Tuesday, August 13, 2013

Muliakan tamu

Salam lebaran. Sempena Raya ramai tetamu datang dan pergi. Sesungguhnya tetamu datang bawa rezeki, tetamu pulang terhapus dosa kecil tuan rumah. Andai tamu pulang bawa rasa hampa, pasti kesal menempa jiwa. Hikmah memuliakan tetamu selalu diperingatkan seperti iklan.


Tetamu dimuliakan bukan kerana darjat tapi dituntut dalam Islam. Hadis memuliakan tamu selalu disebut-sebut. Pun begitu masih ramai diluar sana memandang remeh. Pada anak cucu tersayang, tidak kira lelaki maupun perempuan, ingatlah selalu hikmah memuliakan tamu.


Hari ini, Alhamdulillah kalian anak-anak terdidik dengan akhlak baik. Kita tidak dapat menjangka tentang masa depan. InsyaAllah berbuat baiklah selalu pada ibu bapa nescaya tersedia pasangan baik untuk kalian nanti. Beringat selalu, what goes around comes around. What you give you get back. Perkahwinan bukan sekadar membanyakkan anak tapi motif berkahwin itu untuk apa sebenarnya. 


Jika benar memenuhi tuntutan menjadi umat Muhammad s.a.w. tiada yang membebankan bila bersangka baik. Apatah lagi berbuat baik selalu walaupun pada mereka yang pernah melukakan. Mereka yang memandang rendah pada orang miskin, yang tidak faham makna ujian. Terkadang manusia lupa diri. Ada sebab kenapa dia dikayakan dan kenapa, ada pula yang dimiskinkan. Mereka mendabik dada bila diatas, banyak pula berkata sia-sia. Mereka  memandang hanya pada rupa sedang akhlak mereka jauh merudum. Apapun kita teruskan berbuat baik asal  kita tidak meminta budi baik  dibalas baik. Bukan pada manusia kebergantungan kita. Semua insan yang terpaut rasa ehsan dambakan redha Allah. 


Jangan bersungut bila asyik memberi, tidak pula menerima. Serahkan pada Yang Memerhati. Dia lebih tahu menyusun. Mengaturkan qada' mengikut kadar sempurna. Jika berlaku suasana sepi, suasana kelam kabut dalam rumahtangga, ada asbab tersembunyi. Carilah sendiri mengikut gerak hati. Ingatlah selalu, cermin anak-anak ada pada ibu. Bila tidak dipupuk rasa kasih mesra, hormat menghormati dalam rumahtangga, pasti bertemu jalan mati. Bila hati tidak bahagia, mula menanam benih benci.


Kelak beginilah jadinya...


Memandang tetamu hanya sebelah mata. Tetamu tak diundang merobah airmuka. Tetamu bagaikan batu penghalang. Terbawa arus kealpaan sampai  lalu lupa asal usul.  Dari mana datangnya cinta.  Bila cinta pudar, masing-masing bawa haluan. Tetamu dibiarkan seperti patung tidak bernyawa. Hadir tetamu tidak membawa bekas. Luaran seperti tinggi didikan tapi sayang tidak diaplikasikan melalui perbuatan. Buta mata hati tentang kelebihan memuliakan tetamu. Walaupun hanya sekadar air kosong, sudah cukup meraikan kehadiran tetamu.


Sama-sama berpesan-pesan selagi hayat dikandung badan. Mengeratkan ukhwah lebih utama dalam menjaga hablumminannas. Hubungan yang membawa kepada kuatnya ikatan hamlumminaAllah. Belajarlah memberi dari terlalu banyak menerima. Bagaimana kita dilayan tatkala kita suatu ketika dulu menjadi tetamu. Jangan sampai lanjut usia kita masih tercari-cari dimana silapnya kehidupan ini nanti.


Teringat kembali pada perilaku peninggalan arwah ibu mentuaku.  Arwah senantisa memastikan tetamu sebelum pulang dijamu makan. Tak kira malam atau siang, tak kira  kaya maupun yang kurang berada, arwah sentiasa istiqamah dalam memberi makan. Arwah tidak ajak-ajak ayam. Arwah  mengajak  sungguh-sungguh sehingga tamu payah menolak. Arwah meninggalkan pesan, pastikan tamu dijamu makan sebelum pulang.. Lauk pauk soal kedua. Apa yang penting menu utama tetap  nasi. Tidak mengira masa tamu pulang tidak merasa hampa.Pernah terjadi tamu sampai malam-malam buta. Pun begitu nasi menu utama menyambut tetamu walaupun lauknya ala kadar. Tetamu sampai pukul 3 pagi pun, nasi siap tersedia, walaupun hanya berlaukkan telur.


