu adalah air tangannya. Aku pasti air tangan ibu bakal menjinakkan anak2. Kerajinan Ani begitu luarbiasa melayan makan anak2 walaupun dia sendiri tidak sihat. Sukar nak cari ibu yang sabar dan rajin seperti Ani dewasa ini.  Ani kena selalu berdoa dan mendampingi Allah setiap masa. Jangan terus membiarkan anak2 dibelenggu rasa benci kerana benci membuahkan anak2 jadi pengecut. Curi2lah masa menyelami perasaan anak2.

Kisah rumahtangga ini jadikanlah pedoman. Kita tidak mungkin dapat mendidik semua menjadi sepertimana yang di idamkan tetapi kita sendiri boleh mendidik diri kita untuk menjadi bapa pengasih dan ibu penyayang. Sesungguhnya Dia yang menciptakan hambaNya, hanya Dia yang tahu sejauhmana kemampuan hanbaNya.


Thursday, September 8, 2011

Penyakit misteri

Sakit Misteri biarkan tinggal misteri. Tiada siapa yang dapat merungkai apakah punca penyakit misteri. Doktor pun buntu, tok bomoh mula merapu. Membuat andaian yang bukan-bukan. Tuan empunya badan merana, tiada siapa yang tahu. Kembalilah pada Allah, Tuhan pencipta alam semesta.

Tanggal 20 Ogos lalu hammb dimasukkan ke wad othorpedic untuk menjalani pembedahan kecil disebabkan kebas-kebas jari, yang sudah lama dilalui. Doktor bilang masuk pagi keluarnya petang. Lega sikit hati. Maklumlah bab bedah membedah ni memang i kecut perut. 

Selesai pembedahan pukul 9 pagi. Pukul 2 petang teman sebilik yang sama senasib tapi bedahnya lebih panjang dan masih sakit dibenarkan pulang.  Ini sudah tidak adil. Walhal saya yang lagi mudah dan sakit sikit2 tak benarkan pulang. Alahaiii...kecewa hati bukan kepalang. Maklumlah dibulan puasa. Kasihankan suami dan Adam dirumah. Bersahur mereka bagaimanalah jadinya. Bersungut juga pada misi dan doktor tapi biasalah. Keputusan doktor  muktamad. Biasalah doktor kan macam tak de perasaan.

Malas bicara melayan hati gundah gulana, kedengaran anak kecil dikatil hadapan dibilik yang sama, menangis merengek tanpa henti. Adalah sekali sekala saya menegur mak yang setia menemankan anak. Mak sendiri tidak tahu anaknya sakit apa. Doktor pun buntu. Sudah berhari dia di sini. Datang dari jauh nun dari Kroh. Dari hospital Baling, dihantar pula kesini.Doktor mengkaji tak habis-habis sedangkan sikecil tak henti menangis.

Masuk saja misi periksa, anak kecil menangis menggila-gila.Bagaikan dirasuk. Sungguhpun misi sekarang tak macam misi dulu-dulu namun tetap melemparkan senyuman sambil mengusik si Azam. Nama anak kecil berumar 2 tahun setengah tu Azammuddin. Sedap nama tu. Sah membesar dengan penuh Azam.  Tangisan Azam merimaskan kita yang sedang gundah gulana. Sedang bersedih melayan perasaan. Udahlah sakit kena bedah ni, bila hilang ubat kebas  sakit macam disiat-siat. Memikirkan bagaimana anak dan suami malam nanti tambah membosankan mendengar tangisan Azam. Rimasnya melihat Azam.

Azam terus menjerit, meronta-ronta sampai bengkak mata. Alahai sayang mak! Sakit apa lah kau wahai anak...Acer citer!! Azam menangis dan terus menangis. Waktu senja ketika itu, masuk seorang doktor India. Katanya ' kalau tiada perubahan esok pagi kami nak potong kaki '.

