Showing posts with label Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.... Show all posts
Showing posts with label Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.... Show all posts

Tuesday, August 13, 2013

Muliakan tamu

Salam lebaran. Sempena Raya ramai tetamu datang dan pergi. Sesungguhnya tetamu datang bawa rezeki, tetamu pulang terhapus dosa kecil tuan rumah. Andai tamu pulang bawa rasa hampa, pasti kesal menempa jiwa. Hikmah memuliakan tetamu selalu diperingatkan seperti iklan.


Tetamu dimuliakan bukan kerana darjat tapi dituntut dalam Islam. Hadis memuliakan tamu selalu disebut-sebut. Pun begitu masih ramai diluar sana memandang remeh. Pada anak cucu tersayang, tidak kira lelaki maupun perempuan, ingatlah selalu hikmah memuliakan tamu.


Hari ini, Alhamdulillah kalian anak-anak terdidik dengan akhlak baik. Kita tidak dapat menjangka tentang masa depan. InsyaAllah berbuat baiklah selalu pada ibu bapa nescaya tersedia pasangan baik untuk kalian nanti. Beringat selalu, what goes around comes around. What you give you get back. Perkahwinan bukan sekadar membanyakkan anak tapi motif berkahwin itu untuk apa sebenarnya. 


Jika benar memenuhi tuntutan menjadi umat Muhammad s.a.w. tiada yang membebankan bila bersangka baik. Apatah lagi berbuat baik selalu walaupun pada mereka yang pernah melukakan. Mereka yang memandang rendah pada orang miskin, yang tidak faham makna ujian. Terkadang manusia lupa diri. Ada sebab kenapa dia dikayakan dan kenapa, ada pula yang dimiskinkan. Mereka mendabik dada bila diatas, banyak pula berkata sia-sia. Mereka  memandang hanya pada rupa sedang akhlak mereka jauh merudum. Apapun kita teruskan berbuat baik asal  kita tidak meminta budi baik  dibalas baik. Bukan pada manusia kebergantungan kita. Semua insan yang terpaut rasa ehsan dambakan redha Allah. 


Jangan bersungut bila asyik memberi, tidak pula menerima. Serahkan pada Yang Memerhati. Dia lebih tahu menyusun. Mengaturkan qada' mengikut kadar sempurna. Jika berlaku suasana sepi, suasana kelam kabut dalam rumahtangga, ada asbab tersembunyi. Carilah sendiri mengikut gerak hati. Ingatlah selalu, cermin anak-anak ada pada ibu. Bila tidak dipupuk rasa kasih mesra, hormat menghormati dalam rumahtangga, pasti bertemu jalan mati. Bila hati tidak bahagia, mula menanam benih benci.


Kelak beginilah jadinya...


Memandang tetamu hanya sebelah mata. Tetamu tak diundang merobah airmuka. Tetamu bagaikan batu penghalang. Terbawa arus kealpaan sampai  lalu lupa asal usul.  Dari mana datangnya cinta.  Bila cinta pudar, masing-masing bawa haluan. Tetamu dibiarkan seperti patung tidak bernyawa. Hadir tetamu tidak membawa bekas. Luaran seperti tinggi didikan tapi sayang tidak diaplikasikan melalui perbuatan. Buta mata hati tentang kelebihan memuliakan tetamu. Walaupun hanya sekadar air kosong, sudah cukup meraikan kehadiran tetamu.


Sama-sama berpesan-pesan selagi hayat dikandung badan. Mengeratkan ukhwah lebih utama dalam menjaga hablumminannas. Hubungan yang membawa kepada kuatnya ikatan hamlumminaAllah. Belajarlah memberi dari terlalu banyak menerima. Bagaimana kita dilayan tatkala kita suatu ketika dulu menjadi tetamu. Jangan sampai lanjut usia kita masih tercari-cari dimana silapnya kehidupan ini nanti.


Teringat kembali pada perilaku peninggalan arwah ibu mentuaku.  Arwah senantisa memastikan tetamu sebelum pulang dijamu makan. Tak kira malam atau siang, tak kira  kaya maupun yang kurang berada, arwah sentiasa istiqamah dalam memberi makan. Arwah tidak ajak-ajak ayam. Arwah  mengajak  sungguh-sungguh sehingga tamu payah menolak. Arwah meninggalkan pesan, pastikan tamu dijamu makan sebelum pulang.. Lauk pauk soal kedua. Apa yang penting menu utama tetap  nasi. Tidak mengira masa tamu pulang tidak merasa hampa.Pernah terjadi tamu sampai malam-malam buta. Pun begitu nasi menu utama menyambut tetamu walaupun lauknya ala kadar. Tetamu sampai pukul 3 pagi pun, nasi siap tersedia, walaupun hanya berlaukkan telur.


SubhanAllah. Sanggupkah kita bersusah payah seperti dia. Hamba rakamkan segala penat lelah, tanda ingatan buat anak cucunya untuk meneruskan legasi memuliakan tetamu.


Belajar dari gaya hidup orang-orang lama membuatkan kita rela hadirnya tetamu tidak kira masa. Kita kena selalu mengingatkan diri kita diuji dengan hadirnya tetamu. Bagaimana kita melayan, bagaimana kita meraikan, kita sentiasa diperhati.  Diteropng dari kiri dan kanan, dari atas dan dari bawah. Dia tidak pernah meninggalkan kita walau sekelip mata pun jua. Jika kita faham makna memuliakan tetamu, apa ditunggu lagi. Susah sangatkah untuk kita bercermin  rasa seronok bgi membuktikan keikhlasan menyambut para tamu. Lebih-lebih lagi pada tetamu yang tidak diundang. Disamping dapat menumpang merebut pahala, kita berpeluang menarik rezeki. Tambah syukur  jika  tetamu pulang membawa pulang dosa kita bersama agar terpadam segala dosa silam. 


