Banyak lagi catatan perjalanan yang tak sempat nak update dalam Qaseh Bonda. Disepanjang minggu ini,banyak cerita2 menarik yang nak dikongsikan bersama. Biasalah bila Selasa, terkenangkan mak yang tak putus-putus bercerita, memberi nasihat tanpa henti. Adakalanya seperti cerita sama yang telah kita dengar dua tiga hari yang lalu. Pun begitu mak peduli apa, dia terus bercerita walaupun sudah dua tiga puluh tahun peristiwa itu berlaku. Terkadang berani juga mengusik mak, moh!! kita pasang kaset sebab cerita tu dah keluar semalam. Kami ketawa bersama. Al Fatihah buat ibuku sayang.
Lukmanul Hakim membenarkan segala tutur kata mak kita seumpama menyiram dipohon yang kering. Biarpun pohon itu telah mati, segala pesan dan cerita mak tak pernah mati, tetap terpahat dihati sanubari. Boleh dijadikan sempadan dan teladan pada anak cucu hingga akhir nanti. Kata Azimat mak itu adalah keramat.
Zaman siber sekarang ramai anak-anak sudah tidak sudi nak mendengar, tidak ada masa bercerita. Asyik melayari dunia siber. Dunia sekarang dunia berkerjaya. Biarlah mak terus berkarya cara mak sendiri. Saja suka-suka. Mana tahu bila mak tiada lagi didunia, ada yang sudi menatap warkah peninggalan mak ini sepenuh hati. Bila mak sudah tiada lagi bak kata P. Ramlee, ramai yang angkat topi dengar lagu daddy.
Apa ada pada nama.
Memang banyak maknanya pada nama. Jadi, berhati-hatilah memilih nama anak-anakmu wahai anak-anakku.. Jangan jadi jahil seperti orang dulu. Ikut sedap mulut dan panggil pun ikut sedap telinga. Ada juga orang sekarang yang menamakan anak dengan nama-nama hebat tapi sayang perangai mak bapak pula lintang pukang. Mudah-mudahan berkat menamakan anak dengan nama baik-baik, nama-nama Melayu akan memberi laluan mudah pada ibu bapa.
Ada satu contoh baik dalam rumah ini nak dikongsikan bersama pada nama anak-anak bertuah ini. Anak sulung bernama Iskandar Zulkarnain. Seorang lagi berumur enam tahun bernama Abu Hurairah. Mak memanggil nama Abu! Abu! Abu! Terdetik dihati, jarang sekali anak-anak sekarang bernama Abu. Jauh sekali orang sekarang memberi nama Abu Bakar. Orang sekarang sudah tak berani menamakan anak sehebat Abu Bakar. Akhirnya mak Abu bercerita nama anaknya yang ke tiga ini Abu Hurairah. Fuhh!! jarang sekali kita dengar anak kecil bernama Abu Hurairah.
Entah kenapa seperti ada keserasian Mak Abu meluahkan segala yang terpendam. Sudah cukup bersabar dengan kerenah suami yang hanya pandai bagi benih. Sumpah seranah sentiasa berkumandang. Sampai melahirkan yang kecil tak sampai sebulan ini pun dia tak henti menghalau kami anak beranak. Abang saya yang menumpang baru2 ini terpaksa menyewa dihotel murahan sementara nak cari rumah. Bolehkah kakak carikan rumah untuk abang saya dan paling menyedihkan abang saya mengalami strok. Tiga hari kemudian abang Suriani, bukan nama sebenar, ditemui mati seorang diri di bilik hotelnya. Polis meminta Ani ke hospital mengecam mayat. Innalillah...!!
Kelebihan pada Suriani anak-anaknya dianugerahkan Allah kepandaian sungguhpun rumahtangganya kacau bilau. Hasil bantuan ibu Ani, penerima pencen arwah bapa Ani seorang guru, jadi hidup Ani banyak dibantu mak dan keluarga terdekat.Untungnya Ani menjadi adik bongsu, ramai yang prihatin dengan kesusahannya. Anak2 Ani montel2 belaka, cukup makan dan pakai ditambah dengan supplement pembekal otak cergas bagi kanak2. Tak hairankanlah anak2 Ani cergas dan cerdas.
Sayangnya pandai saja tidak cukup bagi memenuhi tuntutan hidup berkeluarga. Anak Ani membesar menjadi penakut. Nak ke bilik air pun takut bahkan segala apa yang kedengaran membuatkan dia lebih penakut. Siti Aisyah nama yang sulong. Penakut mengalahkan adik2 yang kecil. Pernah Siti minta hadiah pada bapanya ketika kertas periksanya dapat 100. Hadiahnya engkau dan mak kau keluar dari rumah aku.
Ani jadi bingung atas apa yang berlaku pada anak2nya. Sungguhpun cergas tapi Abu cacat sikit ditangan sebab jatuh masa di tadika. Is pula sakit pasang surut. Pendek kata aku sendiri tak daya memikul segala kecelaruan yang berlaku. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Mak Ani sentiasa mendorong supaya anaknya bercerai. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya terus disiksa didepan mata. Tanpa menghiraukan mak mertua, Ani dimaki hamun setiap masa. Baru tujuh hari lepas bersalin, suami bising nak makan kari ayam.
Aduhaii siapalah hamba nak menokok tambah beban yang ditanggung. Bab rumahtangga apatah lagi bab cerai berai, jangan sesekali kita masuk campur waima mak sekalipun jangan campur tangan. Biarkan anak memilih jalan. Aku hanya boleh nasihatkan kembalilah kepada Allah. Buat sembahyang istikharah. Minta petunjuk minta kekuatan dalam memilih jalan. Kata Ani, Ani bukan orang alim kak. Masakan Tuhan nak bagi petunjuk.
Petunjuk Allah bukan di khaskan untuk orang alim saja. Semua kita milik Allah. Asalkan kita ingat pada Dia, pasti Dia mendengar permintaan kita. Kita hidup kena berpandu. Kak pun bukan orang alim tapi kak yakin Allah ada bersama kita. Tidak takut dan tidak gentar Allah ada bersamaku. Itulah kata kunci ketetapan hati yang membuatkan iblis lari lintang pukang. Tiada lagi hasut menghasut. Bab meruntuhkan masjid memang iblis paling laris berjual beli.
Dengan kekuatan yang ada pada Ani, aku yakin dia dapat mengharungi semua detik cemas bersama suami.Anak2 Ani bakal menjadi anak2 berjaya disuatu masa nanti asalkan Ani tetap teguh dengan kesabaran yang ada. Mahal harga seorang ibu adalah air tangannya. Aku pasti air tangan ibu bakal menjinakkan anak2. Kerajinan Ani begitu luarbiasa melayan makan anak2 walaupun dia sendiri tidak sihat. Sukar nak cari ibu yang sabar dan rajin seperti Ani dewasa ini. Ani kena selalu berdoa dan mendampingi Allah setiap masa. Jangan terus membiarkan anak2 dibelenggu rasa benci kerana benci membuahkan anak2 jadi pengecut. Curi2lah masa menyelami perasaan anak2.
Kisah rumahtangga ini jadikanlah pedoman. Kita tidak mungkin dapat mendidik semua menjadi sepertimana yang di idamkan tetapi kita sendiri boleh mendidik diri kita untuk menjadi bapa pengasih dan ibu penyayang. Sesungguhnya Dia yang menciptakan hambaNya, hanya Dia yang tahu sejauhmana kemampuan hanbaNya.
No comments:
Post a Comment