Thursday, September 8, 2011

Penyakit misteri

Sakit Misteri biarkan tinggal misteri. Tiada siapa yang dapat merungkai apakah punca penyakit misteri. Doktor pun buntu, tok bomoh mula merapu. Membuat andaian yang bukan-bukan. Tuan empunya badan merana, tiada siapa yang tahu. Kembalilah pada Allah, Tuhan pencipta alam semesta.

Tanggal 20 Ogos lalu hammb dimasukkan ke wad othorpedic untuk menjalani pembedahan kecil disebabkan kebas-kebas jari, yang sudah lama dilalui. Doktor bilang masuk pagi keluarnya petang. Lega sikit hati. Maklumlah bab bedah membedah ni memang i kecut perut. 

Selesai pembedahan pukul 9 pagi. Pukul 2 petang teman sebilik yang sama senasib tapi bedahnya lebih panjang dan masih sakit dibenarkan pulang.  Ini sudah tidak adil. Walhal saya yang lagi mudah dan sakit sikit2 tak benarkan pulang. Alahaiii...kecewa hati bukan kepalang. Maklumlah dibulan puasa. Kasihankan suami dan Adam dirumah. Bersahur mereka bagaimanalah jadinya. Bersungut juga pada misi dan doktor tapi biasalah. Keputusan doktor  muktamad. Biasalah doktor kan macam tak de perasaan.

Malas bicara melayan hati gundah gulana, kedengaran anak kecil dikatil hadapan dibilik yang sama, menangis merengek tanpa henti. Adalah sekali sekala saya menegur mak yang setia menemankan anak. Mak sendiri tidak tahu anaknya sakit apa. Doktor pun buntu. Sudah berhari dia di sini. Datang dari jauh nun dari Kroh. Dari hospital Baling, dihantar pula kesini.Doktor mengkaji tak habis-habis sedangkan sikecil tak henti menangis.

Masuk saja misi periksa, anak kecil menangis menggila-gila.Bagaikan dirasuk. Sungguhpun misi sekarang tak macam misi dulu-dulu namun tetap melemparkan senyuman sambil mengusik si Azam. Nama anak kecil berumar 2 tahun setengah tu Azammuddin. Sedap nama tu. Sah membesar dengan penuh Azam.  Tangisan Azam merimaskan kita yang sedang gundah gulana. Sedang bersedih melayan perasaan. Udahlah sakit kena bedah ni, bila hilang ubat kebas  sakit macam disiat-siat. Memikirkan bagaimana anak dan suami malam nanti tambah membosankan mendengar tangisan Azam. Rimasnya melihat Azam.

Azam terus menjerit, meronta-ronta sampai bengkak mata. Alahai sayang mak! Sakit apa lah kau wahai anak...Acer citer!! Azam menangis dan terus menangis. Waktu senja ketika itu, masuk seorang doktor India. Katanya ' kalau tiada perubahan esok pagi kami nak potong kaki '.

Hamba yang asyik melayan perasaan, tersentak dari lamunan bila terdengar kata-kata tuan doktor. Banyak ko punya cantik. Suka-suka hati ko nak potong kaki budak ni. Ehh budak ni sakit apa sebenarnya....hadooiii, tak pasal-pasal hamba yang resah gelisah dibuatnya dengan kenyataan tuan doktor tadi. Jadi doktor, padanlah kering hati. Nak selesai masalah potong ja kaki. Bukan kaki doktor pun yang kena potong kan...

Dalam pukul 8 lebih ketika suasana kembali sepi, hanya kedengaran rintihan si Adam. Tak putus merengek pada emak.  Hamba dekati katil Azam dengan sebak rasa didada. Azam ni sakit apa!! Tadi mak cik dengar doktor nak potong kaki!!

' Entahlah mak cik...sampai sekarang doktor tak dapat kesan. Kaki Azam merah-merah. Doktor risau takut merebak. Saya takut makcik!! Saya rasa Azam tak sakit apa. Entah kena gigit binatang tapi doktor sendiri pun tak dapat kesan.

