Jika engkau mahukan teman,cukuplah Allah sebagai teman..
Jika engkau mahukan musuh,cukuplah nafsu sebagai seteru..
Jika engkau mahukan hiburan,cukuplah Al-Quran sebagai bacaan..
Jika engkau mahukan nasihat,cukuplah mati sebagai penasihat..
SubhanAllah!! Ammar, seindah nama, sehebat makna ( kuat iman, lemah lembut dan memakmurkan )
Al Fatihah keribaan baginda Rasulullah s.a.w., pada keluarga dan para sahabat baginda. Khusus pada ayahbonda kita, pada Ahmad Ammar dan seluruh muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat.
Alhamdulillah kita bersama lagi pada hari Asyura. Hari 10 Muharam. Sejarah Hari Asyura telah menyaksikan banyak peristiwa besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Sempena meraikan hari Asyura kita disunatkan berpuasa. Seeloknya dimulakan pada hari ke sembilan. Info tentang makna dan kelebihan hari Asyura boleh dihayati sepenuhnya hanya dihujung jari.
Apa yang menarik mengikut tradisi orang melayu, bergotong royong memasak bubur asyura. Biarpun ada yang tidak menghiraukan asal usul dari mana bermula sejarah bubur Asyura namun kita bahagia bersepakat mengambil berkat meraikan tanggal 10 Muharam.
Kata mak, bagi mengesahkan tarikh sebenar yang pagi itu adalah pagi 10 Muharam, burung cak rumah pun tidak kedengaran, sunyi sepi tidak berbunyi. Kadang-kadang kata-kata orang lama meninggalkan kesan tanda tanya. Biasanya bila berpagi-pagi akan kedengaran suara burung cak rumah berkicau-kicau. Memang benar sudah berapa kali 10 Muharam disambut, hamba cuba mengamati suara burung ini. Ternyata, memang sah siddeq, suara burung ini tidak kedengaran. Ironinya mak bilang, burung cak rumah antara bahan hidangan yang dimasukkan ketika sejarah asyura bermula. Betul atau tidak hanya Allah Penyimpan segala rahsia.Tidak pula terjumpa dalam hadis.
Kita manusia biasa sekadar bermain dengan teka teki. Apapun kita terus menghayati Asyura sejauh mana meninggalkan kesan pada kita dipenghujung usia.
10 Muharam kali ini. hamba catatkan, makna besar bagiku setelah hampir 7 tahun bersara awal. Ramai yang membuat andaian, hidup pasti bosan tanpa kerja tanpa pendapatan. Sesungguhnya bersara merehatkan separuh nyawa. Terlepas dari beban tanggung jawab yang tidak pernah habis. Lainlah kalau niat bekerja itu hanya sambil lewa. Setakat bekerja hanya untuk menunggu gaji, lebih baik mati. Tidak membawa apa makna dalam hidup bahkan melantun kemalasan pada anak cucu.Tidak jumpa jalan pulang sampai tua.
Bila dirasakan segala hampir selesai, anak-anak sudah boleh berdikari. Apa salahnya kita undur diri. Mencari ruang untuk diri sendiri. Memberi laluan pada anak-anak muda yang dahagakan pekerjaan. Ternyata tindakan bersara awal memberi keistimewaan luar biasa. Siapa sangka setelah putus hubungan dengan rakan-rakan sekerja, kini tumbuh rakan- rakan tunas baru. Rakan seperjuangan, rakan niaga bahkan paling terkesan muncul saudara-saudara baru. Hubungan ikhlas terjalin tanpa talian darah.
Ada yang menawar diri menjadi anak angkat. Ada sudah selesa memanggil mak. Ada yang menganggap seperti saudara sendiri dan seribu satu macam hubungan begitu indah, begitu akrab. Bahagia bila ada yang menjadikan tempat mereka mengadu, meluahkan apa yang terbuku, meminta khidmat nasihat dan berbagai lagi keperluan khususnya melibatkan rasa jiwa. Diluar sana ramai dahagakan sentuhan. Aduhaaii...