Hamba yang asyik melayan perasaan, tersentak dari lamunan bila terdengar kata-kata tuan doktor. Banyak ko punya cantik. Suka-suka hati ko nak potong kaki budak ni. Ehh budak ni sakit apa sebenarnya....hadooiii, tak pasal-pasal hamba yang resah gelisah dibuatnya dengan kenyataan tuan doktor tadi. Jadi doktor, padanlah kering hati. Nak selesai masalah potong ja kaki. Bukan kaki doktor pun yang kena potong kan...

Dalam pukul 8 lebih ketika suasana kembali sepi, hanya kedengaran rintihan si Adam. Tak putus merengek pada emak.  Hamba dekati katil Azam dengan sebak rasa didada. Azam ni sakit apa!! Tadi mak cik dengar doktor nak potong kaki!!

' Entahlah mak cik...sampai sekarang doktor tak dapat kesan. Kaki Azam merah-merah. Doktor risau takut merebak. Saya takut makcik!! Saya rasa Azam tak sakit apa. Entah kena gigit binatang tapi doktor sendiri pun tak dapat kesan.

Meremang bulu roma ini. Mula terdetik seperti ada yang tak kena pada budak ini. Hamba minta izin untuk memegang dan mengusap kaki Azam.Tambah merah menyala kaki anak malang yang bakal dikerat esok pagi. Hamba peduli apa. Beranikan hati dengan sentuhan.Tangisan Azam semakin reda dan dia lena tidur dalam pelukan ibu. Sama-sama kita berdoa malam ni. Minta pada Allah banyak-banyak. Mana tahu kut malam ni malam Lailatulqadar. Diangkat doa jadi mustajab. Kita hanya mampu berdoa. Allah menentukan segalanya. Nasihat hamba pada mak Azam. Walaupun nampak kecewa dengan keputusan doktor, dia wanita cekal.

Esok pagi, macam tak percaya, kedengaran suara Azam mengekek ngekek ketawa. Bergurau dengan mak kesana kemari. Walaupun kaki Azam terjengket disebelah kiri, dia masih boleh berlari seperti kanak-kanak y lain. Macam ni lah Azam sebenarnya kalau dia tak sakit..kata siemak. Merah dikaki Azam sudahpun reda. Mak Azam nampak ceria. Syukur  pada yang Maha Kuasa.

Saya pula dibenarkan pulang, Sedang bersiap tak sabar nak balik, masuk empat orang tuan-tuan doktor termasuk seorang doktor pakar menuju terus ke katil Azam. Belek sana belek sini, akhirnya doktor pakar membenarkan Azam pulang pada pagi yang sama dengan saya tanpa banyak bicara. SubhanAllah, Maha suci Allah yang memakbulkan doa para ibu. Doa yang tak de transit. Terus sampai ke langit sempena Ramadan mulia, sempena semua insan mencari lailatulqadar teristimewa.

Jangan difikirkan lagi Azam sakit apa sebab Dia yang menurunkan penyakit. Dia Maha Penyembuh. Pada Dia kita berserah dan bertawakkal. Biarlah sakit Azam tinggal misteri. Apa yang penting, kita yakin pada senjata yang ada pada kita. Doa itu senjata mukmin. Berdoalah!!Sejauhmana kita yakin dekatnya Allah dengan kita, sejauh itu juga Allah pasti tidak menghampakan doa hambaNYA.

Saya yang masih tak puas hati sebab kena bermalam di hospital tetap bersungut dengan janji doktor. Ada doktor yang seawal pagi yang masuk terkejut sebab saya masih disini. Eh..kenapa tak keluar lagi. U sepatutnya dah discharge dah semalam. Tak faham sungguh dengan kaedah keluar masuk hospital ni. Nak saja saya bagi tahu tuan doktor...ko ingat aku suka ke tidur hospital ni.

SubhanAllah, mak Azam mengingatkan saya. Mujur mak cik tidur disini semalam. Dapat juga membantu kami. Alhamdulillah sesungguhnya memang ada hikmah pada setiap kejadian bila kita berbaik sangka pada Allah..