SubhanAllah. Sanggupkah kita bersusah payah seperti dia. Hamba rakamkan segala penat lelah, tanda ingatan buat anak cucunya untuk meneruskan legasi memuliakan tetamu.


Belajar dari gaya hidup orang-orang lama membuatkan kita rela hadirnya tetamu tidak kira masa. Kita kena selalu mengingatkan diri kita diuji dengan hadirnya tetamu. Bagaimana kita melayan, bagaimana kita meraikan, kita sentiasa diperhati.  Diteropng dari kiri dan kanan, dari atas dan dari bawah. Dia tidak pernah meninggalkan kita walau sekelip mata pun jua. Jika kita faham makna memuliakan tetamu, apa ditunggu lagi. Susah sangatkah untuk kita bercermin  rasa seronok bgi membuktikan keikhlasan menyambut para tamu. Lebih-lebih lagi pada tetamu yang tidak diundang. Disamping dapat menumpang merebut pahala, kita berpeluang menarik rezeki. Tambah syukur  jika  tetamu pulang membawa pulang dosa kita bersama agar terpadam segala dosa silam. 


Orang tua-tua dulu tidak menampakkan alim dengan serban berbakul, dengan hijab hanya tinggal dua biji mata. Buat nampak ikhlas sudah cukup melambangkan tauhid orang dulu-dulu sukar dicari ganti. Terbukti, Action speaks louder than words. Terkesan sampai hari ini bahawa sesungguhnya mereka  yakin dengan janji Allah hikmah  disebalik memuliakan tetamu.  Melayan tetamu seperti tuntutan fardhu.. Apa dibimbang pada segala yang telah dikeluarkan. Bukankah Allah gandakan segala kebaikan. Tingkah laku ditinggalkan membawa mesej, jangan sekali-kali minta dibalas pada budi yang ditabur. Tetamu pergi, mereka masih menanti pada yang datang lagi. Tauhid orang dulu-dulu tinggi nilainya. Mereka berpegang teguh pada jalan Allah. Cukuplah Allah jadi pengganti. Dia Yang Memerhati, Dia Wakil.  Dia Pelindung. Mereka sekadar membawa bekal ke akhirat jua tempat abadi.


Alhamdulillah, arwah setia jadi isteri sampai mati. Segala kisah rumahtangga tersimpan kemas didasar hati.  Arwah setia menyenduk nasi dari pinggan ke pinggan tetamu. Mulianya khidmat bakti seorang ibu. Ibu  yang  cantik paras rupa tapi tidak banyak berkata-kata. Diam arwah memberi makna pada yang mahu belajar untuk mengemudi bahtera rumah tangga.


Al Fatihah pada dua wanita teristimewa yang bernama ibu. Tidak lupa pada pasangan yang ditentukan Tuhan. Indah sungguh ciptaan menemukan ikan dilaut, asam didarat. Dalam periuk terhasil ramuan secukup rasa.

Mengambil iktibar raya kali ini.  Jangan berakhlak kosong. Jangan membebankan orang tua bila tiba hari raya. Jangan segalanya boleh dibeli dengan wang ringgit. Dijadikan kaya bukan menambah letih orang tua. Bayangkan andai semua kembali ke destinasi. Tidakkah merasa kesal dihati orang tua yang ditinggalkan keseorangan letih mengurut kaki sendiri. Bertemankan minyak angin teman sejati.

Tidak dilatih hidup berkasih sayang tidak bermakna jahil selamanya. Jangan menanam rasa benci dihati kelak beginilah jadinya dalam kisah hidup berumahtangga. Semarakkam rasa cinta. Kita jadi berani menegur kerana benar. Kembalikan semula hak ibu atas anak-anak apatah lagi anak lelaki. Bila isteri mendahului suami, tetamu jadi saksi.

Ramadhan sudah berlalu pergi. Ramadhan pasti bertamu lagi. Masih adakah waktu untuk kita menyambut tetamu yang pasti datang. Apakah sama nilainya dengan kehadiran tetamu yang tidak undang. Iktibar Syawal memberi impak maksima menghargai pengorbanan orang tua.


No comments:

Post a Comment