Kita sudah berada diambang terakhir fasa ketiga tawaran hebat bersama ihya' Ramadhan. Menghidupkan Ramadhan, membaja hati supaya subur selalu sampai ketemu lagi Ramadhan yang akan datang. Bila subur mekar di qalbu tentu dalam hati ada taman.Biar tiada siapa yang tahu hati ini mengingatMu selalu. Saban waktu memuja dan memuji. Berbunga-bunga rasa cinta dihati.
Terkenang-kenang difasa ini saat mengenal erti kehidupan.Kalau bapa masih hidup, usia bapa sudah melepasi 107 tahun dan andai mak masih ada, mak sudah berumur 91 tahun. Ibu dan ayah dijemput pulang ketika anak-anak sudah matang dalam hidup berumah tangga. Masing-masing sarat dengan tanggungjawab. Dibebankan dengan tanggungan bagi mengenal pengorbanan ibu bapa.
Mana mungkin dihapus kenangan bersama tatkala mak dan bapa menemaniku ke Kuala Lumpur melapurkan diri bekerja diKementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KDN). Hamba rakamkan kenangan untuk anak cucu tanda penghormatan tidak terhingga pada korban kasih ayah bonda. Masih terbayang diruang mata saat keduanya menantiku dibawah pohon rendang diluar perkerangan pejabat. Sayu memikirkan keduanya menantiku dari pagi sehingga habis waktu pejabat.Tidak terlintas dihati ini bertanya ketika itu tidakkah keletihan menanti. Apa pula yang telah dimakan bagi mengalas perut sepanjang perjalanan malam tadi dengan menaiki bas nun jauh dari utara. Kami sampai waktu subuh.
Maafkan atas kejahilan anakmu yang tidak berdaya ketika itu. SubhanAllah! hebatnya kekuatan yang Allah beri pada ibu bapa yang sudah lanjut usia ketika itu. Terbayang kenangan kami berjalan bersama-sama, menahan teksi yang lalu lalang. Tak tahu mana arah dituju. Kami dibawa terus ke Kampung Baru.Bersama menyusuri jalan-jalan di Kampung Baru mencari rumah sewa.
Dimudahkan Allah,hamba ditinggalkan setelah keduanya berjaya menempatkan anak mereka dirumah sewa. Malam yang sama mak dan bapa kembali ke kampung meninggalkan anak memulakan penghijrahan. Benar kata lagu hijrah itu pengorbanan. .
“Orang tua adalah ‘pintu pertengahan’ menuju Syurga. Bila engkau mahu,
silakan engkau pelihara. Bila tidak mahu, silakan untuk tidak
mempedulikannya.” (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi)
Moral dari cerita ini, ibu bapa mengajar anak jangan meminta-minta. Selagi mak bapa masih ada, segala susah payah tanggung jawab mak dan bapa. Ibu bapa mengajar tentang sabar. Sabar menanti, sabar menahan lapar dahaga, sabar meredah hidup berbekalkan takwa. Ibu bapa mendidik untuk jadi berani hidup berdikari, tidak takut dan tidak gentar. SubhanAllah sucinya cinta mu wahai ayah ibu.
Mana mungkin anak-anak melupakan pada segala pemberian. Segala bekalan dan tunjuk ajar tanpa suara menyerap masuk kedalam sukma. Belajar jadi insan yang tidak pandai bermanja-manja. Tidak berani meminta-minta. Belajar memberi dan terus memberi. Meminta pada Dia yang ada.Merayu hanya pada yang kasih.
Fasa terakhir kali ini fasa menginsafi diri untuk tidak berlengah lagi. Sisa-sisa yang tinggal hanya untuk berbakti pada ayah bonda. Kalau usia seperti emas, biarlah memberikan cahaya sinar seperti emas sepuluh. Andai diibaratkan usia seperti besi, biarlah jadi besi berani. Jika usia diumpamakan seperti tanah, jadilah seperti tanah liat.Tanah yang sangat liat sudah tentu boleh dibuat bentuk apa saja mengikut kehendak.
Begitulah hidup ini diibaratkan jika kita mahu terus belajar mengenal diri siapa kita dibumi ini.Kita adalah hamba menumpang diatas dunia.
Time is precious, life is short, love remains...
No comments:
Post a Comment