Meremang bulu roma ini. Mula terdetik seperti ada yang tak kena pada budak ini. Hamba minta izin untuk memegang dan mengusap kaki Azam.Tambah merah menyala kaki anak malang yang bakal dikerat esok pagi. Hamba peduli apa. Beranikan hati dengan sentuhan.Tangisan Azam semakin reda dan dia lena tidur dalam pelukan ibu. Sama-sama kita berdoa malam ni. Minta pada Allah banyak-banyak. Mana tahu kut malam ni malam Lailatulqadar. Diangkat doa jadi mustajab. Kita hanya mampu berdoa. Allah menentukan segalanya. Nasihat hamba pada mak Azam. Walaupun nampak kecewa dengan keputusan doktor, dia wanita cekal.

Esok pagi, macam tak percaya, kedengaran suara Azam mengekek ngekek ketawa. Bergurau dengan mak kesana kemari. Walaupun kaki Azam terjengket disebelah kiri, dia masih boleh berlari seperti kanak-kanak y lain. Macam ni lah Azam sebenarnya kalau dia tak sakit..kata siemak. Merah dikaki Azam sudahpun reda. Mak Azam nampak ceria. Syukur  pada yang Maha Kuasa.

Saya pula dibenarkan pulang, Sedang bersiap tak sabar nak balik, masuk empat orang tuan-tuan doktor termasuk seorang doktor pakar menuju terus ke katil Azam. Belek sana belek sini, akhirnya doktor pakar membenarkan Azam pulang pada pagi yang sama dengan saya tanpa banyak bicara. SubhanAllah, Maha suci Allah yang memakbulkan doa para ibu. Doa yang tak de transit. Terus sampai ke langit sempena Ramadan mulia, sempena semua insan mencari lailatulqadar teristimewa.

Jangan difikirkan lagi Azam sakit apa sebab Dia yang menurunkan penyakit. Dia Maha Penyembuh. Pada Dia kita berserah dan bertawakkal. Biarlah sakit Azam tinggal misteri. Apa yang penting, kita yakin pada senjata yang ada pada kita. Doa itu senjata mukmin. Berdoalah!!Sejauhmana kita yakin dekatnya Allah dengan kita, sejauh itu juga Allah pasti tidak menghampakan doa hambaNYA.

Saya yang masih tak puas hati sebab kena bermalam di hospital tetap bersungut dengan janji doktor. Ada doktor yang seawal pagi yang masuk terkejut sebab saya masih disini. Eh..kenapa tak keluar lagi. U sepatutnya dah discharge dah semalam. Tak faham sungguh dengan kaedah keluar masuk hospital ni. Nak saja saya bagi tahu tuan doktor...ko ingat aku suka ke tidur hospital ni.

SubhanAllah, mak Azam mengingatkan saya. Mujur mak cik tidur disini semalam. Dapat juga membantu kami. Alhamdulillah sesungguhnya memang ada hikmah pada setiap kejadian bila kita berbaik sangka pada Allah..

Diakhir pertemuan, macamana dengan garam, beras, jarum dan duit 25 sen tu makcik?, kita kena tunggu suami saya sampai dari gerik nanti.

Makcik kembalikan sedekah pada Azam dan kalau boleh bila lalu depan mana masjid nanti dermakan saja 25 sen tu pada masjid.





Tuesday, September 6, 2011

Selasa bersejarah

Hari ini hari Selasa. Istimewanya Raya tahun ini disambut pada hari Selasa. Hari nostalgia. Hari Selasa menghimpun sejarah. Hari yang selalu membuatku terkenang saat mak meninggal dipangkuan hamba. Walaupun sedih hamba bersyukur mak dijemput mudah. Sungguhpun usia mak sudah lebih 83 tahun, mak tak pernah susahkan sesiapa bahkan sampai hujung nyawa mak tetap ceria.  Segala kenangan bersama mak    terpahat dihati sanubari. Mak tersisih dari anak2 sebab mak orang susah. Tidak meninggalkan harta berkoyan untuk anak2 mak berebut. Aku lebih rela mak kembali kepangkuan Allah sebagai orang miskin. Bagiku ilmu peninggalan mak sudah cukup mak bekalkan. Kadang kala manusia lupa, di ciptakan dia diatas untuk apa sebenarnya. Walaupun pada pandangan mata, akal dan hati semua yang ada bukannya datang dari usaha mak maupun bapa, kenapa mesti dia lupa siapa membenarkan dia melihat bulan dan matahari. Segala yang berlaku pada mak semuanya meninggalkan pengajaran paling berharga.. Dalam hidup jangan lekas berputus asa, berputus harap pada yang Esa. Kecekalan mak menempuh segala kesusahan bersama menjadi kenangan paling indah buat kami berdua.

