Saturday, March 23, 2013

Hari ini dan Semalam

Semalam rumahku didatangi Aminah bukan nama sebenar bersama suaminya seorang AJK Masjid. Sudah lama sang suami minta  kerumahnya. Kabarnya rumah mereka macam ada sesuatu yang tidak kena. Macam ada hantu, suami isteri selalu mendapat kesan-kesan cakar dibadan.


Siapalah hamba untuk kerumah Aminah. Hamba bukan bomoh jauh sekali seperti gerangannya ustaz yang tahu serba serbi, selok belok kehidupan hantu. Apapun untuk tidak menghampakan, hamba sampaikan pesan untuk mereka datang saja kerumah. Biarlah hamba mengenali penghuni rumah terlebih dulu. Bagiku bila ibu rumah kuat, rumah tidak mudah diceroboh.


Muncul Aminah semalam bersama suami. Aminah malu-malu lalu diajak kebilik untuk lebih selesa bual bicara. Setelah menceritakan hajatnya, Aminah bertanyakan apa yang tidak kena dalam rumah Minah, kak!!


Terus terang, kita tidak boleh menyalahkan benda yang kita tidak nampak. Itu hak Allah.Hanya Allah saja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kita manusia yang diberi pancaindera, lengkap dengan mata dan telinga sepatutnya lebih kuat dari hantu atau dari perkara yang tidak menentu.

Ternyata Aminah insan baik. Suaminya juga orang baik. Kalau tidak masakan Aminah bercerita suaminya yang menguruskan arwah mak Aminah semasa hidupnya dulu. Suami yang cebokkan mak. Suami yang siapkan segala-galanya untuk mak minah, kak. Tapi kenapa Minah suka marah-marah. Suka membebel tak tentu pasal. Kadang-kadang Minah sedar Minah bersalah.

Begitulah perempuan,

Tidak pernah mahu bersyukur dengan anugerah suami yang Allah bagi. Masih mencari jalan untuk menguji kesabaran suami. Bukankah itu hasutan iblis yang dilaknat. Suka sangat melayan kerenahnya setan. Kita tahu marah yang tidak menentu itu hasil bisikan syaitan, masih juga mahu menjejaki hidupnya mereka. Untuk mencari jalan melayani kerenah setan, kita mula menyalahkan orang-orang disekeliling.

Jiran, saudara mara, anak-anak waima suami pun kita heret bersama pada kancah permainan jahat ini. Walhal kita sendiri menyedari perbuatan itu adalah salah namun demi mengubat hati yang lara kita dibuai rasa sengsara. Mula menyalahkan diri. Menyesali pada kesilapan. Masih tidak jumpa jalan keluar kita mula nampak hantu. Bila hantu terpikat pada kelemahan yang kita miliki, tidak salah lagi bagi hantu untuk meninggalkan tanda mata buah tangan ingin hidup bersama.

Wahai perempuan,

Mari bermuhasabah tentang nikmat jadi perempuan. Perempuan itu wanita  dimuliakan Tuhan. Perempuan itu bukan beban. Nikmatnya perempuan bila dicintai, bila jadi  isteri menemani suami, bila jadi ibu, dikasihi anak-anak dari hidup sampai sesudah mati..


Bukan mudah menjadi mithali. Mana munkin dapat menandingi kehebatan Siti Hajar, isteri terbilang, ditinggalkan ditanah yang kering kontang. Tidak juga sekaya Khadijah isteri pertama Rasulullah. Siapalah kita wahai perempuan nak dibandingkan dengan Aisyah yang manja jelita, jauh sekali semulia Fatimah puteri baginda Muhammad Rasulullah s.a.w.


Namun begitu ada kisah jadi teladan. Jadi sempadan antara perempuan dahulu dan perempuan sekarang. Kisah perempuan dulu-dulu yang rajinnya dari hati, berkorban mereka sampai ke mati. Jadi anak, jadi isteri, sehingga menjadi ibu. Tanpa keluh kesah sebab mereka takutkan Allah. Taat mereka terlalu tinggi sebab yakin budi perkerti diperhati. Dunia begitu kecil berbanding tanggungjawab yang dirasakan besar. Seumpama memelihara dusun durian, begitulah pengorbanan orang perempuan. Dinikmati hasil tangan sampai tujuh keturunan.