Orang tua-tua dulu tidak menampakkan alim dengan serban berbakul, dengan hijab hanya tinggal dua biji mata. Buat nampak ikhlas sudah cukup melambangkan tauhid orang dulu-dulu sukar dicari ganti. Terbukti, Action speaks louder than words. Terkesan sampai hari ini bahawa sesungguhnya mereka  yakin dengan janji Allah hikmah  disebalik memuliakan tetamu.  Melayan tetamu seperti tuntutan fardhu.. Apa dibimbang pada segala yang telah dikeluarkan. Bukankah Allah gandakan segala kebaikan. Tingkah laku ditinggalkan membawa mesej, jangan sekali-kali minta dibalas pada budi yang ditabur. Tetamu pergi, mereka masih menanti pada yang datang lagi. Tauhid orang dulu-dulu tinggi nilainya. Mereka berpegang teguh pada jalan Allah. Cukuplah Allah jadi pengganti. Dia Yang Memerhati, Dia Wakil.  Dia Pelindung. Mereka sekadar membawa bekal ke akhirat jua tempat abadi.


Alhamdulillah, arwah setia jadi isteri sampai mati. Segala kisah rumahtangga tersimpan kemas didasar hati.  Arwah setia menyenduk nasi dari pinggan ke pinggan tetamu. Mulianya khidmat bakti seorang ibu. Ibu  yang  cantik paras rupa tapi tidak banyak berkata-kata. Diam arwah memberi makna pada yang mahu belajar untuk mengemudi bahtera rumah tangga.


Al Fatihah pada dua wanita teristimewa yang bernama ibu. Tidak lupa pada pasangan yang ditentukan Tuhan. Indah sungguh ciptaan menemukan ikan dilaut, asam didarat. Dalam periuk terhasil ramuan secukup rasa.

Mengambil iktibar raya kali ini.  Jangan berakhlak kosong. Jangan membebankan orang tua bila tiba hari raya. Jangan segalanya boleh dibeli dengan wang ringgit. Dijadikan kaya bukan menambah letih orang tua. Bayangkan andai semua kembali ke destinasi. Tidakkah merasa kesal dihati orang tua yang ditinggalkan keseorangan letih mengurut kaki sendiri. Bertemankan minyak angin teman sejati.

Tidak dilatih hidup berkasih sayang tidak bermakna jahil selamanya. Jangan menanam rasa benci dihati kelak beginilah jadinya dalam kisah hidup berumahtangga. Semarakkam rasa cinta. Kita jadi berani menegur kerana benar. Kembalikan semula hak ibu atas anak-anak apatah lagi anak lelaki. Bila isteri mendahului suami, tetamu jadi saksi.

Ramadhan sudah berlalu pergi. Ramadhan pasti bertamu lagi. Masih adakah waktu untuk kita menyambut tetamu yang pasti datang. Apakah sama nilainya dengan kehadiran tetamu yang tidak undang. Iktibar Syawal memberi impak maksima menghargai pengorbanan orang tua.


Sunday, July 28, 2013

Fasa terakhir

Kita sudah berada diambang terakhir fasa ketiga tawaran hebat bersama ihya' Ramadhan. Menghidupkan Ramadhan, membaja hati supaya subur selalu sampai ketemu lagi  Ramadhan yang akan datang. Bila subur mekar di qalbu tentu dalam hati ada taman.Biar tiada siapa yang tahu hati ini mengingatMu selalu. Saban waktu memuja dan memuji. Berbunga-bunga rasa cinta dihati.

Terkenang-kenang difasa ini saat mengenal erti kehidupan.Kalau bapa masih hidup, usia bapa sudah melepasi 107 tahun dan andai mak masih ada, mak sudah berumur 91 tahun. Ibu dan ayah dijemput pulang ketika anak-anak sudah matang dalam hidup berumah tangga. Masing-masing sarat dengan tanggungjawab. Dibebankan dengan tanggungan bagi mengenal pengorbanan ibu bapa.

Mana mungkin dihapus kenangan bersama tatkala mak dan bapa menemaniku ke Kuala Lumpur melapurkan diri bekerja diKementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KDN). Hamba rakamkan kenangan untuk anak cucu tanda penghormatan tidak terhingga pada korban kasih ayah bonda. Masih terbayang diruang mata saat keduanya menantiku dibawah pohon rendang diluar perkerangan pejabat. Sayu memikirkan keduanya menantiku dari pagi sehingga habis waktu pejabat.Tidak terlintas dihati ini bertanya ketika itu tidakkah keletihan menanti. Apa pula yang telah dimakan bagi mengalas perut sepanjang perjalanan malam tadi dengan menaiki bas nun jauh dari utara. Kami sampai waktu subuh.

Maafkan atas kejahilan anakmu yang tidak berdaya ketika itu. SubhanAllah! hebatnya kekuatan yang Allah beri pada ibu bapa yang sudah lanjut usia ketika itu. Terbayang kenangan kami berjalan bersama-sama, menahan teksi yang lalu lalang. Tak tahu mana arah dituju. Kami dibawa terus ke Kampung Baru.Bersama menyusuri jalan-jalan di Kampung Baru mencari rumah sewa.

Dimudahkan Allah,hamba ditinggalkan setelah keduanya berjaya menempatkan anak mereka dirumah sewa. Malam yang sama mak dan bapa kembali ke kampung meninggalkan anak memulakan penghijrahan. Benar kata lagu hijrah itu pengorbanan. .