Al Fatihah untuk  ibuku sayang.

Ibu yang cantek luar dan cantek dalam. Mak langsung tak mengeluh pada semua peristiwa yang mengguris perasaan bahkan mak akui mak tak dapat tumpahkan kasih pada anak2 disebabkan  mak banyak tanggungjawab, terbeban sebagai hamba, sebagai isteri dan ibu pada anak2nya ramai, sebab tu kata mak anak2 pun tak kasihkan dia. Ini sudah tidak adil bagi mak. Kesian kat mak!! Apa pun gambaran yang ada mengajarku mengenal erti kasihnya ibu. Bukan harta atau rupa jadi sandaran. Paling digeruni bila kita selalu mengecewakan mak pasti kita tak lari dari hukuman. Di satu masa dan di satu ketika sudah pasti anak2 akan kembali berbuat  perkara yang sama. Bila mak sudah tiada, hanya sesalan meruntun jiwa, sukanya manusia  berpura2. Padahal jelas terpancar semua rahsia hati bila melihat raut wajah2 kusam tanpa seri.

Sayang semuanya sudah terlambat...tak guna dikesalkan lagi. Sampai giliran kita pula yang sudah tua. Masing2 berebut untuk berbaik2 dengan anak2 padahal hakikat hidup sebenar sudah di ajar oleh nabi kita, berbuat baiklah pada ibu bapa nescaya anak2 akan buat baik pada kita. Kerajaan rumahtangga yang ada sekarang, yang berantakan pagi dan petang adakala sampai malam  tak ubah seperti kerajaan Barisan Nasional. Rakyat sudah pandai kecewa, inikan pula anak2 yang menbesar didepan mata. Sudah bijak menjadi hakim yang arif lagi bijaksana.

Selasa muncul lagi hari untuk  kita memeriahkan semula suasana raya  setelah menjalani ibadah puasa enam Syawal. Tahniah pada remaja perempuan  berilmu yang sudah menunaikan qada puasa seiring meraih pahala puasa enam. Pada anak2 muda diluar sana salah satu tips mencari jodoh, carilah yang berilmu dalam berugama. 

Tidak ramai anak gadis yang sanggup mengorbankan nafsu makan sempena hari raya. Kalau dulu amalan berpuasa enam  Syawal khususnya hari kedua raya secara terus, di monopoli oleh wanita2 tua yang dah menopause dan yang sudah hilang selera makan. Alhamdulillah kesedaran sudah menjalar dikalangan para gadis remaja dan wanita tua muda untuk sama2 mengambil peluang menjalani ibadah puasa enam dengan gumbira tanpa mempedulikan juadah2 hari raya yang kaya dengan kolestrol tinggi, lemak berkrim disukai ramai. Sunat berpuasa enam yang muncul setahun sekali datang menyapa pada yang sudi membeli, mengutip keuntungan yang hanya Dia  berhak memberikan nilai sebenar ganjaran.

Zaman tujuh puluhan dulu zaman Jahiliah. Tidak dilatih anak2 secara langsung untuk berpuasa. Ikut suka hatilah nak puasa ke tidak tapi yang pasti anak2 dilarang samasekali untuk makan bersama orang2 berpuasa. Tiada kompromi. Keputusan bapak muktamad. Bertawaflah kamu keliling pinggang mak namun nak jemput makan jauh sekali. Bagi yang memang giat dengan aktiviti luar, dia peduli apa tak makan bersama. Di masjid dia masih berpeluang menjamu selera. Bila dah besar panjang, dia lah otai, dia lah taiko. Orang2 begini, dah pakat jadi orang besar sekarang. Liatnya mereka untuk berpuasa masa muda2  menjadikan mereka orang berguna di hari tua Hanya dia yang meyimpan rahsia kejahilannya ketika muda belia. Kelebihan pada laungan azan.

Berbeza dengan zaman sekarang anak2 yang lima tahun pun sudah rajin berpuasa penuh. Mak bangga giler!! Latih tubi orang dahulu kala jauh bezanya dan memang berbeza tapi impaknya melekat dihati sampai hari tua. Ada sebab rupanya bila tiada yang memaksa untuk berpuasa, menyuruh pun tidak, marah pun tidak. Benarlah kata Nabil...Lu pikirla sendiri!!