Jalinan ikhlas ini meliputi semua bangsa, semua pangkat tidak kira darjat. Rumah yang dulunya sepi bila anak-anak sudah keluar mengejar impian, kini seringkali ada tamu bertemu janji. Tidak kira doktor perubatan maupun doktor falsafah, jurutera, tidak ketinggalan guru-guru, misi-misi messy, bahkan apa jua bidang hadir membawa seribu satu masalah. Seribu satu kisah duka, kisah rumahtangga sedang mewarnai dunia hamba. Pendek kata macam-macam ada. Seronok juga dipenghujung usia dapat jadi penawar rindu. Ingatkan dihati selalu, aku berbakti kerana Allah. Jika ada pahala dalam bakti ini, hamba hadiahkan pada kedua ibu bapa kita.
Sekadar meninggalkan jejak-jejak kisah kita buat tatapan anak cucu kita. Bila kita yakin pada Allah, insyaAllah ditemukan kita jalan keluar. Segala kesukaran dimudahkan. Bila sudah melalui jalan berduri, jalan penuh liku, tidak sukar bagi kita melalui jalan lurus bahkan dapat membantu meredakan jiwa-jiwa yang hampir putus asa dengan rahmat Allah. Allah tidak saja-saja menguji hambaNYA. SubhanAllah semakin berat ujian ditempuh semakin dekat kita dengan kasih sayang Allah. Yakin lah pada ayat Al Quran, antaranya,
“Dan sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu dengan sedikit rasa
takut, kelaparan, dan kekurangan harta, hilangnya jiwa, dan sedikitnya
buah-buahan…(Al-Baqarah : 155)
Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…. (Al-Baqarah 286)
Dipenghujung usia ini rasa bersyukur diberikan Allah sedikit ilmu. Sebagaimana kita semua maklum ilmu manusia hanyalah
seumpama titisan air yang jatuh dari paruh burung berbanding dengan ilmu Allah yang
melebihi luas lautan. Dengan izinNya juga dapat di manfaatkan untuk berkongsi, mencurah bakti. Hamba rakamkan tanda kenangan buat anak cucu sambil berpesan-pesan pada kebenaran. Online selalu dengan Allah, insyaAllah doa mustajab. Bersuara dengan mata, melihat melalui jiwa, insyaAllah masin mulut bila kurang berkata pada sia-sia.
Antara yang terkesan, kisah sebuah rumahtangga. Pasangan berkahwin sudah lama. Hampir 6 tahun masih belum dikurniakan cahaya mata. Suami sudah disahkan doktor tidak ada sperm. Seumpama mandullah dia. Miang pun bukan main bagi menutup keaiban sendiri. Isteri tetap sabar menanti. Hanya melalui sentuhan, ditambah doa mustajab, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Bila Allah hendakkan sesuatu itu terjadi, maka jadilah ia. Bila isteri sudah disahkan mengandung, dengan sendiri mententeramkan suami. Alhamdulillah, lahirlah sudah bayi perempuan sihat lagi comel bahkan sesuatu yang luar biasa, bayi ini lahir sudah tumbuh gigi bawah dua batang. Doktor sendiri mengaku tidak pernah jumpa kes seperti dia. Tahniah pada isteri dan Zahrin bukan nama sebenar.
Salam Awal Muharam dengan lagu kenangan. Berhibur seumpama mengambil secubit garam. Bohonglah kalau kita hidup berirama tanpa lagu. Berseloka tanpa nada.
Mudah-mudahan tahun baru menempa sejarah indah. Alhamdulillah kita sambut dengan berpuasa sunat. Sesungguhnya puasa menteramkan jiwa.
"Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. bersabda,"Allah berfirman: "Setiap amalan manusia itu untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang memberi ganjarannya"
Puasa sunat Isnin dan Kamis, puasa sunat hari-hari putih.