“Orang tua adalah ‘pintu pertengahan’ menuju Syurga. Bila engkau mahu, silakan engkau pelihara. Bila tidak mahu, silakan untuk tidak mempedulikannya.” (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi)

Moral dari cerita ini, ibu bapa mengajar anak  jangan meminta-minta. Selagi mak bapa masih ada, segala susah payah tanggung jawab mak dan bapa. Ibu bapa mengajar tentang sabar. Sabar menanti, sabar menahan lapar dahaga,  sabar meredah hidup berbekalkan takwa. Ibu bapa  mendidik untuk jadi berani hidup berdikari, tidak takut dan tidak gentar. SubhanAllah sucinya cinta mu wahai ayah ibu.

Mana mungkin anak-anak melupakan pada segala pemberian. Segala bekalan dan tunjuk ajar tanpa suara menyerap masuk kedalam sukma. Belajar jadi insan yang tidak pandai bermanja-manja. Tidak berani meminta-minta. Belajar memberi dan terus memberi. Meminta pada Dia yang ada.Merayu hanya pada yang kasih.

Fasa terakhir kali ini fasa menginsafi diri untuk tidak berlengah lagi. Sisa-sisa yang tinggal hanya untuk berbakti pada ayah bonda. Kalau usia  seperti emas, biarlah memberikan cahaya sinar seperti emas sepuluh. Andai diibaratkan usia seperti besi, biarlah jadi besi berani.  Jika usia diumpamakan seperti tanah,  jadilah seperti tanah liat.Tanah yang sangat liat sudah tentu boleh dibuat bentuk apa saja mengikut kehendak.

Begitulah hidup ini diibaratkan jika kita mahu terus belajar mengenal diri siapa kita dibumi ini.Kita adalah hamba menumpang diatas dunia.


Time is precious, life is short, love remains...

Saturday, July 27, 2013

Fasa Pengampunan

Masing-masing berlumba-lumba mencari keuntungan bila tiba bulan Ramadhan, bulan sabar. Nun diluar sana banyak tawaran istimewa sempena menyambut kedatangan Ramadhan. Promosi harga dikatakan runtuh padahal hanya runtuh diatas kertas. Ada yang muncul jadi usahawan segera Ramadan. Berlipat ganda keuntungan diraih. Para peniaga senyum sampai ketelinga. Masih belum puas mencari dalam kehidupan biarpun Ramadan datang menyapa, mengundang bertarawih sepanjang malam dibulan Ramadhan.

Apa sebenarnya yang kita cari sempena Ramadhan.

Bagi yang sedang meniti usia senja hanya pengampunan yang kita tagihkan. Tidak henti memohon ampun. Terbayang dimata jasa ayah bonda.Kita yang tinggal sedang berada dalam fasa keampunan bulan Ramadan.. Fasa ujian dalam hidup sudah kita lalui. Biarpun sengsara jiwa namun tetap bersyukur diatas kekuatan yang Allah beri.

Sebelum sampai usia subsidi, mudah-mudahan masih berkesempatan memohon keampunan, memohon sihat walafiat,kekal dalam takwa serta memohon kebahagiaan dari dunia sampai akhirat. Pengalaman pahit itulah ubat, pengalaman manis simpan jadi kenangan. Semua yang dilalui menjadikan kita siapa pada hari ini. Benar seperti kata tazkirah semalam,

' Dimanakah kelebihan seseorang? Kelebihan seseorang bukan pada apa yang dia miliki tetapi kelebihan sebenar terletak pada apa dia beri. Apa yang dimiliki akan kita tinggalkan namun apa yang sudah diberi itu akan kekal setelah mati ' SubhanAllah!!

Kelebihan seorang ibu hanya memberi dan terus memberi.Ibu hanya tahu memberi tidak pernah menerima. Tidak terjangka pun apa yang akan diterima. Hanya setelah dia hilang dari dunia, anak-anak berlumba-lumba untuk memberi. Setelah menyedari segala sudah tidak bermakna bila usia merangkak tua.

Kita dihidupkan lagi untuk menjadi bukti. Bukti dihidupkan lagi ini tidaklah sia-sia ibu melahirkan.  Selagi dihidupkan dengan berbuat baik terus sampai pahala berkongsi dengan ayah bonda.

Lipat gandakan usaha untuk fasa ketiga memohon dibebaskan dari api neraka.Dijauhkan azab pedih dari api neraka jahanam. Selamatkanlah bahtera merdeka agar ayah bonda senyum ria disana. Anak-anakmu sedang berjuang mempertahankan kedudukan tertinggi buat ayah bonda disana.

Segala usaha giat dijalankan demi meraih cinta Allah. Jangan sampai diusia-usia subsidi masih tercari-cari dihidupkan lagi untuk siapa dan akan kemana.Semasa dilahirkan kita menangis sedang yang lain gembira dengan kehadiran kita diatas dunia. Biarlah mati kita ditangisi atas pemergian abadi. Mudah-mudahan kita sudah cukup bersedia berehat disana setelah berpenat didunia fana.


Tuesday, July 23, 2013

I beg your pardon



اللْهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي



'Say: O Allah, You are pardoning and You love to pardon, so pardon me.'


Kita sudah sampai dalam fasa ke dua fasa keampunan. Fasa pertama fasa rahmat sudah kita tempuh. Banyakkan doa wahai anak-anakku sayang. Mohon keampunan samada yang kita sedari atau pun tidak. Khususnya mohon keampunan diatas keterlanjuran sikap.

Hakikat jadi ibu bapa tidak pernah berdendam pada anak-anak. Sentiasa mengampunkan dari dulu, kini dan selamanya. Mendoakan kejayaan anak-anak dari dunia hingga akhirat. 

Sematkan dihati makna doa diatas.

