Thursday, November 14, 2013

Salam 10 Muharam

Alhamdulillah kita bersama lagi pada hari Asyura. Hari 10 Muharam. Sejarah Hari Asyura telah menyaksikan banyak peristiwa besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Sempena meraikan hari Asyura kita disunatkan berpuasa. Seeloknya dimulakan pada hari ke sembilan. Info tentang makna dan kelebihan hari Asyura boleh dihayati sepenuhnya hanya dihujung jari.

Apa yang menarik mengikut tradisi orang melayu, bergotong royong memasak bubur asyura. Biarpun ada yang tidak menghiraukan asal usul dari mana bermula sejarah bubur Asyura namun kita bahagia bersepakat mengambil berkat meraikan tanggal 10 Muharam.


Kata mak, bagi mengesahkan tarikh sebenar yang pagi itu adalah pagi 10 Muharam, burung cak rumah pun tidak kedengaran, sunyi sepi tidak berbunyi. Kadang-kadang kata-kata orang lama meninggalkan kesan tanda tanya. Biasanya bila berpagi-pagi akan kedengaran suara burung cak rumah berkicau-kicau. Memang benar sudah berapa kali 10 Muharam disambut, hamba cuba mengamati suara burung ini.  Ternyata, memang sah siddeq, suara burung ini tidak kedengaran. Ironinya mak bilang, burung cak rumah antara bahan hidangan yang dimasukkan  ketika sejarah asyura bermula. Betul atau tidak hanya Allah Penyimpan segala rahsia.Tidak pula terjumpa dalam hadis.

Kita manusia biasa sekadar  bermain dengan teka teki. Apapun kita terus menghayati Asyura sejauh mana meninggalkan kesan pada kita dipenghujung usia.


10 Muharam kali ini. hamba catatkan,  makna besar bagiku setelah hampir 7 tahun bersara awal. Ramai yang membuat andaian, hidup pasti bosan tanpa kerja tanpa pendapatan. Sesungguhnya bersara merehatkan separuh nyawa. Terlepas dari beban tanggung jawab yang tidak pernah habis. Lainlah kalau niat bekerja itu hanya sambil lewa. Setakat bekerja hanya untuk menunggu gaji, lebih baik mati. Tidak membawa apa makna dalam hidup bahkan melantun kemalasan pada anak cucu.Tidak jumpa jalan pulang sampai tua.


Bila dirasakan segala hampir selesai, anak-anak sudah boleh berdikari. Apa salahnya kita undur diri. Mencari ruang untuk diri sendiri. Memberi laluan pada anak-anak muda yang dahagakan pekerjaan. Ternyata tindakan bersara awal memberi keistimewaan luar biasa. Siapa sangka setelah putus hubungan dengan rakan-rakan sekerja, kini tumbuh rakan- rakan tunas baru. Rakan seperjuangan, rakan niaga bahkan paling terkesan muncul saudara-saudara baru. Hubungan ikhlas terjalin tanpa talian darah.


Ada yang menawar diri menjadi anak angkat. Ada sudah selesa memanggil mak. Ada yang menganggap seperti saudara sendiri dan seribu satu macam hubungan begitu indah, begitu akrab. Bahagia bila ada yang menjadikan tempat mereka mengadu, meluahkan apa yang terbuku, meminta khidmat nasihat dan berbagai lagi keperluan khususnya melibatkan rasa jiwa. Diluar sana ramai dahagakan sentuhan. Aduhaaii...


Jalinan ikhlas ini meliputi semua bangsa, semua pangkat tidak kira darjat. Rumah yang dulunya sepi bila anak-anak sudah keluar mengejar impian, kini seringkali ada tamu bertemu janji. Tidak kira doktor perubatan maupun doktor falsafah, jurutera, tidak ketinggalan guru-guru, misi-misi messy, bahkan apa jua bidang hadir membawa seribu satu masalah. Seribu satu kisah duka, kisah rumahtangga sedang mewarnai dunia hamba. Pendek kata macam-macam ada. Seronok juga dipenghujung usia dapat jadi penawar rindu. Ingatkan dihati selalu, aku berbakti kerana Allah. Jika ada pahala dalam bakti ini, hamba hadiahkan pada kedua ibu bapa kita.


Sekadar meninggalkan jejak-jejak kisah kita buat tatapan anak cucu kita. Bila kita yakin pada Allah, insyaAllah ditemukan kita jalan keluar.  Segala kesukaran dimudahkan. Bila sudah melalui jalan berduri, jalan penuh liku, tidak sukar bagi kita melalui jalan lurus bahkan dapat membantu meredakan jiwa-jiwa yang hampir putus asa dengan rahmat Allah. Allah tidak saja-saja menguji hambaNYA. SubhanAllah semakin berat ujian ditempuh semakin dekat kita dengan kasih sayang Allah. Yakin lah pada ayat Al Quran, antaranya,

 “Dan sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut, kelaparan, dan kekurangan harta, hilangnya jiwa, dan sedikitnya buah-buahan…(Al-Baqarah : 155)

Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya….  
 (Al-Baqarah 286)


Dipenghujung usia ini rasa bersyukur diberikan Allah sedikit ilmu. Sebagaimana kita semua maklum ilmu manusia hanyalah seumpama titisan air yang jatuh dari paruh burung berbanding dengan ilmu Allah yang melebihi luas lautan. Dengan izinNya juga dapat di manfaatkan untuk berkongsi, mencurah bakti. Hamba rakamkan tanda kenangan buat anak cucu sambil berpesan-pesan pada kebenaran. Online selalu dengan Allah, insyaAllah doa mustajab. Bersuara dengan mata, melihat melalui jiwa, insyaAllah masin mulut bila kurang berkata pada sia-sia.



Antara yang terkesan, kisah sebuah rumahtangga. Pasangan berkahwin sudah lama. Hampir 6 tahun masih belum dikurniakan cahaya mata. Suami sudah disahkan doktor tidak ada sperm. Seumpama mandullah dia. Miang pun bukan main bagi menutup keaiban sendiri. Isteri tetap sabar menanti. Hanya melalui sentuhan, ditambah doa mustajab, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Bila Allah hendakkan sesuatu itu terjadi, maka jadilah ia. Bila isteri sudah disahkan mengandung, dengan sendiri mententeramkan suami. Alhamdulillah, lahirlah sudah bayi perempuan sihat lagi comel bahkan sesuatu yang luar biasa, bayi ini lahir sudah tumbuh gigi bawah dua batang. Doktor sendiri mengaku tidak pernah jumpa kes seperti dia. Tahniah pada isteri dan Zahrin bukan nama sebenar.




Lagu jiwa menyentuh rasa sempena Hari Asyura.












No comments:

Post a Comment