Diakhir pertemuan, macamana dengan garam, beras, jarum dan duit 25 sen tu makcik?, kita kena tunggu suami saya sampai dari gerik nanti.

Makcik kembalikan sedekah pada Azam dan kalau boleh bila lalu depan mana masjid nanti dermakan saja 25 sen tu pada masjid.





Saturday, January 22, 2011

Kroni kronik

Macam-macam dah ada dalam 1 Malaysia. Gelanggang 1 Malaysia dipenuhi  manusia kroni. Nak bekerja, nak berniaga bahkan nak belajar pun main kroni money. Mana tak padat sekolah asrama penuh yang dulunya dikhususkan untuk anak-anak orang miskin yang cerdik, kini berleluasa dengan anak-anak kroni yang kaya tapi bodoh sombong.

Anak tuan DO, anak orang kenamaan sudah disediakan kuota untuk mereka. Puas kita naik turun pejabat merayu mohon belas kasihan tak mampu nak teruskan persekolahan anak yang cerdik dengan straight A's. menangis airmata darah pun tak dapat dipertimbangkan sebab tak ada kabel.

Nak pergi haji pun kena ada kabel. Boleh guna kuota orang tu orang ni. MasyaAllah!! Tak rasa malu ke dengan Allah. Baik yang pergi maupun yang bagi kelulusan.

Anak KPN dapat masuk IPTA. Satu gerombolan NC turun padang menyusahkan petugas demi nak sambut KPN dengan anak KPN. MasyaAllah!! apa istimewanya anak KPN dengan pelajar miskin yang lain.

Apa nak jadi dengan 1 Malaysia. Tak payahlah nak maju sangat kalau kepala otak pemimpin pun mundur kebelakang. IPTA, IPTS, Kolej sana kolej sini bercambah tapi hasil keluaran hampeh. Bangunan tinggi melangit. Putrajaya tersergam megah, jemaah menteri pakat syok sendiri, berkot bertie serupa hebatla sangat!! Penjara dengan Pusat serenti penuh dengan anak-anak jantan melayu ada hampa kesah. 

Padanlah ada sorang rakyat tunisia sanggup mengorban diri dengan membakar diri sendiri bagi membangkitkan semangat rakyat jelata untuk bangun memberontak mengusir pemimpin mereka.Kita tak payahlah nak buat kerja jahil tu tapi cukuplah kita menyedarkan orang disekeliling kita untuk kembali membetulkan hubungan sesama manusia.

Mulakan hari ini dengan mula menyayangi diri sendiri. Sayangkan mak bapa kita terlebih dulu sebelum kita menyayangi orang lain. Buruk baik mak bapa kita itulah yang telah menghasilkan kita. Orang putih kata.

' If you can't accept me at my worst, you don't get me at my best '

Jangan berkecil hati kalau kita di abaikan. Itu tandanya mak atau bapa telah nampak kebolehan yang ada pada anak mereka. Mak atau bapa lebihkan yang lain sebab mereka nampak kelemahan masing-masing. Mesej melalui mata jelas yang Allah nak bagi tahu kasih sayang mak bapa kena nilai melalui pandangan mata hati. Ternyata kebanyakan orang berjaya sekarang lupa asal usul macamana mereka boleh berada ditahap sekarang. Kebanyakan anak yang terlebih manja, makin ramai yang merengkok dalam tirai besi dan ada yang terperangkap dalam  penjara hati. Pakat jadi jantan pengecut tak bertempat.

Lahirlah manusia kroni,  tidak ada keyakinan diri, tidak punya perasaan timbang rasa, subur dengan sikap hasad dengki, suka mengambil hak orang,  suka berlagak sombong, makan rasuah, pembodek  pengampu. Semuanya hilang jati diri bila kasih sayang dibina tidak mengikut hiraki Allah.

Dimulakan kasih dengan mak dan bapa pasti redha Allah dan Rasul ada bersama.Bila terbentuk anak yang baik tanda kasih Allah mengiringi hidup dengan restu.