Diriwayatkan dari Imam Abu Daud, “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari-hari
putih iaitu hari ke 13, 14 dan 15 di mana baginda bersabda; ‘Berpuasa
pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa”
Apa lagi yang kita dambakan diusia emas ini selain dari redha Alllah. Menunjukkan akhlak terbaik, contoh teladan buat tatapan anak cucu.
Diturunkan nabi kita Muhammad s.aw. adalah untuk menyempurnakan akhlak. Akhlak itu teras utama pendidikan. Ugama adalah nasihat. Nasihat mengukuhkan ugama. Islam itu indah bila kita tahu melaksanakan tanggungjawab. Mencipta suasana keindahan menjadi orang budiman. Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga.
Sempena Muharam, terkenangkan madrasah Ramadhan. Mudah-mudahan kita istiqamah dalam mengamal solat sunat qabliah dan ba'diah khususnya masa zohor dan Isya'. Tidak lupa solat witir walaupun hanya satu rakaat bukti cinta hakiki. Setelah bertahajud, kita tunggu sampai terbit fajar bagi menunaikan solat sunat fajar. Manusia paling kaya atas dunia adalah mereka yang bersolat fajar seperti hadis Rasulullah s.a.w. dari isteri baginda Aisyah r.a.
' Dua rakaat fajar adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya '
Bukan susah mengenal diri. Cukup sudah kalau kita berbuat baik, mendidik persekitaran jadi baik. Mengikut kajian pakar psikology, bila banyak ketawa pada perkara remeh tanda jiwa sunyi sepi. Kata orang tua-tua ilmu pun lari. Jika banyak sangat membongkang tidur tanda ikut hati bersedih. Bila suka marah tak tentu pasal, tandanya kurang kasih sayang, attention seeker. Bila banyak sangat makan tanda escapism. Bila terlalu banyak bercakap, macam tin kosong.
Yang sebenarnya, belajar dari orang-orang lama. Penuh ilmu didada. Sudah menempuh segala onak duri. Merka tidak banyak berkata-kata. Bila bercakap sentiasa beralas pada Ilahi. Setiap tutur kata terkesan dihati. Orang-orang begini dalam istilah orang melayu masin mulut. Mereka jauh lebih kenal ilmu manusia seumpama setitis air lautan bahkan lebih sedikit dari itu. Ilmu Allah terlalu luas. Kalau air laut dijadikan dakwat pun masih tak cukup menulis ilmu Allah. Ilmu makhluk seumpama setitis air dari lautan. Melihat pada kehebatan orang-orang lama siapa kita nak tunjuk pandai.
Cukuplah jika kita kenal diri kenapa dihadirkan didunia ini. Bila kenal diri, kita kenal Allah. Bila kenal Allah. Mudah-mudahan dibukakan ilmu makrifah. Bila sedar pada kekurangan yang ada, kita mudah memahami orang lain. Menerima kehadiran mereka seadanya. Jika perlu kita bantu dengan kasih sayang.
Banyak lagi terms n condition untuk mengenal siapa kita disisiNya. Jika mahu teruskan belajar. Tak kenal maka tak cinta. Teruskan pencarian untuk faham makna, cinta. Merasakan rindu , rindu, serindunya...Dia sedang memerhati jika benar cinta bersemi dilubuk hati. Cinta itu milik siapa.
Beramal bukan meletihkan bahkan menguatkan ruh. Tambahan bila sering qailulah, bangun malam jadi mudah. Apa yang penting, urusan fardhu jangan dilengahkan. InsyaAllah, mudah-mudahan doa diangkat jadi mustajab.Ternyata menakjubkan, kelainan dicipta setelah online dengan Allah menempa impak teristimewa.
Thank You Allah for the gifted hand.