 “Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau bersifat Pengampun, Engkau suka kepada pengampunan maka ampunilah aku"

Saturday, July 20, 2013

Tazkirah Ramadhan

Selesai solat Isya' diadakan tazkirah ringkas sebelum solat tarawih. Dalam melayani halua telinga mendengar tazkirah, ada juga yang merungut jemu mendengar tazkirah. Bagai tak sempat-sempat nak bertarawih. Masing-masing punya cita rasa sendiri. Ada yang suka mendengar tazkirah tidak kurang yang menolak tazkirah. Apapun aku yang jahil ni suka sekali sebab peluang untuk hadir bersama di masjid bukan selalu. Sudah kita niat iktikaf dalam masjid andai terlentuk semasa tazkirah pun sudah dikira pahala.


Pak Imam mengambil kesempatan menegur jemaah  membawa anak-anak yang masih kecil. Berlari-lari ketika solat, ada yang sampai naik diatas mimbar. Suasana riuh rendah menjadikan semua tidak selesa.. Ada yang nampak tidur nyenyak disisi bapa  ketika bapa sedang solat.


Aduhaii lah sayang ! ! Dimanakah ibu pada kanak-kanak kecil , berkeliaran, berkejar-kejaran didalam masjid. Bukankah setia dirumah menguruskan anak-anak yang belum mumaiyiz ini sudah dihitung pahala berganda. Pahala menguruskan amanah Allah bersama pahala setimpal sang suami berjemaah dimasjid. Masakan kesemua kanak-kanak kecil ini sudah kematian ibu.


Wahai anak perempuan, cucu perempuan dan yang bernama perempuan. Tidak dinafikan kalian semua sudah bijak pandai dalam dunia akhir zaman. Sepandai pandai perempuan, jangan sampai lebih sudu dari kuah. Biarpun suami tidak daya nak menegur, tidak jadi jantan dalam membuat keputusan tapi hakikatnya lu pikirlah sendiri. Jaga air muka suami.  Bila sudah ditegur Pak Imam, keesokannya ramai yang merajuk. Tidak terkecuali suami pula marahkan Pak Imam Janganlah berasa bangga suami sanggup mengikut telunjuk sampai dalam masjid.


Perempuan sekarang terlebih mengada-ngada. Bila suami sudah bersama sampai kebilik bersalin, sudah dikira hak mutlak si hawa membuat perhitungan. Sisuami yang bangang tu pun merasakan isteri itu segala-gala baginya. Isteri  sanggup berkorban setengah mati melahirkan zuriatnya. Padahal dia lupa. melihat isteri seksa melahirkan, tidak terbayangkah bagaimana ibumu  melahirkan kalian.


Konon cerdiklah sangat bila asyik tersenyum simpul menatap ipad ketika Imam sedang tazkirah. Sudah-sudahlah nak menunjuk pandai dirumah Allah, wahai perempuan. Teknologi  nano tu semua kalau tidak dengan izin Allah tidak akan berlaku. Mensyukuri nikmat diberi itu  yang pasti. Tidak ada yang lebih berharga dari panggilan Ilahi. Ada juga anak-anak perempuan yang baru baligh siap bermain selambut dalam saf ketika Pak Imam sedang tazkirah.Mak disebelah, menegur pun tidak. Macam ni punya mak pun ada ke?


Aduhaiilah perempuan. Hilang kejantanan lelaki bila dapat bini begini. Padanlah dunia dipenuhi anak-anak pondan. Mesej dari alam tanda lelaki bencikan perempuan lalu mereka rela bujang sampai tua.


Sempena Ramadhan mulia, renung-renungkanlah dalam diri sendiri. Aku mengingatkan diri, mengingatkan anak-anak cucu nanti jangan pentingkan diri sendiri. Beramal dan beribadat bukan sekadar tunduk menyembah Allah dalam masjid bahkan diluar masjid, masing-masing kita mempunyai misi berbeza dalam mencapai visi yang satu.


Harapan pada anak-anak lelaki. Jadilah jantan sejati. Berani buat keputusan. Nak ke tak nak, keputusan lelaki muktamad. Susah sangatkah bagi lelaki menerangkan pada isteri, duduk saja dirumah. Anak-anak kan masih kecil. Nak melentur isteru biarlah dari rebung. Bila sudah jadi buluh, kaduk mula naik junjung. tidak hairanlan semua under control.Bukan seronok pun dapat suami bila pijak semut, semut pun tak mati.


Ramadhan kali ini membara rasa jiwa melihat keangkuhan perempuan. Tidak takut dan tidak gentar diusia tua begini berani buat berani tanggung. Peduli apa aku, pada emak yang tidak tahu mengajar anak.
' Kalau rasa nak sangat main selambut, balik saja ke rumah. Orang  nak dengar tazkirah'


Benar sekali pesan orang tua-tua. Sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan.





Tuesday, July 16, 2013

Indahnya fajar

Alhamdulillah, doa kita dimakbulkan untuk sampai bertemu Ramadhan. Setelah lebih seminggu menjalani ibadah puasa,  satu persatu berita kematian saudara-saudara kita terima. Bagi kita yang melewati usia senja mesej mati dari Allah  memberi impak maksima. Ramadhan kali ini, jangan berlengah lagi. Usia lampu kuning, usia berguguran jatuh kebumi. Apakah sisa usia ini mampu meninggalkan seri seperti cahaya emas sepuluh?


Bila fajar menjelma, subuh menyapa. Setia menanti pada siapa yang sudi mengingat pada kemunculannya saban waktu. Apakah ada yang setia menikmati keindahana makna fajar.

Dari Aisyah r.a berkata,”Rasulullah saw bersabda,’Dua rakaat fajar lebih baik dari dunia dan seisinya.”
(HR. Muslim dan Tirmidzi).


Benar seperti kata Bayah siloyar buruk. Emaknya meninggal pertengahan Ramadhan, abang mengikut Ramadhan juga, begitu juga abang yang satu lagi pun pergi awal Ramadhan. Kita yang tinggal,, stand by in action.