Seperti kata En Zamberi semalam, isteri yang tidak taat pada suami tak dapat cium bau syurga.


' Benar En. Zamberi!! tetapi sesiapa pun tak kira lelaki maupun perempuan kena lebih dulu taat pada ibu bapa. Celek-celek mata kita bukan terus-terus kita berkahwin. Semua kita ada emak dan bapa. Jadi sama2 lah kita pakat taat, patuh dan hormat pada mak bapa kita terlebih dulu.  Kasih sayang pun ada hirakinya En Zamberi.!!Anak lelaki yang taat pada ibu bapa tak berani nak buat lebih kurang kat isteri, Begitu juga anak2 perempuan...bila kawin sudah pasti dia taat suami sebab didikan awal sudah dipatuhi. Dalam Quran Allah ada berfirman, perempuan  baik untuk lelaki yang  baik.

Itu tandanya kita sedang diuji. Bagi melepasi  ujian, kita bertawakkal kepada Allah sebab kita sudah berusaha buat yang terbaik. Allah. Bab PAS memang En. Zamberi pakar. Sudah berani menjatuhkan hukum siapa yang patut ke neraka tapi soal berumahtangga biarlah kami yang jadi emak yang lebih tahu jalan-jalan merintih syurga dalam meraih Cinta Allah.'

Di akhir perbualan yang semakin rancak kami ketawa bersama bila En. Zamberi terpaksa akur pada hiraki berkasih sayang yang hamba pertahankan.

Kata En. Zamberi,

' Aku boleh tarik ramai2 keluar mengundi untuk PAS tapi aku tak mampu nak suruh ke sepuluh anak2 aku pergi daftar jadi pegundi. Kalau boleh aku nak gari ke semua anak2 aku masuk dalam kereta, jom kita pergi daftar mengundi. Tapi anak2 dah besar panjang. Ke sepuluh anak2 aku buat aku sakit jantung sekarang '

1 Malaysia caca marba lah sudah.  Ada mata kita tengok macamana nasib anak-anak bilamana institusi keluarga semakin rapuh. Lihatlah persekitaran semakin mendesak dengan kerenah kronisma.Apa jadi kalau anak-anak melayu khususnya yang masih beribukan wanita tak bertudung. Bapa-bapa melayu yang hilang  keberanian nak suruh isternya bertudung jauh sekali nak minta air atau minta dihidangkan nasi. Bila jadi bapa pun tak berani nak tegur mak, pastinya mak pun makin tak heran dengan bapak.Inilah yang dididik oleh UMNO.

Lawan makna cinta adalah tidak peduli bukannya bermakna benci. Kalau dah benci itu tandanya bukan cinta. Ada sebab kenapa tidak dipedulikan. Itu maknanya Dia terlalu menyintai lalu hamba itu diuji. Bila tahan diuji tanda Allah sudah kasih untuk jadikan dia hamba terpilih. Bila dah faham makna hamba mengapa tidak kita jadikan diri sendiri  hamba yang merdeka.  

Bahayanya mainan kroni yang semakin kronik. Sudah menular dan sedang menjadi barah dikalangan cerdik pandai para profesor tanahair.

Seperti cerita Prof. Madya Mastura,

' Saya sendiri tak faham, setelah mereka belajar bertahun-tahun, sehabis tinggi yang boleh tapi di akhir kerjaya mereka tergamak memijak belakang kawan-kawan demi merebut gelaran prof.  Entah apa yang mereka dah belajar pun saya tak tahu. Semua bergantung pada kroni.  Budaya keji ini  sudah dibawa menular kepada para pelajar'

Biarlah Mas, hidup ni kena follow the flow baru u akan dapat hasil yang terbaik.

' Betul tu kak!  saya setuju, saya tak kisah saya tak dapat Prof. tapi hasilnya anak-anak saya, Alhamdullillah...'

Sama2 kita berdoa  untuk mengingatkan diri kita selalu siapa kita disisiNya.