Kisah nenek kebaya jadikan teladan. Kisah Kak Mah tak tutup kepala, mendidik suami sampai hilang jantan. Kisah tok mah berambut palsu, bikin suami jadi beku. tiada rasa cinta sesama manusia.  Kisah perempuan berkerjaya namun hidup tidak bahagia. Entah dimana silapnya, perempuan sekarang semakin menjadi-jadi malasnya. Baik yang keluar universiti maupun yang tidak berkelulusan tinggi. Malas sudah seperti kerjaya. Tidak segan silu jadi perempuan pemalas.

Gara-gara sudah berduit, rasa malas sudah  sebati dalam jiwa.Berduit semua boleh dibeli. Kononnya dapat membeli kasih untuk melalaikan anak-anak, diserahkan ipad pengganti diri. Biar anak bijak IT walhal usia baru setangga, usah dilatih apa dia suka. Mandian anak sendirian saja. Makan minum anak-anak sambil berdiri, sambil berlari. Menyisir rambut anak-anak jauh sekali.Bila dewasa anak-anak dah pandai demand.  'We want your presence not your presents '. Sayangnya semua sudah terlambat. Terciptalah anak sitanggang moden.

Jangan dimanjakan perempuan. Cukuplah perempuan tempat bermanja.


Wahai Aminah,

Berbahagialah jadi perempuan, bila kita kenal siapa kita disisiNya. Mudah meraih pahala. Jangan dikesali kisah lalu. Aminah berderaian airmata menceritakan dia pentingkan kerja, mak ditinggalkan keseorangan dirumah. Abang-abang adalah menjengok untuk memberi makan mak tapi  yang dikesal sampai hari ini sebab minah tidak pernah ambil cuti. 

Aminah! ! semuanya sudah tertulis. Yakinlah pada kehidupan hari ini. Kenapa Minah dihidupkan lagi hari ini. Bukankah ada tiga perkara yang mak Aminah tinggalkan? Salah satu adalah anak-anak soleh yang mendoakan untuknya. Jika benar Minah nak jadi anak soleh, hidupkanlah hari ini dengan meneruskan bakti pada kedua ibu bapa. Persekitaran memang mengajak kita untuk melupakan mereka. Jangan terpedaya dengan segala tipu daya.

Bila marah, Istigfar banyak-banyak. Macam-macam kaedah ustaz mengajar kita menghindar rasa marah. Sebelum suka nak marah orang, marahkan diri kita dahulu.  Tanyakan diri kenapa aku jadi marah. Tidak kira dimana Minah berada, bila Minah teringat pada mak, terkenangkan segala kekesalan, hantarkan fatihah pada mak. Selepas solat kita hadiahkan Fatihah pada junjungan kita terlebih dahulu, juga pada keluarga dan para sahabat baginda, kemudian pada ibu bapa. Tanpa diduga dikepala ini muncul pelbagai nama baru dan lama mengalahkan perisisian dalam komputer untuk kita kirimkan hadiah berupa Fatihah. Hati hidup dengan bunga-bunga cinta. Pastinya Aminah tidak ingin dimatikan lagi untuk terus berbakti.

Aminah kata Aminah pendendam. Siapa kita nak jadi pendendam sedang Nabi ampunkan umat. Dendam pada musuh, istigfar banyak-banyak, kirimkan Fatihah. Buat jahat jangan sekali. Banyakkan berselawat tanda cinta pada Nabi cinta kita paling tinggi. Bayangkan ada malaikat yang menghantar khusus selawat kita pada baginda Nabi. Tiada lagi yang kita dambakan selain mengharapkan syafaat Nabi Muhammad s.a.w.


Aminah kesal anak tidak mahu bertudung memandangkan suami orang masjid. Anak itu masih muda. Aminah dulu pun pernah muda. Bertudung jangan dipaksa-paksa. Perlu mengambil masa. Berdoalah seperti doanya nabi Daud yang mana besi pun boleh dilembutkan. Melihat pada tanda yang ada di bahagian lutut dan pergelangan kaki Aminah membuktikan Minah rajin bersembahyang. Jadi, jangan diikut rasminya setan. Syaitan memang suka mendekati orang perempuan yang baik-baik tapi lemah spritual. Jiwa perempuan kena kuat, kental, tidak takut dan tidak gentar. Allah ada bersama.Bila bahagia dihati, kita tidak ingat yang lain lagi selain hidup hanya kerana Allah.