Ayuh kita beristiqamah dalam beramal. Untuk pencerahan minda, rajin-rajin baca Quran. Hamba mengingatkan diri, saudara mara, sahabat handai. Tidak lupa anak-anak cucu tersayang. Ingatlah, ikat ilmu dengan tulisan supaya tidak lupa. Peninggalan ini buat anak-anak cucu meniti masa depan. Berpesan-pesan selalu dalam kebenaran untuk menuju tangga-tangga kebaikan. Sementara hayat masih dikandung badan. Bila sudah bercerai nyawa dan badan, hanya budi baik yang tahan lama.
Puji dan Syukur pada Ilahi atas
anugerah yang tidak terhingga.Hamba panjatkan rasa syukur saban waktu.
Segala ujian ditempuh dengan redha. Ujian susah, ujian sakit, dugaan
menghadapi kerenah manusia. Dihina disisih sanak saudara seperti dalam lirik lagu kasih ibu.
Kasihnya ibu
Membawa ke syurga
Kasihnya saudara
Masa berada
Kasihnya ayah, sanggupkah berpisah...
Hamba merasakan seolah-olah diri sedang diperhati. Allah sedang menguji hambaNya. Alhamdulillah diakhir pencarian makna kehidupan, kemanisan dikutip dipenghujung usia. Bersatu kembali sanak saudara bila sedang menjejaki puncak.
Bila kita yakin kita anak yang baik. Membuat sudah yang terbaik pada ibu
bapa, taat pada suami., menjaga suami dan anak-anak dengan air tangan sendiri sambil bekerja mencari rezeki, pasti menjanjikan sesuatu yang berharga menanti dihadapan.
Sebelum ditinggalkan hari akhir bulan Zulhijjah
antara 4 bulan suci dimuliakan Ilahi, syukur hamba atas nikmat dan
rahmat Allah. Menjelang Maal hijrah nanti senja, terima kasih atas nama Cinta.
Jurnal mama disusun sekadar penglipur lara. Buat peninggalan menemani anak cucu. Lambang Cinta Qaseh Bonda pada semua. Tidak kira lelaki
maupun perempuan, dosa pahala kita sama rata. Siapa yang terbaik amalan, serahkan pada Allah, Yang Maha Tahu membuat perhitungan. Kita bukan dihidupkan
seorang diri. Saling kait berkait membina ikatan hablumminannas bagi mengukuhkan tali ikatan
hablumminallah..
Mencari bahagia itu bila hidup dirasakan ada pencinta setulus hati. Cinta memberikan kekuatan untuk meneruskan
pencarian makna dihidupkan untuk siapa, dimatikan untuk apa lantas dihidupkan semula untuk kemana.
Hatta bila dihati tersimpan rasa cinta murni, cinta
membangkitkan
semangat untuk terus berjuang mencapai matlamat hidup. Nikmat berkongsi bahagia
membuktikan cinta itu ada. Cinta ada dimana-mana asal kita kenal hidup saling berkasih sayang. Bahagia sentiasa menjelma bila selalu memilih untuk memaafkan.
Betapa indah Tuhan menciptakan insan. Tuhan Menciptakan Cinta. Tuhan juga membisikkan rindu.
Mengambil
berkat hari Jumaat, permulaan 1 November, sempena tarikh keramat, 3 November,
ulangtahun perkahwinan dan bagi meraikan awal Muharam, jatuh pada 5 November, hamba rakamkan kenangan terindah hidup berkeluarga. Selamat menyambut Maal Hijrah. Hijrah lambang pengorbanan.
Bertemu jodoh bagaikan ikan dilaut asam didarat. Bukan
keserasian yang kita cari untuk berjumpa bahagia hakiki. Ketidaksamaan
itu menguatkan ikatan suci kemana arah tujuan jika benar faham makna dihidupkan untuk apa. Berbakti untuk siapa dan akan kemana.
Sejarah diciptakan hamba menjadi
orang melayu. Moyang bernama Musa. Tok Wan bernama Ali. Bapa bernama
Ahmad. Kata P. Ramlee ' kekuatan Hang Tuah terletak pada huruf Ta'
Ternyata kekuatan orang Melayu ada pada
nama. Ada apa dengan nama? Nama Melayu mewarisi nama para ambiya', para sahabat baginda
Rasulullah s.a.w. Takkan melayu hilang didunia selagi kita setia mengharumkan resipi pusaka melayu.
