Saturday, March 23, 2013

Hari ini dan Semalam

Semalam rumahku didatangi Aminah bukan nama sebenar bersama suaminya seorang AJK Masjid. Sudah lama sang suami minta  kerumahnya. Kabarnya rumah mereka macam ada sesuatu yang tidak kena. Macam ada hantu, suami isteri selalu mendapat kesan-kesan cakar dibadan.


Siapalah hamba untuk kerumah Aminah. Hamba bukan bomoh jauh sekali seperti gerangannya ustaz yang tahu serba serbi, selok belok kehidupan hantu. Apapun untuk tidak menghampakan, hamba sampaikan pesan untuk mereka datang saja kerumah. Biarlah hamba mengenali penghuni rumah terlebih dulu. Bagiku bila ibu rumah kuat, rumah tidak mudah diceroboh.


Muncul Aminah semalam bersama suami. Aminah malu-malu lalu diajak kebilik untuk lebih selesa bual bicara. Setelah menceritakan hajatnya, Aminah bertanyakan apa yang tidak kena dalam rumah Minah, kak!!


Terus terang, kita tidak boleh menyalahkan benda yang kita tidak nampak. Itu hak Allah.Hanya Allah saja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kita manusia yang diberi pancaindera, lengkap dengan mata dan telinga sepatutnya lebih kuat dari hantu atau dari perkara yang tidak menentu.

Ternyata Aminah insan baik. Suaminya juga orang baik. Kalau tidak masakan Aminah bercerita suaminya yang menguruskan arwah mak Aminah semasa hidupnya dulu. Suami yang cebokkan mak. Suami yang siapkan segala-galanya untuk mak minah, kak. Tapi kenapa Minah suka marah-marah. Suka membebel tak tentu pasal. Kadang-kadang Minah sedar Minah bersalah.

Begitulah perempuan,

Tidak pernah mahu bersyukur dengan anugerah suami yang Allah bagi. Masih mencari jalan untuk menguji kesabaran suami. Bukankah itu hasutan iblis yang dilaknat. Suka sangat melayan kerenahnya setan. Kita tahu marah yang tidak menentu itu hasil bisikan syaitan, masih juga mahu menjejaki hidupnya mereka. Untuk mencari jalan melayani kerenah setan, kita mula menyalahkan orang-orang disekeliling.

Jiran, saudara mara, anak-anak waima suami pun kita heret bersama pada kancah permainan jahat ini. Walhal kita sendiri menyedari perbuatan itu adalah salah namun demi mengubat hati yang lara kita dibuai rasa sengsara. Mula menyalahkan diri. Menyesali pada kesilapan. Masih tidak jumpa jalan keluar kita mula nampak hantu. Bila hantu terpikat pada kelemahan yang kita miliki, tidak salah lagi bagi hantu untuk meninggalkan tanda mata buah tangan ingin hidup bersama.

Wahai perempuan,

Mari bermuhasabah tentang nikmat jadi perempuan. Perempuan itu wanita  dimuliakan Tuhan. Perempuan itu bukan beban. Nikmatnya perempuan bila dicintai, bila jadi  isteri menemani suami, bila jadi ibu, dikasihi anak-anak dari hidup sampai sesudah mati..


Bukan mudah menjadi mithali. Mana munkin dapat menandingi kehebatan Siti Hajar, isteri terbilang, ditinggalkan ditanah yang kering kontang. Tidak juga sekaya Khadijah isteri pertama Rasulullah. Siapalah kita wahai perempuan nak dibandingkan dengan Aisyah yang manja jelita, jauh sekali semulia Fatimah puteri baginda Muhammad Rasulullah s.a.w.


Namun begitu ada kisah jadi teladan. Jadi sempadan antara perempuan dahulu dan perempuan sekarang. Kisah perempuan dulu-dulu yang rajinnya dari hati, berkorban mereka sampai ke mati. Jadi anak, jadi isteri, sehingga menjadi ibu. Tanpa keluh kesah sebab mereka takutkan Allah. Taat mereka terlalu tinggi sebab yakin budi perkerti diperhati. Dunia begitu kecil berbanding tanggungjawab yang dirasakan besar. Seumpama memelihara dusun durian, begitulah pengorbanan orang perempuan. Dinikmati hasil tangan sampai tujuh keturunan.

Kisah nenek kebaya jadikan teladan. Kisah Kak Mah tak tutup kepala, mendidik suami sampai hilang jantan. Kisah tok mah berambut palsu, bikin suami jadi beku. tiada rasa cinta sesama manusia.  Kisah perempuan berkerjaya namun hidup tidak bahagia. Entah dimana silapnya, perempuan sekarang semakin menjadi-jadi malasnya. Baik yang keluar universiti maupun yang tidak berkelulusan tinggi. Malas sudah seperti kerjaya. Tidak segan silu jadi perempuan pemalas.

