Wednesday, February 6, 2013

Hidayah milik Allah


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

( Al ankabut: 2)



 Sudahkah kita diuji? 


Bagi lelaki tentunya life begins at forty. Bagi wanita khususnya yang bergelar ibu sudah tentu hidup bermula tatkala  mendapat title bonda.  Ujian demi ujian dillalui seperti meniti dititian Sirat.  Susah senang terpaksa ditempuh. Kepayahan meneruskan hidup ditambah dengan penghinaan ahli keluarga sungguh mencengkam hingga  merana jiwa jadinya. Fitnah, domba jadi makanan dihadam tanpa serat. Segala macam ujian diterima dengan rasa bersalah menghantui diri.



Apakah dosa hamba???


Hari-hari dilalui digagahkan juga demi meneruskan hidup insan-insan tersayang. Tidak pernahku mengadu segala keluh kesah pada makhluk yang bernama manusia. Persekitaran mengajarku untuk terus diam. Sana sini manusia cukup suka mengata perihal kesusahan dan kesenangan orang sedangkan diri sendiri pun terlalu banyak celanya. Memandang yang miskin dia dihina sedang  yang kaya disanjung dipuja. Hamba jadi takut untuk menyuarakan segala rasa. Andai kita tidak bersalah, peduli apa pada susah payah. Pasti ada yang tersirat untukku terus mengkaji seorang diri. Bermuhasabah selalu bila ada waktu. Mencari hidayah buatku jika ada.



Hamba teruskan pencarian mengapa hamba diuji sehebat ini. Sakit yang seperti sudah tidak ada ubatnya pun sudah ku lalui. Ke doktor, ke bomoh, ke ustaz sudah pun dibawa. Bergolok bergadai namun masih belum ku temui penawarnya lagi. Sehinggalah ditemukan dengan Ustaz Lutfi. Penawar dicari ada dalam diri sendiri. Dalam melawan jiwa yang hampa biarlah pada pandangan mata kalian waima pada mata emak sendiri pun hamba masih boleh mengukir senyuman. Hanya padaMu aku diangkat segala beban.Pada pandangan mata manusia, biarlah hamba jadi pelakun handalan. Tampak ceria dan bahagia. Dihati hanya Allah yang tahu betapa sengsaranya hidupku.



Hamba yakin benar pada kasih sayangMu. Sepertimana firmanMu dalam ayat diatas. Hamba mencari dan terus mencari. PemberianMu yang terlalu banyak sedang imanku hanyalah sedikit untuk menampung segala pemberian. Pasti ada mesej disebalik segala ujian ini. paling tidak pada kifarah atas  segala dosa yang ada.
Alhamdulillah, terima kasih atas hidayahMu wahai Allah Yang Maha Halus KelembutanNya. Bersyukur hamba  atas nikmat ujian yang dilalui. Betapa murninya kasihMu pada hamba-hambaNya yang meminta, merayu sambil berdoa. Terjawab sudah segala resah kenapa, mengapa dan untuk apa kita diuji sehebat ini.



'Ya Allah, hamba memohon hidayahMU wahai Allah yang Maha Rahim.Kekalkan hamba dalam ketakwaan ini, hamba memohon sihat walafiat, mengharapkan kebaikan dunia dan akhirat '





Pesan Imam Al Ghazali, perbaharuilah niat selalu.





Sepertimana jiwa para solihin, bila diuji mereka sabar dan tidak mengadu. Sabar itulah sakitnya. Insan yang hampir dengan Allah ( para Muqorrobin) bila diuji mereka redha. Sesungguhnya redha itu kurang sakitnya kerana terbit rasa rela dan puas. Orang-orang yang benar ( para Siddiqqin ) merasa bahagia dan terhibur tatkala menerima ujian. Itulah santapan bagi jiwa mereka.





Dimanakah jiwa kita berada bila diuji bertimpa-timpa...



Nafsu merasa teramat bencikan  ujian lebih-lebih lagi yang diuji dengan kesusahan dan kepayahan Fitrah pula sebaliknya. Fitrah sangat ingin rasa bertuhan tanda bahagia dan sangat sukakan  bersusah-susah kerana Allah. 


Bila ditemukan fitrah manusia lalu terungkailah ikatan. Tidak takut dan tidak gentar. Allah Ada.


Perbanyakkan selawat dihari Selasa, banyakkan beristighfar  pada hari Rabu. Semarakkan cinta pada Nabi s.aw. bagi meraih cinta Allah azza wa jalla.


Allah memberi, kita lalu mencari, tercari-cari  kesana kemari. Hidayah itu milik Allah bukan milik manusia. Sampai masa bila Allah bersedia menemukan kita dengan hidayahNya. Jagalah hidayah itu. Hamba mengingatkan diri  sendiri bimbang alpa selalu.

No comments:

Post a Comment