Sudah termaktub dalam kitab, isteri sekadar dirusuk kiri. Isteri adalah pakaian suami dan begitulah sebaliknya. Tulang belakang bapa terletak teras warisan sejati.
Yang teristimewa teras kasih milik ibu. Kasih ibu kasih paling suci. Ibu sanggup berkorban apa saja. Baik harta maupun nyawa asalkan suami dan anak-anak berbahagia. Ibu sebenar tidak merebut piala siapa paling layak mendapat tempat. Bukan mudah menggali jati diri jika tidak diuji hebat begini. Segala ujian terima dengan redha. Membujur lalu melintang patah. Hanya pada Dia kita berserah. Tanda Dia sedang Memerhati.
Bukan
mudah menyelam hati paling dalam. Seumpama menyelam ke dasar
lautan mencari tiram.Tempat persembunyian mutiara
paling berharga. Ketidaksamaan itu mengukuhkan makna Cinta itu sebenarnya milik siapa. Rindu itu pula bagaimana.
Jurnal
mama mencipta resipi bahagia. Mak yakin apa yang kita semai, itulah nanti yang akan kita tuai. Bahagia mengutip kemanisan dihujung usia.
Anak-anak
mak sayang!! Bahagia seorang ibu bila melihat anak-anak membesar, sihat. Menjadi insan sabar, pemaaf dan bijak menceriakan suasana. Memendam rasa didada. A good leader ia a good follower. Anak-anak menjadi saksi bagaimana melayari bahtera hidup bersuami isteri. Biarpun
semua sudah menjadi dewasa namun dimata mak anak-anak mak masih seperti
dulu. Mak bahagia bila anak-anak bahagia bersama.
Cukuplah mak belajar jadi isteri baik dihadapan suami. Menjadi mak yang dihargai oleh anak-anak sebelum mati. Susah senang kita tempuh bersama.
Cukuplah hanya anak-anak mak tahu betapa hidup ini seperti dalam lagu.
' Hidup mestilah rukun, sabar paling perlu, Cinta setiap hari, senyum mesti selalu '
Bagaimana tanggung jawab menjadi anak lelaki. Bagaimana menjadi suami bertanggunjawab pada keluarga. Macam mana nak mendidik isteri jika bergelar
suami.Bagaimana pula melayan suami andai sudah menjadi isteri. Bagaimana pula melayan anak-anak andai sudah menjadi bapa atau bergelar ibu. Segala akhlak baik bermula dari dalam rumah. Rumahtangga merupakan madrasah paling berharga menimba ilmu hidup berakhlak mengikut syari'at. Menemukan jalan-jalan menuju hakikat hidup, menempa makrifatullah.
Doa kalian kami dambakan, wahai anak-anak mak sayang. Anak-anak mak sudah mempunyai impian sendiri. Mak doakan kalian berjaya didunia, bahagia diakhirat.
Dahulu kita susah namun kita bahagia. Dulu kita menderita, sekarang Alhamdulillah. InsyaAllah, mak tinggalkan jurnal mak sebagai teman penglipur lara. Gubahan bingkisan, Cinta Qaseh Bonda.
' Cause you're my special thing
I'm flying without wings
Salam 10 Muharam 1434. Diam tak diam kita sudah melangkah ke hari Asyura hari 10 Muharam, hari yang banyak peristiwa besar berlaku dalam sejarah Islam. Di sunatkan berpuasa pada 10 Muharam bahkan puasa sunat bulan Muharam merupakan puasa sunat paling utama selepas puasa bulan Ramadhan.
