Monday, June 24, 2013

Malam Nisfu Syaaban

Kita sudah berada dipertengahan Syaaban. Cuma tinggal 15 hari saja lagi untuk kita menyambut kedatangan Ramadhan, bulan suci, sebulan umat Islam berpuasa.

Entah sampai ke tidak umur kita untuk menyambut Ramadhan, hanya Allah yang tahu. Sementara ada usia biarpun meniti senja sama-sama kita meraih redha Allah di sepanjang perjalanan sisa yang tinggal.. Semalam kita beramal seperti yang digalakkan dengan membaca Yasin tiga kali dengan niat tertentu. Ada mengatakan amalan ini bidaah, ada pula yang yang tidak bersetuju kerana tiada dalam hadis Nabi s.a.w.

Apapun alasannya tidak salah untuk kita beramal dalam mencari pahala pembaikan diri. Bila kita sudah memenuhi tuntutan sunnah Nabi s.a.w. dengan menjalani puasa sunat Isnin Kamis , saban waktu menjalani puasa sunat bulan cerah dan bulan gelap. Kita beristiqamah bersama puasa sunat 6 syawal. Kita berusaha menjejaki puasa sunat Nabi Daud a.s. yang mengikut hadis Nabi s.a.w. puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud. Apalah salahnya kita menambah kebajikan dengan membaca jantung hati Al Quran, surah Yasin  sebanyak 3 kali dipertengahan Syaaban. Kita memohon dilanjutkan usia dalam mentaati Allah, memohon diluaskan rezeki agar diberkati selalu dan seterusnya memohon dimatikan dalam husnul khatimah. Tidak berdosa malah digalakkan dalam meningkat kefahaman berugama. 

Rasulullah s.a.w bersabda “Siapa yang Allah kehendaki kebaikan yang besar baginya di akhirat, maka dia akan diberi faham tentang agama

Dalam meraih cinta Allah, kita merasakan masa benar-benar mencumburi kita. Kita rasa tidak mahu dimatikan lagi kerana seronoknya mengabdikan diri. Sambil mengenal kemampuan diri, sambil berdoa agar Allah tidak bolak balikkan hati setelah diberi petunjuk, kita sedar kita sedang dilamun cinta. Bila cinta sedang bersemi tanda hidup sedang bermula. lantaran membawa akal, minda dan hati  membawa kita mengenal siapa Pencipta.  Bila kenal Allah, mana mungkin berpaling lagi.

Kita merasakan seperti mati hidup semula. Dialah kekasih awal dan akhir. Dia mengubat sepi seorang perindu. Mahu rasanya dihidupkan seribu tahun lagi biarpun  tanpa jasad. Cuma roh kasih sayang tinggal bersemi dihati insan yang kita tinggalkan nanti. Jangan dimatikan dulu hamba-hambaMu ini yang masih belum cukup bakti pada ke dua ibu bapa. Masih mencari-cari dosa silam, apakah sudah terpadam. Andai kita dijemput pulang, terputus sudah amalan khusus buat pada pada kalian berdua, kecuali jika ada tiga perkara seperti yang dijanjikan.


 ( Al Ankabut 2-3 )
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?

Dalam meniti usia senja, sambil membelek kitab-kitab masa silam. Terungkai sejarah indah. Bila mana Allah rindu pada hambaNya, Dia mengirimkan pemberian istimewa melalui malaikat Jibril iaitu ujian sepertimana dalam hadith qudsi yang di riwayatkan oleh Thabrani dari Abu Umamah, Allah berfirman kepada malaikatNya yang bermaksud,

' Pergilah kepada hambaKu, lalu timpakanlah macam-macam ujian kepadanya kerana Aku mahu mendengar suaranya "

Cinta hadir tanpa dipaksa, namun begitu tidak kenal masakan boleh kita bercinta. Bila sudah kenal, segala ujian dirasakan mudah. Sering mengingatkan ujian ini tanda Dia sayang. Dia merindui suara kita yang jahil. Dia inginkan kebaikan lantas kita diui dan diuji. Adakala sampai setengah mati, pun begitu kita bangkit dengan tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Dia yang Maha Suci, Maha Halus kasih sayangNya. Ujian mendidik kita untuk maju setapak kehadapan. Zaman persekolahan kita menitik beratkan markah ujian sedang ujian yang ditimpakan secara langsung dari Allah membuatkan hidup ini seperti tidak bernilai tanpa ikatan kukuh bertalian dengan Allah.

