Pokok kayu yang hebat pun ada teras seperti raja kayu. Bila dah jadi kayu teras, pasti di gilai oleh penggemar mistik.
Dalam belajar pun ada subjek teras. Besi pun ada besi berani.
Manusia ada apa. Hebat manusia ada teras. Teras pada nama. Teras manusia ada pada emak.
Hanya
 emak yang mampu melahirkan. Mak juga menyimpan segala acuan samada nak 
biarkan anak menjadi rintik setelah bapanya borek. Mak samasekali tidak 
akan  membiarkan anak berjalan seperti ketam. Mak juga yang  mengawasi 
anak supaya tidak menjadi musang berbulu ayam. Mak juga yang menentukan 
supaya anak membesar tidak seperti haruan. Khazanah perumpamaan 
ditinggalkan bagi kiasan rujukan untuk anak-anak  mak.
Semuanya atas batu jemala emak. Nabi kita meninggalkan pesan dalam situasi apa sekali pun mak mendahului...Mak! Mak! Mak!
Bila
 emak sudah tidak mampu dijadikan teladan, belajarlah dari mak orang 
lain. Tidak ada salahnya bila sudah dewasa persekitaran itu dijadikan 
pembelajaran. Orang lama meninggalkan pesan, yang baik jadikan teladan. 
Jangan sekali-kali meletakkan kesalahan pada emak. Itu sejarah mak. 
Jangan dipersoalkan kenapa mak begini, kenapa mak begitu. Jangan 
disamakan mak zaman Jepun dengan mak zaman pop yeh yeh. Tambahan pula 
mak zaman siber lagi berbeza sungguh berbeza. Kemuliaan taraf tetap 
sama. Baik jahat mak tiada tukar ganti.
Paling
 tidak, bersyukur kita dapat melihat bulan dan matahari. Biarkan mak 
jadi sejarah terindah. Kita hidup pun berlandaskan sejarah. Apa saja 
kejadian yang berlaku di persekitaran, pasti kita menyimpan jurnal yang 
sama.
Kisah
 Nabi se tampan Yusuf a.s. digilai Zulaika hingga terpenjara. Tingginya 
tahap kesabaran Nabi Ayub a.s. menanggung sengsara derita sakit. 
Kekuatan Nabi Musa a.s. berhadapan dengan firaun. Merdunya suara Nabi 
Daud a.s. pelembut besi. Hebatnya Nabi Sulaiman a.s. bersama bala 
tenteranya meliputi pelusuk alam. Kayanya ilmu Isa a.s. anak Maryam. 
Indahnya akhlak Nabi kita Muhammad s.a.w. adalah antara kisah yang sudah
 terpahat dalam sejarah Islam, menjadi contoh teladan dari zaman ke 
zaman.
Namun
 sejarah juga tahu ibu para nabi tidak minta dikenali maupun untuk 
dihargai, jauh sekali untuk dikenang. Cukuplah anak-anak menumpahkan 
jasa kerana ibu sudah selesa terpelihara.
Kata
 Nabi orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa ingat mati. 
Bila ingat mati, teringatkan mak lagi. Agaknya, sudah hancurkah jasad 
mak dimamah bumi, atau terpeliharakah mak dari rosak binasa.
Aku
 berazam menguatkan teras kasih yang mak bawa. Teringin juga nak jadi 
pohon tegap dan rendang. Kalau besi rasanya kepingin bangat seperti besi
 berani, mengidam juga nak jadi penawar, pengubat hati penglipur lara.
Kiranya
 ada kebaikan atau pahala, apalagi yang kita harapkan selain 
menghadiahkan pada emak bapa. Pahala seperti air sungai mengalir, 
mengukuhkan akar, menguatkan tebing, lambang kekuatan teras manusia. 
Satu-satunya
 ilmu terindah mak tinggalkan adalah macamana nak buat pulut kuning. 
Sehingga hari ini belum lagi ku temui pulut kuning sesedap pulut kuning 
mak. Ada yang lemak tapi tak liat. Ada yang cantik tapi rasa tidak 
menarik. Pulut kuning mak camtik, kuning berkilat. Lemak berkrim disukai
 ramai. 
Semua
 kita akan memuji emak kita masak. Almaklumlah air tangan mak. Bersyukur
 mak tinggalkan panduan. Di akhir-akhir ini memang ramai dah tak minat 
nak masak pulut kuning. Semuanya tempah menempah. Padahal ada rahsia 
hebat tentang sejarah pulut kuning santapan di raja.
Di sinilah teras kasih bermula. Mak berkasih kasihan kerana Allah.