Aminah memelukku  erat semalam Aku diciumnya dengan penuh rasa gumbira.

Masa datang tadi saya macam tidak bermaya, malu pun ada, serba tak kena. Hanya Minah saja yang tahu kak, macamana rasa Minah saat ini. Minah rasa kuat , Minah rasa seronok sangat. Minah tercari-cari selama ini. Minah baru jumpa. Lambat ke cepat tapi Minah dah jumpa.

Hari ini, ku lukiskan kisah semalam bersama Aminah. Tanda kenangan sepanjang perjalanan hidup ini. Tiada yang lebih bahagia bila diberi peluang oleh Allah dapat berkongsi bahagia.

Mudah-mudahan Aminah bertemu jalan pulang. Bila Aminah sudah kenal diri, pasti setan lari lintang pukang. Hakikat sebenar syaitan paling gerun pada perempuan sebaik Aminah.







Thursday, March 21, 2013

Pusaka Melayu


' Dulunya gadis melayu sekarang wanita melayu jadi  pusaka orang melayu'


' Siapa bilang gadis melayu tak menawan, tak menarik hati, tiada memikat ..... '


Memperkenalkan Juwita-juwitaku sayang. Termimpi-mimpi wajah menawan. Ibarat bulan nan bergemerlapan. Meruntun qalbu, kekal jadi idaman. Itulah kata-kata sanjungan pada dua insan istimewa. Daripada memiliki biorafi Rosmah Mansor yang tidak membawa pada apa-apa faedah, lebih baik dikesempatan yang ada ini hamba rakamkan kehidupan dua insan yang sedang meniti usia senja namun diraut wajah jelas terpancar rahsia hati sedang bahagia.


Keunggulan cinta dari sinar mata. Dua wanita hebat lagi berjiwa kental ini terkenal dengan kecantikan paras rupa ketika zaman remaja. Bila sudah  dimamah usia, mereka tetap anggun menawan. Wajah mereka yang rupawan membuatkan diri yang serba kekurangan ini selalu rasa terpencil. Selalu menganggap hamba bagaikan gagak dirimba mana kan sama merak kayangan, tak sepadan tak sebaya.


Memperkenalkan yang disebelah kiri Johariah berusia sudah lewat enam puluhan. Masih anggun, sopan dan menawan. Manakala disebelahnya bernama Rohani, cantik, manis, pandai berbahasa, lancar tutur kata. Ramai yang memuja pada kecantikan mereka yang luar biasa bahkan menjadi siulan anak muda pada zaman dahulu kala. Sungguhpun Rohani juga sudah lewat lima puluhan namun kak Ani tetap manis menawan. Bibirnya bak  delima merekah,  sungguh hamba terpesona pada indahnya ciptaan Dia.


Rahsia awet muda kekanda tercinta. Mengabdikan diri pada keluarga hingga hujung nyawa. Mereka bagaikan lilin yang hidupnya untuk membahagiakan orang disekeliling. Jauh disudut hati, tiada siapa yang mengerti apa sebenarnya yang mereka cari. Sukar dimengerti  jika tidak direnung jauh dari matahati. Menyelami akan halusnya budi pekerti, menyimpan segala rahsia rumahtangga, memendam segala derita, yang terpancar hanyalah pengabdian demi kerana Tuhan. Beginilah  jiwa seorang perempuan.


Biarlah persekitaran tidak memahami, namun dalam mencari kebenaran, wajah itulah rahsia. Segala yang terpancar dari wajah itulah yang terbit dari sanubari nan suci. Tidak pernah kenal erti penat, mereka terus berbakti. 


Alhamdulillah takdir penentu segala matlamat. Kita seharusnya bersyukur dihidupkan dari permulaan, diuji dipertengahan, InsyaAllah, dipermudahkan pada kesudahan. Menikmati keselesaan dipenghujung usia hasil penat lelah, jerit perit, menempuh segala dengan kesabaran.