Ya tak ya jugak...bukanlah cukup umur berpuasa  pun masa tu. Ikut suka engkaulah nak puasa ke tidak. Janji tak boleh buka sama. Satu penghinaan masa kecik2 amat terasa meninggalkan kesan sampai ke tua. Tanda kasih orang dulu kala tidak melampaui batas. Ada had untuk anak2 tunduk hormat. Bezanya kasih orang dulu zahir tak terucap. Kasih orang sekarang terlebih kasih.  Bila anak2 tak dengar kata, lebih selesa dengan kawan2, mak mula hilang arah, hilanglah nikmat cinta dalam rumahtangga. Nak menumpang kasih jauh sekali. Bermula episod ungkit mengungkit, jeling menjeling, tiada lagi tegur sapa. Bila masing2 merasa bosan terbuka semula lembaran sejarah hitam hidup berkeluarga. Jangan biarkan sejarah silam yang diwarisi turun temurun oleh orang2 melayu berulang dalam rumah tangga kita. Benar kata Dr. Robiah K. Hamzah, didik wanita, terdidik generasi.

Orang putih pula kata,  What you give you get back.

Sama bersepakat cipta bahagia. Kelainan kita cipta, impak maksima kita tempa bagi mengutip segala kemanisan makna berkeluarga. Makna sebenar bila dah jadi mak...harga diri seorang ayah. Ada sebab kita dijadikan kakak, jadi abang dan jadi adik. Kena tunjuk contoh terbaik, berkasih sayang sama rata. Sulong ke bongsu sama sahaja. Apa yang penting, saling bekerjasama. Bila kita baik, orang keliling turut jadi baik. Bagi menebus segala ketidaksempurnaan sayugia  kita yang sedang meniti usia2 emas ini, merebut peluang mengumpul pahala dengan membanyakkan berpuasa sunat sepertimana hadis yang di riwayatkan oleh  Abu Hurairah r.h. 


Rasulullah s.a.w. bersabda : Semua amalan Anak Adam adalah untuknya kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku (sendiri yang) akan membalasnya. 

Hanya dengan berpuasa dan diteruskan berpuasa sunat kita merasakan keyakinan tinggi untuk memantapkan hati. Keistimewaan dalam berpuasa sunat se awal 2 syawal secara terus dari tahun ke tahun membuka tabir kemanisan dalam beramal. Mengenal diri secara hakiki. Menjaga lidah sepanjang hayat. Tunduk sujud mensyukuri nikmat Tuhan, nikmat hidup, nikmat kelapangan, nikmat kesihatan dan segala nikmat yang di pancarkan melalui kehalusan dan kelembutan yang Maha Rahim.

Di kesempatan masih ada, dikala masih lagi diberi peluang menghidupkan semangat Ramadan. Sama2 kita meneruskan bakti murni pada diri sendiri tanpa berlengah lagi. Sebelum dijemput awal atau agak lambat atau pun masih dikira kuat untuk terus menungkat langit, bertanyalah pada hati sejauhmanakah kita sayangkan diri. Kadang2 kita lupa soal hati sendiri, yang meronta2  minta disucikan selalu, hati sering dipenuhi kotoran lalu hati dahagakan perhatian dari tuan empunya badan. 

Sayup terdengar suara hati mohon berselawat ke atas nabi, tanda cintakan nabi cinta paling tinggi. Hati terus membisik minta mengingatkan Dia ketika tuannya susah maupun senang. Hati yang telah lama membenarkan hawa nafsu bermaharajalela, membiarkan syaitan terus bersarang sewajarnya dididik dengan berpuasa.  Bila gabungan hati dan jasad menjadi kuat, hidup tidak gentar menempuh badai, dilanda derita itu jadi nikmat. Sudah sehati dalam  satu jiwa menempah masa depan bahagia. Dunia semakin canggih dengan warna warni iklan serba serbi untuk mengingatkan kita pada jenama mereka sedang hati tidak pernah berubah fungsi, tidak tua dan tidak muda, cumanya hati terus merintih minta tidak lupa pada Pencipta yang Maha Kaya.