Ya Allah, ampunilah segala dosa hambaMu ini, Ya Allah! samada dosa kecil maupun yang besar, yang telah lalu dan yang terkini, yang hamba lakukan terang2an ataupun secara sulit, yang hamba sedari atau tidak hamba ketahuinya. Ya Allah! jadikanlah hamba ini hambaMu yang sabar yang sentiasa mensyukuri nikmatMu dan yang sentiasa memandang diri hamba terlalu kecil apabila berada di sisiMU.

Ada yang bahasakan orang Ph.D ni orang yang permanent head damage. Ada betulnya bila tidak diselarikan dengan tuntutan agama.




Friday, January 21, 2011

Mencari pelangi

Sudah 12 tahun Fauziah berkhidmat sebagai doktor kerajaan. Fauziah memiliki ciri-ciri doktor yang baik hati. Pesakitnya tentu lega dapat doktor macam dr Fauziah. Dari liuk lentuk body language semasa bercerita memang sukar mendapatkan pengganti seperti dr. Fauziah, dihospital-hospital kerajaan. Bila on duty, tentu Fauziah seorang dr. yang tegas. Rugilah kerajaan kalau hilangnya permata ini bila dia mula bosan dengan persekitaran yang ada. Paling bosan bila ada campurtangan politik dalam hospital.

Fauziah mengorbankan sepenuh jiwa dan tenaga semata-mata untuk pesakit dihospital. Dia tidak punya waktu untuk bercanda apatah lagi menghabiskan waktu dengan sia-sia. Dalam usia 44 tahun, Fauziah belum ditemukan jodoh. Seperti kata Fauziah;

' i love my patients and  i love working in government coz i love all the rakyat. Kadang-kadang  memang saya pun nak marah dengan peraturan dan undang-undang but what can i do...i tak kisah semua tu yang i tahu all my patients dalam  ICU  need me more.'

Fauziah bercerita tentang  kenangan silamnya sewaktu belajar dan pada masa yang sama, selaku anak sulung, Fauziah bertanggungjawab menguruskan adik-adik. Ayahnya pulang ke rahmatullah ketika Fauziah masih belajar di India. Dia tidak dapat balik jumpa ayah.  Ayah yang banyak mendorong dia menjadi seperti hari ini.

'He is such a good man'

Fauziah langsung tidak punya waktu. Bagi Fauziah, dia hanya memikirkan tentang hospital tempat dia  bekerja. Bila ada pesakit yang dapat diselamatkan, dia menangis gembira tapi pada masa yang sama dia menangis menanggung sakit yang amat sangat. Pesakitnya tak sedar yang doktor mereka sendiri bergantung pada pain killer hari-hari.. Pada hari dia dinaikkan pangkat, hari yang sama itu jugalah tangannya mula sakit-sakit. Fauziah tidak pernah ambil peduli dan dia pun tak pernah nak cuti.  Bila berada didewan bedah, dia rasa macam dia tak sakit. Bila sampai dirumah dan   bila malam dia menangis sorang diri. Sakit sangat-sangat tambah-tambah bila nak petang. Sakit menjadi-jadi.

' What more could i ask from god. God have given me everything, my sisters and brothers are all in good positions. I'm  dying now! Semua tak tahu yang saya nak angkat stethoscope pun saya tak boleh. Mujurlah saya dapat guna dengan tangan kiri. Tangan kanan saya terlalu sakit. Mak dan adik-adik saja yang tahu saya sedang menderita. I'm 44 n  i feel like i'm 88. Dah scan dan guna segala kaedah tapi  tak dapat nak kesan kat mana yang tak kena. Berubat cara kampung pun saya dah cuba tapi macam ni juga. Banyak bomoh yang kami dah jumpa semuanya kata ada orang buat, ada orang dengki tapi saya susah nak percaya semua tu. Semalam saya ingat nak ajak adik-adik ke amanah raya membahagi-bahagikan apa yang saya ada untuk mereka.'