Istimewanya dua wanita melayu ini, paling pakar bab masak memasak. Selain dari air tangan mak, tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan keduanya dalam menyediakan masakan khususnya kuih muih melayu jati. Sekali rasa pasti tidak lupa. Siapa saja andai merasa, pasti memuja dan memuji rasa keenakan kuih muih antaranya, seri muka, tepung talam,lopeh dan aneka jenis kuih melayu hasil air tangan keduanya, warisan bondaku sayang. Setiap syawal hamba terkenangkan ketupat mak, ketupat palas mak lemak, liatnya tiada tandingan. Ruginya tidak mewarisi kepandaian mak.

Alhamdulillah bila raya menjelang, adakalanya dapat juga menumpang rasa kesedapan ketupat hasil air tangan kakak.

Mereka berdua berkorban demi keluarga. Mewarisi keunikan bakat masakan melayu untuk santapan seisi keluarga. Pastinya diakui anak-anak sendiri, hasil air  tangan ibu mereka tiadalah tandingan diatas dunia fana ini. Beruntung anak-anak yang dapat menikmati hasil air tangan ibu. Pasti dikenang sepanjang zaman, sampai menutup mata, masakan ibu pengubat segalanya.


Masa muda mereka berkorban segalanya demi suami. Mengabdikan pula hidup pada keluarga. Tidak kenal erti penat. Mereka tabah mengharungi. Tidak seperti hidupnya Rosmah, tidak pernah puas nafsu bergolak. Tidak pernah bersyukur diatas pemberian, malah terus menerus berbelanja macam syaitan. Mengerbang rambut macam hantu dalam hutan, suami tetap tak cukup makan. Apalah ertinya hidup si Hawa jika sekadar memusnahkan usia si Adam. 


Tidak cukupkah peringatan pada kaum Hawa pada nasib Adam yang dicampak keluar dari syurga hasil dorongan nafsunya Hawa. Bila Adam turun kedunia, Adam tidak putus-putus berdoa memohon keampunan dari Allah sambil Adam mencari-cari hilangnya Hawa. Bukankah Hawa juga bertaubat.


Seharusnya kaum Hawa mengambil iktibar pada kisah Adam dan Hawa. Segala kehancuran bermula dengan sikap perempuan yang tidak pernah puas, tamak  lagi merbahaya.


Biografi Rosmah mengukur sejauhmana nafsu bertakhta dihati andai tidak dibendung dengan akal melalui ilmu dan amal. Wajah Rosmah menggerunkan kita umat hawa untuk tunduk mengajar anak-anak agar tidak leka bila hidup sempurna. Berbalik kita mencari kebenaran dengan mengenang air tangan ibu, pemberian semula jadi lagi suci. Ingatlah kita diciptakan untuk memberi, teruskan memberi.


Bersyukur atas pengajaran dari kedua kekanda ini yang setia sampai hujung nyawa. Bersendirian lebih bahagia bila suami yang pergi dulu.Melihat kelebihan anugerah yang diberi pada setiap insan, terasa kerdilnya diri ini dalam memujaMU selalu.


' Seperti lagu P. Ramlee, dimanakan ku cari ganti, serupa denganmu....'










Saturday, March 16, 2013

Alahai Kassim!!!

Kisah menyayat hati kasihnya Kassim pada adiknya Rasidah. Setelah berkhidmat selama 20 tahun sebagai anggota tentera, Kassim menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama adiknya yang lumpuh. Allah memakbulkan doa Kassim bagi meneguhkan kepercayaan kita betapa zalimnya umno pada rakyat jelata. Allah menangguh doa Kassim selama 12 hari ketika Kassim terperangkap bersama adiknya bagi membuktikan kepada negara dan rakyat jelata betapa nasib anggota tentera yang masih hidup tidak pernah terbela oleh kerajaan dibawah cengkaman umno.


Bila satu persatu perwira negara gugur kebumi ketika insiden di Lahad Datu, PM, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan sibuk mengumumkan pelbagai imbuhan bakal diterima keluarga. Kenaikan pangkat serta merta, kenaikan gaji anggota tentera bahkan ratusan ribu akan diberikan pada keluarga mangsa yang terkorban. Saat keluarga dalam kesedihan, wang jadi pertaruhan.


Sumbangan kilat dan macam-macam kaedah derma dilancarkan dari semua sudut bagi merakamkan takziah kerajaaan dibawah cengkaman umno pada keluarga mangsa. Nasi sudah menjadi bubur. Wang sudah tidak berguna lagi. Benar, wang adalah segala-galanya dan umno perlu diingat segala-galanya  bukanlah kerana  wang.


