Tuesday, March 12, 2013

Terima kasih Mak!!

Segala puji bagi Allah yang menghidupkanaku dari matiku dan kepadaMU aku dikembalikan.Doa ini selalu terbit dari otak sebaik saja mencelek mata. Bagi merungkai ikatan syaitan yang membelenggu, kena bingkas bangun. Seperti biasa online dengan Pencipta.


Paling tidak sekadar witir walaupun satu rakaat asalkan konsisten. Bukan mudah mendidik nafsu. Mana munkin aku dapat melupuskan kenangan hari ini. Hari Selasa. Menjelma semula kenangan saat mak mati dipangkuan. Mak pergi dan takkan kembali padahal malam itu mak minta buatkan teh tarik. Akhir ucapan ketika teh sampai depan mak adalah perkataan terima kasih. Bukan mudah pula melupakan detik pengalaman bersama mak.


Masing-masing menpunyai persepsi bahagia yang berbeza. Cukuplah bahagia bagiku ternyata, bila mak meninggal dipangkuan. Kematian mak diuruskan anak dengan sempurna munkin. Pusara mak yang banyak berkorban melahirkan 10 orang anak juga berdekatan. Alamat dikad pengenalan mak sama dengan sijil kematian mak.


Tiada istilah mak hidup bersendirian. Tiada penunjuk arah mak diabaikan dari hidup sampai mati. Mak tidak dibiarkan hidup berseorangan. Mak bersemadi dihati. Sampai liang lahad, nafsu memang mengatakan mak cantik atas dasar rupanya, akal mengatakan mak juga  cantik atas dasar ilmu dan kebijaksanaannya, dan hati mengatakan mak paling cantik atas dasar akhlaknya.


Tanpa tunjuk ajar sepanjang perjalanan hidup bersama mak dari kecil sehingga dewasa, mana munkin aku dapat belajar makna dihidupkan  ini untuk apa dan untuk siapa.


Hiba hati melihat anak-anak melayu khususnya yang cantik-cantik mengikut tafsiran nasfu yang kulitnya putih selepuk, rupa  cantik menawan, hiasan luaran cantik-cantik belaka, akal berkata tinggi ilmunya namun pada dasar akhlak tiada bezanya dia dengan kuntuman bunga- bunga dedap.


Tidak semua kita dilahirkan cantik rupa. Cantik rupa anugerah. Piala menang semula jadi. Andai hidup berpaksikan cinta,  usia tidak dapat menumbangkan takhta kecantikan. Cantik akal perlu belajar. Cantik akhlak cantik yang perlu dipupuk, disemai, dibaja hingga cantik jadi ampuh.Akhirnya yang  nampak dimata turun kehati, betapa cantiknya ciptaan Dia.


Pernah suatu waktu dahulu, anak gadisku mengadu yang dia malu sebab tak cantik. Kawan-kawannya bukan saja pandai bahkan cantik-cantik belaka. Selalu rasa tersisih oleh teman-teman. Jadi keliru dalam mengejar kejayaan.


Saat itu sampai kepagi kami berdua berlagu seperti puith putih melati, merah, merah delima, siapa yang baik hati pasti diterima. Sambil kami berdua menitiskan airmata dalam memberi makna cantik yang sebenarnya. Membuka minda anak tercinta, bukan cantik dipandang orang.



Alhamdulillah, keesokannya anak nampak ceria. Begitulah hari-hari yang dilaluinya sehinggakan dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, dikelilingi semua teman-teman. Bersyukur padaNya kerana anak menzahirkan segala yang menyesakkan dada ketika sedang meniti usia.


Mak hanya belajar dari persekitaran. Mujurlah aku punya mak yang cantik namun tidak pernah membezakan antara anak-anak yang cantik maupun tidak. Sesungguhnya mak setia bersama yang tidak cantik ini bagi membuktikan cinta tidak mengenal siapa.



Subhanallah. Aku yang sepatutnya berlebih terima kasih pada Mak.  Mak yang tidak jemu membuktikan kekuatan yang ada pada dirinya sukar dicari ganti. Mak tabah dalam senyuman yang sesungguhnya terbukti hidupnya mak untuk apa dan untuk siapa. Hidup ini tidaklah selalu indah tapi yang indah tetap hidup dalam kenangan. Benar kata HAMKA, Tahan menderitai kepahitan hidup sehingga penderitaan menjadi kekayaan adalah bahagia.


 



 








 

No comments:

Post a Comment