Dalam melawak memang ada kebenaran. Hakikat kematian itu pasti. Cumanya tak tahu bila, dimana matinya dan bagaimana. Apapun biarlah kesudahan kita kesudahan yang baik seperti selalu dipanjatkan doa agar dimatikan dalam husnul khatimah.


Menghitung semula dosa lau, dosa kini dan akan datang, mudah-mudahan diberi kemaafaan disihat walafiatkan bagi meneruskan bakti selagi ada nadi. Mudah-mudahan fajar subuh yang tidak jemu-jemu menyapa tidak lagi dipersia.

 "katakanlah: Jika memang kamu cinta kepada Allah, maka turutkanlah aku, niscaya cinta pula Allah kepada kamu dan akan diampuni Nya dosa-dosa kamu. Dan Al­lah adalah Maha pengampun lagi Penyayang." (Ali Imran : 31).


SubhanAllah tiada lagi dambaan selain dari redha Allah.Penghujung usia, penentu masa depan anak cucu kita. Jika benar ada cinta, katakanlah, sebarkanlah, makmurkanlah bersama kasih sayang Allah.




Sunday, July 7, 2013

Selamat Datang Sayangku Ramadhan

Kita sibuk menghias rumah andai ada tamu  ditentukan datang bertandang. Tidak lupa menyediakan hidangan bila tiba waktu makan. Memuliakan tetamu menjadi tuntutan bila meletakkan Islam is the way of life seperti mana hadis yang ditinggalkan pada umat Muhammad s.a.w.

Dari Abu Hurairah r.a katanya:Rasulullah s.a.w bersabda:,

Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.

Setahun sekali dia pasti datang bertamu. Kita yang menanti belum tentu ada untuk bersama-sama dia kali ini. Setelah kita melalui hari-hari bersama hari Jumaat, penghulu segala hari. Tiba masa kita membuka tirai menanti penghulu segala bulan datang berkunjung.

Semakin menghitung hari, semakin malas menjadi-jadi. Malas bangun malam, malas mengaji, malas masak-memasak dan malas yang entah apa-apa menjadikan hamba malas beramal. Rajuk apakah dihati sampai menyiksa bayang sendiri.

Apapun berlapang dada dengan kemalasan ini. Berbaik sangka tanda malas ini tanda dalam rehat sementara. Teruja menanti Ramadhan dalam debaran. Seperti menantikan yang dikunjung tidak tiba. Aduhaii Ramadhan, mampukah hamba menyusuri bersama malam-malamMu itu. Malam penuh syahdu. Malam pengampunan, malam penuh barakah, malam dinanti-nanti, diangkat bersama airmata Qaseh. Berlinangan...berlinangan selalu...sebagai bulan yang merintih, merintih dalam qalbu. 

Syahdunya Ramadhan kali ini, Ahlan wa sahlan Ya Ramadhan,

Bersama doa mengiring menyambutmu wahai Ramadhan,

“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.”




Tuesday, July 2, 2013

Lillahi Ta'ala

Lillahhi Ta'ala. Kerana Allah. Bagaimana belajar makna semuanya kerana Allah.

Masa dulu-dulu tak faham makna. Zaman Jahiliah. Kita kenal cuma mak bapak. Kita hidup untuk berbakti pada mak bapa. Tidak ada siapa yang menceritakan makna hidup kerana Allah.

Dari kecil meningkat dewasa, hanya wajah mak ayah terbayang dimata. Tidak pernah berfikir tentang diri sendiri. Mak bahagia, kita tumpang gumbira. Mak berduka, kita menumpang sengsara. Bezanya mak dulu-dulu tidak merungut letih, tidak pula nampak sakit. Seperti sihat selalu adanya. Agaknya mak malu menyatakan sakit, bimbang anak-anak jadi tak kuat.

Terkadang hiba memikirkan sampainya hati kalian. Pun begitu mak cekal memikul amanah menjadi isteri,menjadi ibu sampai tua.Kalaulah ku tahu mak berbakti kerana Allah...pasti tidak ku biarkan mak sendirian selalu.Jahilnya hamba yang hina.

Mengenang Ramadhan yang datang bertamu tidak lama lagi, terungkai kenangan bersamamu wahai rinduku, ayah dan bondaku sayang. Saat mengejutkan seisi rumah. Menyediakan sahur tanpa sungut. Memastikan bapa berselera untuk bersahur, maklumlah dia kian uzur.

Tidak jugaku tahu bahawa segala khidmat bakti itu kerana Allah. Kalaulah ku tahu pasti ku niatkan, aku buat semua kerana Allah, pasti meraih pahala berlipat ganda. Itulah membezakan antara jahil dengan yang berilmu seperti kamu.

Bila tiba zaman bekerja, tidak juga tahu bahawa hamba bekerja kerana Allah. Setahu hamba yang jahil, sudah diberi kerja, bekerjalah sampai pencen. Persekitaran bekerja memaksaku memilih untuk bersara awal. Cukup service dan layak menerima faedah pencen, hamba undur diri.  Aku kah yang semakin malas atau masakah yang menghambatku keluar demi masa yang terpaksa dilalui  menjadi sia-sia.

Jemu melihat suasana pejabat yang sudah jadi caca marba. Bos turun pangkat, anak buah curi tulang, yang perempuan sibuk berbisik siapa pula menjadi calun untuk tahun ini. Masing-masing berebut mengambil hati. Sibuk mencatur pergerakan gaji tahun depan. Bekerja seperti melepas batuk di tangga. Suka membiarkan orang sekeliling merayu, meminta-minta dicepatkan urusan.  Bukankah sudah menjadi tanggungjawab.