Harga diri seperti Kassim kita pertahankan. Nilai murni yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Hanya yang tidak berwang saja punya jati diri sekuat Kassim. Jika Allah tidak memakbulkan doa Kassim pasti Allah merancang yang lebih baik untuk UMNO terus berkuasa.


Ternyata kini Doa Kassim dimakbulkan. Alahai Kassim!!! Bubur nasi  jadi supplement menambah kekuatan badan sementara menanti adanya bantuan untuk Kassim dan adiknya.


"Jika ALLAH  S.W.T memakbulkan doamu, maka Allah meneguhkan kepercayaan mu kepadaNyJika ALLAH S.W.T. menangguhkan doamu, maka ALLAH menguji kesabaranmu, Jika ALLAH S.W.T tidak memakbulkan doamu, maka ALLAH telah merancang sesuatu yang lebih baik buatmu".

Bernazar lagi kali ini bila UMNO tumbang disetiap negeri. Kalau dulu tertunai sudah bernazar berpuasa bagi setiap negeri tumbangnya UMNO/BN kini tidak syak lagi akan bertambah jumlah hari berpuasa.


Sama-sama beramal kerana Allah demi memelihara maruah bangsa dalam mempertahankan negara tercinta. Sesungguhnya UMNO wajib dibersarakan.

Wednesday, March 13, 2013

' Jewel from paradise '

Semalam hari Selasa hamba berkunjung kerumah sebuah keluarga saudara baru. Lama tak jumpa tiba-tiba dapat berita kedua-dua beradik sudah memeluk Islam. Hampir 4 tahun tidak berjumpa. Siapa sangka hidayah Islam dicampak didada mereka lalu hari ini, kami bersua bagaikan penyatuan ummah.

 
Alangkah ceria nampak keduanya. Adiknya Nur Lina awal lagi sudah dibukakan cahaya iman. Hampir 7 tahun dia mengucap syahadah. Dia masih single. Dalam perancangan hampir lebih tujuh tahun juga untuk mendirikan rumahtangga namun ada saja halangan menimpa. Apapun keduanya setia menanti saat bahagia.

 
Kakaknya yang dulu bernama Pamela aka Pam baru Ramadhan lepas, dia sekeluarga bersama suami dan 2 anak perempuan, Iman dan Amani dibukakan cahaya hidayah Allah.


Pamela bertukar jadi Tahira Taazneem. Sedapnya nama, apa maknanya.


' Ala-ala Arab lah sikit auntie, lebih kurang macam Jewel from paradise'

 
Seronok mendengar Tahira bercerita tentang hidayah dari Dia. 


Dari dulu saya memang berminat. Adik pun dah lama masuk Islam. Dia nampak tenang dan bahagia. Alhamdulillah saya tanyakan suami, dia setuju. Kami bimbang tentang masa depan anak-anak. Didikan ugama penting jadi saya nampak Islam is the way of life. Ramadhan lepas kami berempat masuk Islam.


Sejauhmana, Tahira belajar...


Saya masuk class. Selebihnya banyak kemudahan melalui internet. Anak-anak lagi mudah belajar. Cepat dapat dari ayah mereka. Alif bata dah pandai sambil bernyanyi-nyanyi ikut  dalam you tube.


Mak cik suka dengar Dr Zakir Naik. Adakalanya rasa sebak mendengar dia berceramah. Kelebihan dia dapat menarik orang bukan Islam berkumpul, bersemuka dalam satu program. Pada masa itu juga ada yang Allah bukakan hidayah Islam berhadapan dengan Dr. Zakir sendiri yang sedang berceramah.


Betul tu auntie. Dr. Zakir penyumbang terbesar untuk saya mendekati Islam. Saya banyak dengar melalui you tube ceramah Dr. Zakir.


Keriangan jelas terpancar diwajah-wajah yang mendapat cahaya cinta Allah.


Mak Tahira bila lagi...


Mak Tahira bernama Mariammah aka Mary berugama Kristian. Perkenalan kami bermula lebih tujuh tahun yang lalu. Ketika itu, Mariammah masih lagi bekerja sebagai kakitangan hospital. Setiap petang, entah dari mana gerangan Mary dapat maklumat, Mary selalu datang berkunjung kerumah.