Gara-gara sudah berduit, rasa malas sudah  sebati dalam jiwa.Berduit semua boleh dibeli. Kononnya dapat membeli kasih untuk melalaikan anak-anak, diserahkan ipad pengganti diri. Biar anak bijak IT walhal usia baru setangga, usah dilatih apa dia suka. Mandian anak sendirian saja. Makan minum anak-anak sambil berdiri, sambil berlari. Menyisir rambut anak-anak jauh sekali.Bila dewasa anak-anak dah pandai demand.  'We want your presence not your presents '. Sayangnya semua sudah terlambat. Terciptalah anak sitanggang moden.

Jangan dimanjakan perempuan. Cukuplah perempuan tempat bermanja.


Wahai Aminah,

Berbahagialah jadi perempuan, bila kita kenal siapa kita disisiNya. Mudah meraih pahala. Jangan dikesali kisah lalu. Aminah berderaian airmata menceritakan dia pentingkan kerja, mak ditinggalkan keseorangan dirumah. Abang-abang adalah menjengok untuk memberi makan mak tapi  yang dikesal sampai hari ini sebab minah tidak pernah ambil cuti. 

Aminah! ! semuanya sudah tertulis. Yakinlah pada kehidupan hari ini. Kenapa Minah dihidupkan lagi hari ini. Bukankah ada tiga perkara yang mak Aminah tinggalkan? Salah satu adalah anak-anak soleh yang mendoakan untuknya. Jika benar Minah nak jadi anak soleh, hidupkanlah hari ini dengan meneruskan bakti pada kedua ibu bapa. Persekitaran memang mengajak kita untuk melupakan mereka. Jangan terpedaya dengan segala tipu daya.

Bila marah, Istigfar banyak-banyak. Macam-macam kaedah ustaz mengajar kita menghindar rasa marah. Sebelum suka nak marah orang, marahkan diri kita dahulu.  Tanyakan diri kenapa aku jadi marah. Tidak kira dimana Minah berada, bila Minah teringat pada mak, terkenangkan segala kekesalan, hantarkan fatihah pada mak. Selepas solat kita hadiahkan Fatihah pada junjungan kita terlebih dahulu, juga pada keluarga dan para sahabat baginda, kemudian pada ibu bapa. Tanpa diduga dikepala ini muncul pelbagai nama baru dan lama mengalahkan perisisian dalam komputer untuk kita kirimkan hadiah berupa Fatihah. Hati hidup dengan bunga-bunga cinta. Pastinya Aminah tidak ingin dimatikan lagi untuk terus berbakti.

Aminah kata Aminah pendendam. Siapa kita nak jadi pendendam sedang Nabi ampunkan umat. Dendam pada musuh, istigfar banyak-banyak, kirimkan Fatihah. Buat jahat jangan sekali. Banyakkan berselawat tanda cinta pada Nabi cinta kita paling tinggi. Bayangkan ada malaikat yang menghantar khusus selawat kita pada baginda Nabi. Tiada lagi yang kita dambakan selain mengharapkan syafaat Nabi Muhammad s.a.w.


Aminah kesal anak tidak mahu bertudung memandangkan suami orang masjid. Anak itu masih muda. Aminah dulu pun pernah muda. Bertudung jangan dipaksa-paksa. Perlu mengambil masa. Berdoalah seperti doanya nabi Daud yang mana besi pun boleh dilembutkan. Melihat pada tanda yang ada di bahagian lutut dan pergelangan kaki Aminah membuktikan Minah rajin bersembahyang. Jadi, jangan diikut rasminya setan. Syaitan memang suka mendekati orang perempuan yang baik-baik tapi lemah spritual. Jiwa perempuan kena kuat, kental, tidak takut dan tidak gentar. Allah ada bersama.Bila bahagia dihati, kita tidak ingat yang lain lagi selain hidup hanya kerana Allah.

Aminah memelukku  erat semalam Aku diciumnya dengan penuh rasa gumbira.

Masa datang tadi saya macam tidak bermaya, malu pun ada, serba tak kena. Hanya Minah saja yang tahu kak, macamana rasa Minah saat ini. Minah rasa kuat , Minah rasa seronok sangat. Minah tercari-cari selama ini. Minah baru jumpa. Lambat ke cepat tapi Minah dah jumpa.

Hari ini, ku lukiskan kisah semalam bersama Aminah. Tanda kenangan sepanjang perjalanan hidup ini. Tiada yang lebih bahagia bila diberi peluang oleh Allah dapat berkongsi bahagia.

Mudah-mudahan Aminah bertemu jalan pulang. Bila Aminah sudah kenal diri, pasti setan lari lintang pukang. Hakikat sebenar syaitan paling gerun pada perempuan sebaik Aminah.







No comments:

Post a Comment