Sebagai pendengar setia, aku kira Fauziah sudah lama tidak ketawa. Matanya layu dan lesu. Senyumnya hambar. Sambil membelai tangan kanan Fauziah yang sakit, kami berbual dari hati ke hati. Aku cuba memberi gambaran agar Fauziah memandang sakitnya dari sudut positif. Anggaplah satu nikmat yang Allah hantar seketika untuk Fauziah dapat berehat. Merehatkan roh, jasad dan minda. You have done so much for others. Start thinking for yourself. Cari ruang untuk diri sendiri. Mengabdikan diri pada Dia yang lama dok tunggu bila lagi Fauziah nak ingat pada Dia. Memang kerja itu ibadah tapi sampai mati pun kerja tidak pernah habis. Sebagai orang gomen u kena percaya dengan kemampuan orang lain . U sudah tinggalkan contoh yang terbaik untuk orang lain ikut dan sekarang u kena fikir tentang diri u sendiri. U kena mula menyayangi diri u yang lama u abaikan. Arwah father u tentu sedang menanti bila agaknya Fauziah nak hantarkan Fatihah untuk dia. U juga kata dia bapa yang baik.


Tapi saya boring bila dirumah.


Make yourself happy n home is where your heart is. Tak pun u bawa mak  holiday. Tinggalkan hospital tu sekejap. Buat apa nak stress bila kita tak ada pasangan. Allah dah sediakan pasangan lebih baik untuk u di syurga nanti. Dia yang buat kita dan Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Boring-boring u tulis blog ceritakan semua pengalaman yang u ceritakan tadi. Rugi kalau dibiarkan semua berlalu kalau tak tinggalkan jejak-jejak ilmu yang bermanfaat untuk doktor-doktor muda buat panduan. Doktor muda sekarang tak ada inside.

Satu-satu terungkai stress dalam diri dr. Fauziah. Dia mengakui betapa lamanya dia tidak pernah memikirkan semua ini. Ibunya Fauziah converted to Islam jadi sudah tentu sedikit sebanyak Fauziah  hanyut dalam bekerja.

Dengan izin Allah, Alhamdulillah, Fauziah sembuh sekelip mata. Dia bangun mengangkat tangannya tinggi-tinggi. Dia boleh pakai bra sendiri tanpa bantuan mak. Sukanya Fauziah dan kepada Allah kita kembalikan rasa gembira ini. Ternyata hidup ini kita saling bertautan walaupun adakalanya dengan ilmu Fauziah yang tinggi seperti dia tidak mengharapkan bantuan sesiapa. 

Selang sehari Fauziah kembali semula dengan wajah berseri-seri, senyuman menawan. Wajah Fauziah nampak ceria dan bertenaga dan esoknya dia datang lagi melengkapkan therapy session. Mak Fauziah bilang dia sudah boleh menyapu dan kemas rumah sambil rehat-rehat depan tv. Sudah lebih setahun dia tak buat semua tu. Dulu bila  balik rumah, dia hanya baring dan menangis sorang-sorang.

' Sudah empat hari saya tak makan pain killer.' Alhamdulillah.

Fauziah kena selalu baca Quran untuk mengembalikan kekuatan dalaman. Yang orang buat tu lain cerita. Sihir memang kegemaran manusia jahil. Kita kena ingat masing-masing kita ada habuan masing-masing. Yang penting Fauziah terima dengan hati terbuka. Kalau tak ada orang buat pun susah juga, kita takkan faham makna sakit itu dari mana sebenarnya. Hidup ni saling  memerlukan diantara kita dan sudah pasti antara kita berdua tak munkin bertemu. Selagi ada hayat kita jangan putus asa mencari ikhtiar.