Mary bercerita tentang ragam anak-anak. Mary sebagai penganut Kristian, fasih berbahasa Melayu datang nak minta penawar, menyembuhkan segala luka dihati. Sebagai pendengar setia tambahan pula Mary seorang kristian, apa yang perlu dibaca. Tidak lain dari minta pada Allah mudah-mudahan Allah masukkan hidayah Islam dihati Mary dan anak-anaknya.


Esoknya Mary datang lagi, lagi dan lagi. Anak-anak dah mula dengar kata dan Mary seronok bercerita. Hiba hatiku yang jadi ibu bila melihat tiap kali Mary pulang dengan hanya mengayuh basikal. Selang beberapa tahun anak Mary, Pamela melahirkan baby sulungnya yang sekarang bernama Iman.


Mary meminta bantuan untuk mengurut anaknya dalam pantang. Susah bagiku menerima permintaan bagi orang yang bukan Islam namun dia juga manusia biasa seperti kita lantaran itu permintaannya diterima.


Alhamdulillah, sudah lama tidak berjumpa kini keduanya sudah menjadi keluarga kita, seugama biarpun berlainan bangsa. Cuma tinggal Mary yang masih dalam samar-samar.


Diakhir pertemuan, ketika bersalaman, hamba nyatakan pada Mariammah @ Mary yang satu hari Allah bukakan hati  Mary menjadi Maryam. Mary mengiakan. Tahira kata dia tidak putus berdoa untuk maknya dan mak pun ada pergi class untuk temankan anak-anak.


Selawat dan salam dilimpahkan pada penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w. pada keluarga dan para sahabat baginda sekelian dan segala puji bagi Allah, Pencipta alam semesta.


Thank You Allah for the helping hand. Segalanya bermula dengan Sentuhan.







Tuesday, March 12, 2013

Terima kasih Mak!!

Segala puji bagi Allah yang menghidupkanaku dari matiku dan kepadaMU aku dikembalikan.Doa ini selalu terbit dari otak sebaik saja mencelek mata. Bagi merungkai ikatan syaitan yang membelenggu, kena bingkas bangun. Seperti biasa online dengan Pencipta.


Paling tidak sekadar witir walaupun satu rakaat asalkan konsisten. Bukan mudah mendidik nafsu. Mana munkin aku dapat melupuskan kenangan hari ini. Hari Selasa. Menjelma semula kenangan saat mak mati dipangkuan. Mak pergi dan takkan kembali padahal malam itu mak minta buatkan teh tarik. Akhir ucapan ketika teh sampai depan mak adalah perkataan terima kasih. Bukan mudah pula melupakan detik pengalaman bersama mak.


Masing-masing menpunyai persepsi bahagia yang berbeza. Cukuplah bahagia bagiku ternyata, bila mak meninggal dipangkuan. Kematian mak diuruskan anak dengan sempurna munkin. Pusara mak yang banyak berkorban melahirkan 10 orang anak juga berdekatan. Alamat dikad pengenalan mak sama dengan sijil kematian mak.


Tiada istilah mak hidup bersendirian. Tiada penunjuk arah mak diabaikan dari hidup sampai mati. Mak tidak dibiarkan hidup berseorangan. Mak bersemadi dihati. Sampai liang lahad, nafsu memang mengatakan mak cantik atas dasar rupanya, akal mengatakan mak juga  cantik atas dasar ilmu dan kebijaksanaannya, dan hati mengatakan mak paling cantik atas dasar akhlaknya.


Tanpa tunjuk ajar sepanjang perjalanan hidup bersama mak dari kecil sehingga dewasa, mana munkin aku dapat belajar makna dihidupkan  ini untuk apa dan untuk siapa.


Hiba hati melihat anak-anak melayu khususnya yang cantik-cantik mengikut tafsiran nasfu yang kulitnya putih selepuk, rupa  cantik menawan, hiasan luaran cantik-cantik belaka, akal berkata tinggi ilmunya namun pada dasar akhlak tiada bezanya dia dengan kuntuman bunga- bunga dedap.


Tidak semua kita dilahirkan cantik rupa. Cantik rupa anugerah. Piala menang semula jadi. Andai hidup berpaksikan cinta,  usia tidak dapat menumbangkan takhta kecantikan. Cantik akal perlu belajar. Cantik akhlak cantik yang perlu dipupuk, disemai, dibaja hingga cantik jadi ampuh.Akhirnya yang  nampak dimata turun kehati, betapa cantiknya ciptaan Dia.