Bukankah seronok bila bekerja dapat mengembirakan semua. Siapa yang lapur diri awal, pastikan gaji diterima menepati masa. Tidak perlulah nak cukupkan tiga bulan kalau kita boleh ikhtiarkan bagi dapat sebulan lepas bekerja. Jangan ada kerenah birokrasi among staff. Kesian pada mangsa. Bayangkan kalau anak-anak kita ditempat mereka. Bagaimana gelisah bila tidak bergaji.Segala tuntutan cuba diselesaikan se awal mungkin, tanpa mengira darjat. Yang dulu kita dahulukan yang kemudian, ikut giliran. Susah sangatkah bila bekerja itu tanda membantu.

Bila bekerja dengan orang awam. Jangan menyusahkan orang awam. Jangan biar mereka merayu-rayu mohon dicepatkan urusan. Siapakah kita untuk memaksa mereka merayu? Siapakah yang membayar gaji kalau bukan duit rakyat jelata. Bukankah melihat orang ramai berpuas hati dengan khidmat kita sudah cukup mententeramkan rasa.

Kalaulah ku tahu tahu masa keluar bekerja pasangkan niat bekerja kerana Allah pasti pahala berlipat ganda.Meminjam kata-kata UAI, ' mana aku tau !'

Apapun disaat kita disayang, dihormat rakan dan lawan, kita mohon bersara cara hormat sebab dah penat. Kita penat memaksa diri. Tidak dapat jadi diri sendiri. Kita berpura-pura bekerja dengan gembira padahal hati menahan marah. Marahnya melihat suasana ofis kian hari kian selesa mereka bercerita..Bertukar keluar bukan dapat menyelesaikan masalah sikap manusia. Masalahnya sikap sendiri yang wajib ditangani. Sikap sebenar yang lebih jahat dari yang suka berpura-pura. Budaya gomen sudah sebati. Dipenuhi onak duri. Baik dimana kita berada, orang gomen rileknya sampai mati.

Lega rasanya terlepas segala beban. Bahagia dapat kembali menjadi diri sendiri. Belum pun mencecah usia 50 hamba berehat sepenuh masa. Bermalas-malas tidak membebankan orang lain. Mencangkul dibelakang rumah. Menyiram selasihku sayang. Menyambung legasi nenek moyang.

Demi masa, sesungguhnya memang manusia dalam kerugian. Berpesan-pesan dalam kebenaran dan dalam kesabaran. Baru ku sedar segalanya entah-entah dibuat kerana Allah. Kalaulah ku tahu....jawapannya masih macam UAI, ' mana aku tau'

Bila kita tidak tahu segalanya dibuat kerana Allah, kita diuji untuk tahu dan untuk kenal siapa kita. SubhanAllah!! Maha suci Allah yang mendengar suara hambaNya mengadu segala penat. Bila sesak dengan kerenah manusia, padaNya jua hamba bercerita. Esok lusanya manusia itu ditukarkan tanpa dia sendiri yang memohon pertukaran. Lucunya bila dia datang mengadu. Mustajab doa bila benar kita dizalimi. 

Apapun "Forgiveness Is The Sweetest Revenge."

Pernah di asak kuat semasa bertugas Di LPKP. Tuhan saja yang tahu betapa siksanya jiwa ini berhadapan dengan kerenah dalaman lebih teruk dari melayan kerenah dari luar. Terima kasih pada Tuan Hj Rahman Ahmad yang kini pengerusi Al Syifa' yang menghadiahkan puluhan lesen pada suami demi mengubat segala dukaku disitu. Beliau menasihatkan untuk bertukar keluar dari LPKP. Dia sendiri tidak faham dengan hasad dengki manusia satu pejabat. Kata Tuan Hj. Ahmad, sekiranya Anwar Ibrahim pun kalau nak lesen lori kena datang kepejabat ini.

Dalam pada itu hati ini tidak pernah puas selagi maruah tidak diangkat semula andai hamba tidak berdosa. Berdoa lagi untuk sesuatu yang lebih istimewa. Memohon pada Allah untuk memilih insan yang mengajarku tentang liku-liku hidup. Mengajarku merendah diri. Punya rasa ehsan yang tinggi. Insan yang hamba kagumi kebaikannya sampai mati. Disayang semua disekeliling.Tidak pernah memikirkan tentang diri sendiri. Bekerja tidak mengira masa. Bapa yang penyayang, suami yang setia hingga hujung nyawa. Menyimpan rahsia duka. Menyembunyikan rahsia hati. Selalu menyanyi menghibur hati.

Hamba berdoa agar Allah letakkan insan mulia ini ditempat Tuan Hj Rahman Bin Ahmad. Mana tahu maruah yang tercalar bisa sembuh bila dia berada disitu. Masa silih berganti, SubhanAllah, doa diangkat mustajab jadinya.

Kian hari kian tunduk padaMu yang tidak meninggalkan, yang tidak melupakan hamba yang tidak berdaya.

Menjelang Ramadhan ini, syukur pada Ilahi yang mengajar hamba makna Lillahhi Ta'ala. Walaupun pada asalnya tak faham makna.

Adakalanya dirasakan diri ini seperti sudah tidak berharga bila dihina. Apapun hamba teruskan hidup demi suami, demi anak-anak dan demi mak yang tidak berdaya. Biar saudara mara, kawan dan taulan memandang rendah. Hamba masih punya sahabat-sahabat setia yang sudi bersama, ada tuan-tuan guru yang sedia membimbing. Istimewanya ada anugerah Cinta yang tidak terbanding. Diberi kesempatan untuk mengutip kemanisan sementara masih bernyawa.

Selagi ada hayat, hamba rakamkan segala kenangan. Disepanjang perjalanan ini Allah temukan dengan hamba-hambaMU yang sedang meniti usia, yang patah hati, yang hilang kemudi dengan seribu satu malam membawa bersama kisah sedih. InsyaAllah masih ada ruang untuk diubati bila mahu belajar dengan pengalaman kisah silam orang yang terlebih dulu makan garam. Inikan pula yang memiliki bahtera garam. Membahagiakan orang sudah seperti berkerjaya semula. Memberikan secubit garam buat perasa mengenal maksud Sentuhan.