Diuji dengan kerenah manusia, Kita sabar tanpa suara. Menjaga lidah itu pasti. Asbabnya manusia cukup gemar diajak bertelagah. Jangan dicampurkan minyak ke dalam api. Biar kita jadi air, terus mengalir ke dasar hati. Belajar untuk tidak membenci musuh. Sedangkan nabi ampunkan umat, siapalah kita hamba yang berdosa. Dalam Islam, iman dan ihsan paling utama. Tidak beriman selagi tiada ihsan sesama insan. Semakin kita dihina dimata manusia, semakin indah rasanya jiwa bila bersamaMu kita bahagia. Mengecapi saat-saat indah masa mengadu sambil merayu. Merintih dimalam sunyi tanpa rasa malu.  Memetik kemanisan bila Dia tunjukkan jalan. Dia hantarkan pembantu mengubat luka semalam. Seringkali kita berdoa ketika bersujud dalam tahajud,

" Ya Allah, masukkanlah aku dalam kebenaran, keluarkanlah aku dalam kebenaran jua. Kurniakan bagiku daripadaMu  seorang pesuruh "

SubhanAllah indahnya doa dalam solat. Sentiasa bermunajat agar doa kian mustajab.


Sabar dengan sakit yang menimpa. Menempa sakit atas kezaliman diri sendiri seumpama kisah nabi Yunus a.s. yang ditelan ikan nun. Sakit petanda Allah memberi peluang untuk kita tidak melupakan Dia, tidak pula meninggalkan Dia bahkan tidak sama sekali menduakan CintaNya. Dalam sakit ada nikmat bila kita berbaik sangka pada Allah. Tanpa sakit mungkin kita rasa kita terhebat, kita paling kuat. Lambat untuk kita bertaubat.

Seringkali dibasahkan lidah dengan ungkapan hebat doa Nabi Yunus a.s.
لا إلهَ إلا أنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظّالِمِيْنَ

Sabar dengan kehilangan insan yang kita kasih, kita cinta setiap hari. Insan yang kaya dengan keihsanan sampai hujung usia. Insan yang setia menyimpan rahsia bersama. Memandang wajahnya juga mendapat pahala. Dijemput Ilahi bila usia sudah semakin ranum. Pemergiannyam mendewasakan kita yang tinggal. Kehadirannya didunia sungguh bermakna. Tanpa dia mana munkin kita dapat melihat bulan dan matahari, lambang cinta abadi. Perginya dia begitu mudah seperti kembali berehat disana setelah didunia berpenat lelah.


Sabar dengan kekurangan harta. Biarpun pernah satu ketika tidak ada apa yang hendak dimasak, lantaran itu berpuasa sunat mententetamkan jiwa. menguatkan roh lantas jasad jadi ampuh. Berputus asa tidak sekali-kali. Pernah melalui saat-saat getir, tiada apa yang hendak dimasak. Sementara menanti bekalan hakiki, masih ada tepung yang digaulkan mentega untuk digoreng buat keperluan Adam yang meminta-minta.Kaya miskin adat dunia. Kita saling melengkapkan andai kita mengerti makna cinta.


Segala ujian demi ujian bertimpa-timpa datang melanda sudah kita lalui dengan kepayahan. Pasti ada rahsia yang tersembunyi hingga diuji hebat begini.


Sempena malam Nisfu Syaaban, malam diangkat buku amalan kita oleh para malaikat untuk digantikan dengan lembaran baru. Kabarnya malam tadi malam hari raya para malaikat, berpuasanya burung-burung dan binatang-binatang buas. Malam ini juga malam persediaan buat kita umat manusia mana tahu dipilih untuk kembali kepadaNya bila Izrail menerima nama-nama baru. Bila Izrail datang memanggil, jasad terbujur kaku dipembaringan. Putus sudah talian hayat.


Dari Imam Al Ghazali,

" yang besar itu NAFSU, yang berat itu AMANAH, yang jauh itu MASA, yang indah itu SOLAT, yang dekat itu MATI"  




 


No comments:

Post a Comment