Pernah suatu waktu dahulu, anak gadisku mengadu yang dia malu sebab tak cantik. Kawan-kawannya bukan saja pandai bahkan cantik-cantik belaka. Selalu rasa tersisih oleh teman-teman. Jadi keliru dalam mengejar kejayaan.


Saat itu sampai kepagi kami berdua berlagu seperti puith putih melati, merah, merah delima, siapa yang baik hati pasti diterima. Sambil kami berdua menitiskan airmata dalam memberi makna cantik yang sebenarnya. Membuka minda anak tercinta, bukan cantik dipandang orang.



Alhamdulillah, keesokannya anak nampak ceria. Begitulah hari-hari yang dilaluinya sehinggakan dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, dikelilingi semua teman-teman. Bersyukur padaNya kerana anak menzahirkan segala yang menyesakkan dada ketika sedang meniti usia.


Mak hanya belajar dari persekitaran. Mujurlah aku punya mak yang cantik namun tidak pernah membezakan antara anak-anak yang cantik maupun tidak. Sesungguhnya mak setia bersama yang tidak cantik ini bagi membuktikan cinta tidak mengenal siapa.



Subhanallah. Aku yang sepatutnya berlebih terima kasih pada Mak.  Mak yang tidak jemu membuktikan kekuatan yang ada pada dirinya sukar dicari ganti. Mak tabah dalam senyuman yang sesungguhnya terbukti hidupnya mak untuk apa dan untuk siapa. Hidup ini tidaklah selalu indah tapi yang indah tetap hidup dalam kenangan. Benar kata HAMKA, Tahan menderitai kepahitan hidup sehingga penderitaan menjadi kekayaan adalah bahagia.


 



 








 

Saturday, March 9, 2013

Ratu hatiku

Bondaku
Semalam aku ke pusaramu
Lama sungguh rasanya
hampir 3 purnama
apa gerangan sibuk seharian
sampai aku tidak berkesempatan

Seorangan aku mengemas
Rumput panjang didadamu
Sepohon ditanam terkulai layu
Sampai keakar mati disitu

Aduhai, sedih bukan kepalang
Bukan sedih tiada berteman
Namun sedih mengenang
Nasib kita bila dijemput pulang

Apakah ada yang sudi
mengunjungi sekali sekala
Bila rumput panjang berjela
Aduhai dihati terasa hiba


Apakah ada yang terkenang
Pada kasih yang lama terpendam
Pada sentuhan yang se akan terpadam
Adakah sesiapa yang datang

Namun bondaku,

Aku peduli apa 
jika semua sibuk selalu
Biarkanlah pusaraku
gersang disitu

Asalkan,
aku saja yang diberi peluang
Melawat pusaramu
Saban waktu

Hadiahkan ayat-ayat cinta
Sambil mencuci mata
melihat sunyinya taman pusara
Kemboja berguguran
sambil bertasbih mengganti penyumbang

Bondaku,
pasti bonda tersenyum
kenapa anak ini tidak pernah lupa
saat bonda masih ada
maupun bonda telah tiada

Biarlah rahsia,

Al Fatihah,
khusus buatmu,
buat ayahandaku, 
tidak lupa sampaikan pada kedua mertuaku
juga jiran tetanggamu
Pusara ini
menginsafkan aku







 

Wednesday, March 6, 2013

Antara Rosmah dan Wan Azizah


Gajah bergajah-gajah, pelanduk juga yang mati tersepit. Begitulah diibaratkan pada tragedi yang menimpa tanahair Sabah. Rakyat hanya mampu sedekahkan Al Fatihah pada saudara seagama yang terkorban. Apa nak dikata sudah ditakdirkan kematian dimedan pertempuran. Kita yang hidup sewajarnya menerima pengajaran. PDRM hanya petugas. ATM  dijadikan boneka negara.


Menteri itu yang jadi penyebab. Sayugia kita yang melihat, mendengar dan merasakan keperitan yang ditanggung oleh ahli keluarga mangsa untuk tidak berprasangka pada anggota Polis khususnya. Tangan kita yang menentukan nasib menteri itu masing-masing. Sudah sampai masanya kita berubah kearah yang lebih baik, lebih  terbuka minda untuk memilih siapa yang layak memimpin negara.Antara Rosmah dan Wan Azizah, siapakah yang paling layak.