Menjelang Ramadhan ini, syukur pada Ilahi yang mengajar hamba makna Lillahi Ta'ala. Walaupun pada asalnya tidak memahami makna namun kini terbukti maksud ' Silence is golden'

Berpesan-pesan dengan kebenaran,

Daripada Aisyah r.a. “Sesiapa yang memasukkan kegembiraan ke dalam keluarga orang Islam, Allah tidak redha balasan untuknya kecuali syurga.”  ( HR At-Thabrani )

Marilah kita merebut peluang 5 perkara menyambut Ramadhan sebelum tibanya 5 perkara.

Monday, July 23, 2012

Ramadhan kali ini....

' Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna agar dapat ku lalui dengan sempurna '


Ramadan kali ini menyentuh hati.. Bak kata Che Lah kita kena teriak dalam perut. Pada musibah yang melanda kita kena ingat ada rezeki didalam nya. Doa mudah bila ditimpa musibah,

' Ya Allah jadikanlah pahala pada musibah yang melanda dan gantikanlah pada yang lebih baik bagi hamba'

Ameen...


Hati ibu mana yang tidak terhiris bila kepala anak diketuk dengan kayu sehingga berjahit.Bila teringatkan jenayah bermaharajalela,bertambah benci memandang kati tuanpunya umno. Senang2 depan rumah orang datang sergah merompak, memukul kepala anak pinak orang. Hasil didikan umno membuatkan ramai rakyat terdesak hidup dengan merompak, membunuh, menghisap ganja, mengedar dadah dan entah macam2 ada yang setaraf dengannya. Kes ragut, pukul, rompak sini sana jarang boleh selesai tapi kalau bab2 politik khusus rakyat demo sikit pun, semua diheret ke muka pengadilan. Konon efisyenlah sangat.


Sempena Ramadhan kali ini, kita tingkatkan ketakwaan. Redha pada Qada' dan Qadar Tuhan. InsyaAllah ada pahala didalam musibah yang melanda. Bila terkenangkan kepala anak diketuk, teringatkan nasib Allahyarhamah Sosilawati dan rakan2nya. Dibunuh dengan kejam. Bagaimanakah keadaannya ketika menerima azab. Terkenangkan nasib Altantuya yang diletupkan, berkecai badan dan nyawa.


 Kisah Saalabah cukup sesuai dijadikan sempadan bagi anak2 kita di zaman siber. Cukup relevan dengan kehidupan juak2 umno yang tua2.


Kisah bagaimana miskinnya Saalabah sehinggakan dia hanya ada dua helai pakaian untuk bertukar ganti dengan isteri untuk beribadat. Setelah diminta pada Rasulullah untuk mendoakan kekayaan buat dirinya. Doa nabi dimakbulkan. Saalabah jadi kaya raya. Kambing2nya subur membiak. Ketika diminta oleh nabi supaya Saalabah mengeluarkan zakat, macam2 alasan yang diberi. Tahun demi tahun berlalu Saalabah pengembala kambing sudah kaya raya namun dia masih tidak mahu berzakat sehinggalah baginda nabi wafat. Sampai kepada khalifah Abu Bakar, Saalabah mula nak berzakat. Sayangnya tidak diterima oleh Saidina Abu Bakar Assidiq dengan alasan semasa ada nabi pun Saalabah haloba tidak mahu berzakat masakan boleh diterima zakatnya bila Nabi sudah tiada.


Tinggal lah Saalabah kufur nikmat. Kambing2nya membiak setiap hari. Tidak terhitung kayanya Saalabah sedang dia lupa siapa yang mengkayakan dia lalu matinya dalam murka Allah..


Pada anak2 zaman siber marilah bermuhasabah. Jauhi perangai seperti Saalabah dan yang seangkatan dengannya.  Jangan sampai mencari harta,akhirnya mak diperhamba. Ada anak2 kaya raya. Boleh hantar mak ke Mekah, boleh beli rumah pada mak, boleh kirim duit ribu2 pada mak ayah. Sayang dipuncak jaya, anak2 yang masih kecil akhirnya diletak dalam jagaan  mak, Konon busylah sangat. Mak yang awalnya sudah rehat, kini kembali berkain basah, hiruk pikuk mengawal cucu.

Mummy n daddy bermadu kasih.


Ramadhan kali ini atuk dan nenek tak sempat terawih. Keletihan dengan kerenah anak dan cucu.


Ramadhan kali ini mari kita bermuhasabah wahai para ibu. Kita jangan menghitung segala kebaikan kita pada anak2  kerana itu adalah amanah Allah pada kita tetapi banyakkan berhitung pada kebajikan apa yang kita telah buat pada mak dan bapa. Alhamdulillah  mudah2an mak kita  sudah boleh bersenang2 disana bila ramai anak2nya yang pakat dah tua2, sudah  banyak yang  mengaji,  beramal bersedekah selalu untuk kebahagiaan ibu bapa disana. Berbuat baik semasa ada tentunya tidak merasa hampa..


Ramadan kali ini, mampukah kita dibahagiakan didunia maupun di akhirat. Terkenang kembali maksud tersirat bila mak dijemput pulang dengan tiba2. Jangan sampai sayangnya semua sudah terlambat. Tak guna di sesalkan lagi bila mak sudah mati.


Sesungguhnya wahai Allah, Ramadahan kali ini hamba jadi  lemah, kuatkanlah hamba. Hamba ini hina muliakanlah hamba dan hamba ini fakir, kayakanlah hamba dengan limpah rahmatMu.

Ameen...