Antara doa mustajab minta hati tidak berpaling lagi; 

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami
sesudah Engkau beri petunjuk dan kurniakanlah
kepada kami limpah rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau 
jualah Tuhan yang melimpah2 pemberianNya.

(Al-imran 3:8)






  

Sunday, September 4, 2011

Raya kali ini...

Raya kali ini meletihkan akal dan jasad. Raya kali ini dihabiskan dengan membuta. Tidur sepanjang hari melayan mata sentiasa kuyu, badan jadi lesu. Apakah faktor usia membuat diri sentiasa keletihan atau faktor persekitaran membuatkan jiwa jadi kacau? Wallahualam. Bergambar boleh menipu mata sesiapa sahaja namun hati tak mampu menipu jasad. Hanya dengan tidur dapat melepaskan segala rasa yang meruntun jiwa. Tiada lagi sandiwara semasa.

Berderai airmataku disubuh ini bila terkenangkan suasana malam tadi bila diri ini dimandikan. Dibersihkan seluruh anggota badan. Alhamdulillah....mujur Allah bekalkanku seorang anak perempuan. Penawar qalbu, pengubat sukma, penghibur bersama. Masih tidak terlalu uzur untukku merasakan nikmat anugerah ini. Anak yang sentiasa bersedia memotong kuku mak. Memandikan sambil membersihkan seluruh badan mak tanpa keluh kesah bahkan melakukan dengan rela, dengan gurau senda dan lawak jenaka. Dalam ketawa ria, apalah daya bonda. 

Thank Q Allah for the gifted hand. Sungguh tidak ternilai rasa anugerah Allah. Janganlah meninggalkan anak-anakku walau sekelip mata pun jua, wahai Allah Maha Pemurah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Raya kali ini raya bermain dengan airmata. Penyatuan sanak saudara yang terpisah hampir suku abad. Dengan kehadiran dia kami berkumpul semua ahli keluarga. Bersatu semula jejak-jejak Qaseh yang sudah lama ditinggalkan. Menangis dan bercerita sambil bergumbira tanpa lagi memikirkan kisah silam menyedihkan. Memandang kelibat anak saudaraku ini tak ubah seperti watak tok wan. Tutur kata yang penuh adab, tingkah laku dan langkah diatur pun seperti tok wan. Alhamdulillah...syukur pada Allah, ibu bapaku tidak mensia-siakan hidup anak yatim ini semasa dalam jagaan mereka dahulu kala. Ternyata anak saudara yang sorang ini berjaya mendidik anak-anaknya dengan baik. Mudah-mudahan anak-anak itu nanti bakal mewarnai dunia warisan berilmu dan beramal. Sayu dihati memandang anak kecil, ada yang sedang meniti usia remaja sudah kehilangan ibu tempat bermanja, tiga bulan yang lalu.

Raya kali ini rasa ralat juga kerana tidak dapat bersembahyang raya walaupun sudah dibelikan puteriku telekung baru untuk bonda. Marah juga pada diri ini yang sudah seperti tidak berdayalah sangat. Sepatutnya hamba berbaik sangka pada Allah. Ada sebabnya bila Dia menjadikanku tidak berdaya pada raya kali ini. Hamba bersyukur kerana masih mampu menziarahi pusara bonda. Menginsafi dan mensyukuri pada rahmat Allah tatkala saban minggu ke hospital mencuci luka. Ramai lagi lebih tidak berdaya, hadir berkerusi roda mencuci luka parah. Ada yang potong jari, potong  kaki  sana sini habuan kencing manis. Ada yang datang mencuci luka dikepala akibat kemalangan, ada luka lama mereka masih bernanah, meninggalkan bau yang kita sendiri tidak mampu bertahan tambahan bila kita sedang berpuasa. Jadi, apalah sangat lukaku yang hanya sedikit, hasil pembedahan kecil kerana kebas jari yang di alami hampir empat tahun. Semua pemandangan menjadi iktibar untuk kita menitikberat tentang kesihatan dan keselamatan diri.

Alhamdulillah...Maha suci Allah yang meringankan segala beban pada raya kali ini.

Petua Dr. Fadzilah Kamsah. Bila kita selalu memaafkan orang, tidur kita senang, hidup kita lapang dan jiwa sentiasa tenang.