Benar seperti kata-kata Tok Guru Hj. Salleh Bin Musa. Nak pilih pemimpin, kena lihat dulu latarbelakang mereka. Sudahkah mereka membetulkan keluarga terlebih dahulu, sebelum nak betulkan masyarakat. Katanya lagi, orang sekarang, buat keputusan tanpa nak rujuk pada alim ulamak. Main ikut suka. Bila dah jadi tak menentu, baru kita nak sedar segala kesilapan. Benar tuan guru, macamlah anak-anak sekarang, buat sesuatu ikut pandai sendiri saja, tanpa mengambil pandangan ibu maupun bapa. Keluarga jadi caca marba bila emak dan bapa sendiri tidak kenal amanah masing-masing.


Bila kita sudah berbuat yang terbaik untuk keluarga. Sama-samalah kita pula membantu berganding bahu memilih siapa paling layak memimpin masyarakat kita.. Sewajarnya kita  tidak lagi memilih dikalangan mereka yang gila kuasa. Nak pilih pemimpin kena tengok siapa isteri yang berada disisinya. Isteri yang baik adalah isteri yang memelihara kehormatan suami. Isteri yang tidak mimpikan bulan dan bintang, isteri yang tidak mendera otak suami jauh sekali menjadi diktator sang suami.


Antara Wan Azizah Bt Wan Ismail dan Rosmah Bt Mansor, jauh panggang dari api. Kak Wan bijak, penyantun, cantik,  berilmu duniawi dan ukhrawi, menjadikan Wan Azizah inspirasi kaum wanita, isteri dan juga ibu. Cerdik pandai  masih mengagungkan manusia bernama Rosmah sudah tentu hilang separuh dari akal bistari. Sudah terang lagi bersuluh, kerakusan Rosmah memusnahkan takhta perdana menteri. Mana munkin kita mendidik anak-anak supaya jadi seperti Rosmah. Ibu mana yang sanggup melihat anak-anak perempuan yang sudah tua-tua bangka masih mengerbang rambut macam hantu dalam hutan.


Ibu mana yang sanggup melihat anak-anak perempuan mengikis harta suami sampai licin. Bukan setakat harta suami, harta negara menjadikan si anak mewah berbelanja. Ibu mana yang sanggup membiarkan anak-anak perempuan berhias cantik untuk jadi tontonan awam sedangkan suami diluar dan didalamnya mati kelaparan. Bila tidak mendapat layanan, suami mula beraksi kucing. Pijak semut, semut tak mati. Habis manis, sepah dibuang, terburai badan, nyawa melayang dek angkara suami yang gelap mata.


Najib, Hishamuddin dan Zahid antara tiga menteri yang terlibat antara langsung ke atas insiden di Lahad Datu, Sabah. Latarbelakang masing-masing sudah jelas, mereka tidak layak memimpin keluarga, apatah lagi negara jauhsekali memimpin masyarakat setempat. Pihak ATM dan PDRM menjadi rugi mendapat menteri yang bukan lelaki.


Hanya pada Allah kita berdoa supaya kuasa mereka ditarik balik. Hanya pada Allah kita kembalikan rasa sedih, marah dan benci keatas tindak tanduk mereka yang lidahnya mbercabang tiga. Mereka sudah tidak relevan lagi untuk memerintah. Usia BN sudah cukup tua untuk dibersarakan dalam arena politik. Cukuplah sudah talian hayat anggota kerajaan disambung lagi sehingga mendapat gelaran warga emas. UMNO/BN sudah tua setua warna biru lambang dacing dunia yang tidak pernah adil.. 


Bertambah muak lagi jelek bila memandang bendera UMNO/BN yang dimudakan warna birunya. Jangan cuba memandai-mandai menukar warna bahkan sanggup menipu lagi kerana sesungguhnya pelanduk yang konon bijak selalu lupakan jerat. Jerat biarpun sudah berkarat sama sekali tidak pernah melupakan pelanduk. Jerat setia menanti, sampai masanya umno dijerutkan sampai hujung nyawa..


Al Fatihah pada yang pergi tidak kembali. Kita yang masih ada, jangan lupa tanggungjawab bersama.