Ramadhan kali ini ada ada kisah luar biasa, pelik tapi benar. Ada baby baru lahir yang sudah tumbuh dua batang gigi bawah. Ku rakamkan tanda kebesaran Allah ini buat kenangan anak2 cucu.. Bila Allah mahukan terjadi lalu jadilah bayi sudah tumbuh gigi.  SubhanAllah, pertama kali dalam hidup hamba menatap bayi tumbuh gigi ketika baru lahir pada penghujung Syaaban lalu. Gigi yang sudah nampak dimata dan terasa keras bila diraba dengan jari. Ibu yang mengidam anak selama lebih enam tahun akhirnya dikurniakan zuriat dengan izin Allah.Hukum akal para doktor sudah mengesahkan sang suami tidak punya sperm untuk menghasilkan benih bayi. Maha Suci Allah lebih berkuasa bila Dia hendakkan sesuatu itu terjadi, lalu jadilah. Siapa kita untuk menentukan. Teruskan berusaha, berdoa dan bertawakkal.


Doa itu senjata mukmin. Asahkan senjata sempena Ramadhan biar ketajamannya halus seperti mata jarum.


Allahhu Akbar!!


Ramadhan kali ini kurniakanlah kami Ya Allah, iman yang kekal, hati yang khusyuk,ilmu yang bermanfaat, kebaikan yang melimpah,lurus dan agama dan mampu mensyukuri segala nikmatMu wahai Allah yang Maha Rahim....Ameen!!

Wednesday, February 10, 2010

Terkenang-kenang...

Bila menulis tentang kerabu tembikai, hati terkenang pada kisah2 silam zaman kanak2 bila tiba bulan puasa.

Orang dulu2 tak pernah memaksa anak2 berpuasa. Puasa pun tak apa tak puasa pun ikut suka. Apa yang pasti waktu berbuka dilarang sama sekali untuk berbuka bersama. Tawaf lah berapa kali pun langsung tidak peduli. Sampainya hati !!. Bagi yang tak mampu menahan rasa gelora berbuka, masing2 turut berpuasa khususnya anak2 buahku yang baik2 belaka. Bagiku saat berbuka memang menyakitkan rasa.

Malunya bila memikirkan betapa liatnya aku dengan puasa. Waktu sahur pasti bangun nak sahur bersama kerabu tembikai dengan telur masin. Kalau tak benda2 tu memang tak ada untuk besok pagi. Puasa belum tentu, ikut keadaan, kalau lauk habis terpaksa berpuasa. Nak tunggu mak masak lambat lagi jawabnya mak nak ke dapur.

Kelebihan orang tua memang tiada tolok bandingnya. Mereka punya kuasa luar biasa untuk mempengaruhi anak2 tanpa mengeluarkan sepatah kata. Hasilnya kita kembali ke fitrah asal manusia memang dijadikan baik dan untuk berbuat baik.

Diusia2 emas ini sepatutnya puasa sudah jadi amalan biasa. Bukan saja yang wajib dilaksana dengan mudah bahkan yang sunat2 seperti puasa 6 syawal. puasa sunat Rejab Syaaban, Isnin Kamis dan banyak lagi puasa2 sunat yang dituntut termasuk hari2 biasa juga sentiasa ada keinginan untuk hidup dengan berpuasa bagi menokok tambah pahala dan menampung2 dosa.

Sesungguhnya dengan berpuasa dapat menundukkan segala kehendak rasa, mengabdikan diri sepenuh hati.

Orang sekarang lebih2 lagi yang bijak pandai diusia2 remaja sudah bijak melaksanakan puasa2 sunat bila berkesempatan. Memang puasa diet paling mujarab tapi yang lebih sayu hati ini, ada yang berpuasa demi menjimatkan belanja, sanggup menahan lapar dahaga. Sama2lah kita berpuasa dalam mencari keredhaan Allah. Yang mahalnya markah puasa hanya Allah yang tentukan sebab puasa hak paling istimewa bagi Allah.

Bagi yang sudah berkeluarga, anak2 kecil sudah dilatih berpuasa. Alhamdulillah...tapi ingat usah dipaksa2...biarkan anak2 berpuasa dengan rela....take their own sweet time...teringat pada satu tragedi bila anak merayu2 untuk berbuka lalu ibu memujuk2;

' jangan buka lagi. Tunggu dulu...takpun tidur dulu...nanti dah sampai masa mak kejutkan'

Akhirnya anak itu terus tidur sampai tak bangun2 lagi. Memanglah sudah sampai masa dan ajalnya tetapi sebab dan asbabnya membawa kesalan pada ibu entah sampai bila.Apalah dosa kanak2 sehingga kita nak sangat mereka memenuhi tempuh orang2 baligh berpuasa.

Children learn what they see. Mak bapa berpuasa dengan taat, berterawih saban malam, mana munkin anak2 melupakan itu semua.

Terkenang-kenang pada kisah2 lalu sememangnya menyentuh Qalbu.

Saturday, August 22, 2009

Ramadan bertamu

Ramadan bertandang lagi...

Hiba menerima kunjungan Ramadan...Syukur banyak2 diberi kesempatan lagi...mudah2an sisa umur yang ada ini dapat di manfaatkan sebaik munkin.

Merenung pada segala kejadian yang berlaku di persekitaran hidup ini...terasa betapa kerdilnya kita manusia di sisiNYA.

' Ya Allah jadikanlah hamba ini hambaMu yang sabar,hambaMu yang sentiasa mensyukuri nikmatMu dan yang sentiasa memandang diri hamba terlalu kecil apabila di sisiMU...Ya Allah ampunkanlah segala dosa2 hamba samada yang kecil maupun yang besar,yang lalu dan yang terkini,yang hamba lakukan secara terang maupun sulit,yang hamba sedari atau tidak hamba ketahuinya ya Allah '

Ameen