Begitulah serba sedikit kisah pegawai perubatan kerajaan yang bertugas dengan penuh tanggungjawab tanpa memikirkan kepentingan sendiri. Pada anak-anakku sayang dan yang berada diluar sana. Semua pekerjaan adalah mulia disisi Tuhan selama mana ianya halal dan berkat. Bekerjalah dengan ikhlas tanpa memikirkan ganjaran. Yang menarik tentang Fauziah, dia anak baik, anak mak yang samasekali hidupnya menemani dan membahagiakan emak yang keseorangan. Redha Allah adalah pada anak yang mendapatkan redha ibu terlebih dulu. Bila Allah nak kebaikan pada seseorang, Allah bagi dia faham tentang ugama. Bila dia faham apa itu berugama, Allah temukan jalan keluar dengan mudah.  

Teringat kata2 Dr. Saenah;

' Kita hidup ni jangan ingat bekerja tu kerana nak jadi kaya semata-mata. Dalam kubur pun kita kena jawab apa yang kita dah buat masa kat dunia '

Khusus untuk  anak cucu  yang bercita nak jadi doktor. Ibu bapamu kena physically and mentally fit terlebih dulu. Mak bapa fit anak-anak  yang jadi doktor tak mudah di landa stress. Doktor yang tak stress tentunya bekerja dengan happy ever after. Jadilah doktor yang kaya raya didunia dan membawa pulang pahala berlipat ganda sebagai hamba yang dimuliakan di akhirat nanti.

Bijak sains saja tak cukup untuk menjadikan anak2 doktor yang hebat. Doktor juga manusia biasa yang tidak lari dengan godaan dunia. Doktor pun kena ada skill seni mempertahankan diri, seni mengaji, seni menyanyi atau apa saja seni yang dapat memupuk semangat  roh dan jasad supaya saling mengenali untuk terus ceria dan bahagia.

Jadikanlah kisah hidup dr. Fauziah ini sebagai pedoman kita semua. Nanti kita sambung pula cerita prof. madya. Mastura yang singgah menghilangkan stress dengan kerenah doktor-doktor  falsafah.

Tuesday, January 18, 2011

Ya Latiff! Ya Latiff! Ya Latiff!

Untungnya yang bernama Latiff maupun Latifah. Pasti ada kehalusan peribadi yang tersendiri. Pertemuanku dengan Kak Latifah sedikit sebanyak memberi ilham untuk merakam lagi catatan perjalanan hidup untuk dikongsi bersama anak2 cucu. Di usia2 emas begini, masa begitu berharga sekali. Bimbang memori indah berlalu begitu saja tanpa catatan kenangan bagi menjejaki Qaseh Bonda kasih sejati. Tulus lagi murni.

Pertemuan dengan Kak Tip nama orang Kelumpur memang menyentuh hati. Entah kenapa, bila bercerita, Kak Tip sebak sentiasa lalu bergenang airmata hiba. Nak ikutkan kehidupan Kak Tip sudah selesa dimata manusia. Kak Tip seperti wanita sempurna zahir batin. Isteri seorang doktor pakar yang ada klinik sendiri. Punya anak menantu yang doktor2 belaka. Rumah Kak Tip?? Subhanallah...hiasannya di abadikan dalam magazine Dapur.  Kereta?? Terbaekkk!!

Sambil menjamu selera, Kak Tip mengeluarkan door gift untuk kami. Bagi yang baru pertama kali mengenali beliau tentulah banyak info yang dimasukkan dalam kepala otak ni siapa sebenarnya dia dan kenapa antara mereka terlalu istimewa jambatan hubungan persahabatan sehinggakan seperti sebuah keluarga. Kelihatan Kak Tip memang tidak sihat dan resah gelisah. Sempat jugaku menjeling disatu sudut rumah yang tersergam indah, ada hamparan kusam tempat tidur Kak Tip dan satu pinggan plastik bersisa makanan. Dia keseorangan dalam gundah gulana bertemankan pinggan yang tak ada value sedangkan Kak Tip menjamu  kami dengan gelas dan pinggan vantagenya. Aduhaila Kak Tip.