Dunia sibuk menanti count down tahun baru masehi sedang kita lupa Muharam setia menunggu hambaNya meraikan kehadiran tanpa dipaksa. Se awal Muharam hati beringat untuk menambah pahala sunat tapi sayang sekali iman ini tak pernah kekal, paginya elok petangnya lalok. Malamnya OK siangnya KO mana munkin menandingi Nabi kita yang maksum. Serba serbi kekurangan yang bernama manusia.
Paling tidak gelora yang harus ditentang adalah diri sendiri. Nafsu yang tidak pernah puas melainkan mati. Mengingatkan, diri ini dihidupkan untuk siapakah lagi.
Sudah tentu dihidupkan lagi untuk meneruskan bakti kepada kedua ibu bapa. Andai kita tiada lagi, tidaklah dapat meneruskan doa pada Yang Maha Suci, memohon ampun bagi kedua ibu bapa dalam membahagiakan mereka disana. Bila sudah mati, tidak lagi berupaya berladang, membaja, bercucuk tanam menempah syurga Allah. Tiada lagi doa ini,
"Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa ke dua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana kasih mereka padaku
sewaktu aku masih kecil "
Ubat paling mujarab dalam melawan hawa nafsu adalah berubat dengan berpuasa. Puasa menambat iman. Menundukkan kemahuan iblis laknatullah. Melawan bisikan syaitan yang direjam. Bersama kita merebut peluang berpuasa sempena Muharam. Banyak berlaku peristiwa hebat pada bulan ini begitulah juga bila dikembalikan pada diri, ternyata kehadiran Muharam membuka lembaran baru membentuk iman dalam Islam dengan penuh rasa ehsan. Pembikinan manusia jauh lebih hebat dari jin sungguhpun jin berada dimana saja namun hadirnya tidak nampak dimata. Masing2 membawa misi tersembunyi.
Pesan Luqmanul Hakim pada anaknya,
“Wahai anakku! Jika ada sesuatu yang tak bisa kau pastikan bila
dia datang, maka persiapkan dirimu untuk menghadapinya sebelum dia
mendatangimu sedang engkau dalam keadaan lengah”
Hiburkan hati dengan amalan mudah, indah dan istiqamah. Beramallah walau sedikit tetapi selalu nescaya dibukakan makrifatullah. Dalam kesederhanaan kita menuju matlamat sepertimana kisah Fatimah puteri Rasullullah s.a.w. mengadu pada ayahandanya perihal dirinya yang kepenatan seharian bekerja dan memerlukan pembantu lalu ditunjukkan baginda amalan mudah menghilangkan segala penat lelah.
Jom beramal dalam mencari redha Allah. Berniaga dengan Allah bermodalkan nyawa. Bila habis modal, jasad dihantar ke tanah perkuburan. Apa lagi yang tinggal...
“Baginda
ditanya : Kemudian puasa yg mana yang lebih utama selepas puasa
Ramadhan? Baginda bersabda: Puasa di bulan Allah yang kamu panggil
Muharam” (HR. Muslim)
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu..
( Asy Syams : 9 )
Beruntung kita bilamana Hijrah tahun ini jatuh pada hari Jumaat penghulu segala hari. Kunci pada ketenangan...kelebihan yang ada disyukuri, kekurangan yang ada sama2 kita perbaiki.
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah ( dengan mengerjakan suruhanNYA dan meninggalkan laranganNYA ) nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar ( dari segala perkara yang menyusahkan ) serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya..Dan ( ingatlah ) sesiapa yang bertawakkal(berserah diri sepenuhnya ) kepada Allah maka Allah mencukupkan baginya ( menolong menyelamatkannya ). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNYA. Allah telah menentukan kadar dan masa berlakunya tiap2 sesuatu.
Al- Thalaq : 2-3
Selamat Menyambut Maal Hijrah esok. Sambutlah Muharam dengan berpuasa. Jangan lupa berdoa sempena tahun baru ini di akhir waktu Asar dan selepas Maghrib. Mudah2an Hijrah kali ini lebih bermakna buat kita semua.