Tiba2 Kak Tip inginkan sentuhanku. Siapalah hamba nak sentuh isteri doktor pakar. Silap2 doktor marah, bila isterinya dirawat oleh insan yang tidak ada certificate kemahiran. Kami bermesra dan berseloka. Berpantun dan berjenaka. Kak Tip ketawa lagi seperti  terubat sepi dihati..

Aduhaila Kak Tip.

P.Ramlee pun dah nyanyi,

' Kalau hidup tak bergurau senda...hilang nikmat cinta '

Sebelum kami melangkah pergi, Kak Tip memelukku erat sekali. Seperti tidak mahu melepaskan. Aku berjenaka lagi.

' Kak Tip sayang saya ke Kak Tip '

" Sayang!!!" Kami ketawa bersama seperti sudah lama berkenalan.

Saya tak nak cacat lagi dalam menjalankan khidmat masyarakat ini sebab tu kali ini saya tak malu lagi untuk meminta upah saya. Duit 25 sen, beras, garam dan jarum.


Kenapa 25 sen??


Sebab orang sekarang dah tak pandang nilai tu lagi tapi bagi saya cukup memberi makna.Tak ada dua puluh lima sen tak dapat nak cukupkan jumlah seribu. Orang kaya memang tak simpan duit dua puluh lima sen tapi rumah orang susah banyak duit2 tu. Apa salahnya saya menyusahkan orang kaya sekali sekala dengan menyelongkar rumah hanya kerana 25 sen dalam kita mencari nilai sebenar diri sendiri. Saya tidak membezakan jurang antara kaya dengan yang miskin, kadar upah saya  masih sama iaitu 25 sen.


Kenapa beras dan kenapa garam??


Sebabnya tak kira orang kaya maupun orang miskin, kita orang melayu selalunya makan nasi. Garam melengkapkan rasa, tak ada garam segalanya tawar hambar belaka. Bagi si miskin, habis sangat kalau keputusan bekalan bahan keperluan, rebuskan beras bersama garam sudah cukup memberikan kekuatan untuk terus hidup.


Kenapa jarum?? Itulah senjata tajam yang menggerunkan. Paling tidak daripada bercakap yang sia2 adalah lebih baik menjahit baju2 carik.


Kembali ke rumahku kali ini, aduhai!!! beratnya bungkusan2 beras dan garam. Berderai airmata pilu!! Sesungguhnya hidup ini cukup bermakna sementara hayat masih ada. Jika ada pahala dalam khidmat ini, ku hadiahkan pada insan2 yang bertakhta dihati, bersemadi di sanubari.


Hari ini hari Selasa, hari Nostalgiaku, hari bondaku pergi tinggallah ku sendiri. Hari impak paling maksima.


Hari ini aku menerima undangan Kak Tip. Kabarnya Kak Tip nak siapkan makan2 untuk kami. Jam sudah  hampir 5 pagi, menjelang sinar sang suria,  sudah ada temujanji dengan Kak Tip menanti.

Dua tiga hari lepas rumahku dikunjungi dr. Fauziah bersama keluarganya. Peribadinya lembut dan menambat hati. Sudah lebih setahun dia berpenyakit misteri. Sakit sebelah tangan yang tak tertanggung lagi.. Teknologi sains tak mampu nak mengubati. Betapa sakitnya dia dan sudah lebih setahun dr. Fauziah bergantung dengan pain killer.


Ada cerita menarik tentang kehidupan seorang doktor untuk dikongsi dengan cucu2 yang bercita2 nak jadi doktor atau anak2 diluar sana yang sudahpun bergelar doktor. Tunggu episod akan datang jika masih diberi kesempatan.

Dilabuhkan tirai pagi ini dengan Ya Latiff! Ya Latiff!! Ya Latiff!! (  Maha Lembut )


Sambil berdoa,

' Ya Allah, berbuat lembutlah terhadap diriku dalam memudahkan segala yang sukar kerana sesungguhnya memudahkan segala yang sukar adalah hal yang mudah bagiMU dan hamba memohon kemudahan dan kemaafanMU samada dalam urusan ugama, dunia maupun akhirat .'