Sunday, September 4, 2011

Raya kali ini...

Raya kali ini meletihkan akal dan jasad. Raya kali ini dihabiskan dengan membuta. Tidur sepanjang hari melayan mata sentiasa kuyu, badan jadi lesu. Apakah faktor usia membuat diri sentiasa keletihan atau faktor persekitaran membuatkan jiwa jadi kacau? Wallahualam. Bergambar boleh menipu mata sesiapa sahaja namun hati tak mampu menipu jasad. Hanya dengan tidur dapat melepaskan segala rasa yang meruntun jiwa. Tiada lagi sandiwara semasa.

Berderai airmataku disubuh ini bila terkenangkan suasana malam tadi bila diri ini dimandikan. Dibersihkan seluruh anggota badan. Alhamdulillah....mujur Allah bekalkanku seorang anak perempuan. Penawar qalbu, pengubat sukma, penghibur bersama. Masih tidak terlalu uzur untukku merasakan nikmat anugerah ini. Anak yang sentiasa bersedia memotong kuku mak. Memandikan sambil membersihkan seluruh badan mak tanpa keluh kesah bahkan melakukan dengan rela, dengan gurau senda dan lawak jenaka. Dalam ketawa ria, apalah daya bonda. 

Thank Q Allah for the gifted hand. Sungguh tidak ternilai rasa anugerah Allah. Janganlah meninggalkan anak-anakku walau sekelip mata pun jua, wahai Allah Maha Pemurah, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Raya kali ini raya bermain dengan airmata. Penyatuan sanak saudara yang terpisah hampir suku abad. Dengan kehadiran dia kami berkumpul semua ahli keluarga. Bersatu semula jejak-jejak Qaseh yang sudah lama ditinggalkan. Menangis dan bercerita sambil bergumbira tanpa lagi memikirkan kisah silam menyedihkan. Memandang kelibat anak saudaraku ini tak ubah seperti watak tok wan. Tutur kata yang penuh adab, tingkah laku dan langkah diatur pun seperti tok wan. Alhamdulillah...syukur pada Allah, ibu bapaku tidak mensia-siakan hidup anak yatim ini semasa dalam jagaan mereka dahulu kala. Ternyata anak saudara yang sorang ini berjaya mendidik anak-anaknya dengan baik. Mudah-mudahan anak-anak itu nanti bakal mewarnai dunia warisan berilmu dan beramal. Sayu dihati memandang anak kecil, ada yang sedang meniti usia remaja sudah kehilangan ibu tempat bermanja, tiga bulan yang lalu.

Raya kali ini rasa ralat juga kerana tidak dapat bersembahyang raya walaupun sudah dibelikan puteriku telekung baru untuk bonda. Marah juga pada diri ini yang sudah seperti tidak berdayalah sangat. Sepatutnya hamba berbaik sangka pada Allah. Ada sebabnya bila Dia menjadikanku tidak berdaya pada raya kali ini. Hamba bersyukur kerana masih mampu menziarahi pusara bonda. Menginsafi dan mensyukuri pada rahmat Allah tatkala saban minggu ke hospital mencuci luka. Ramai lagi lebih tidak berdaya, hadir berkerusi roda mencuci luka parah. Ada yang potong jari, potong  kaki  sana sini habuan kencing manis. Ada yang datang mencuci luka dikepala akibat kemalangan, ada luka lama mereka masih bernanah, meninggalkan bau yang kita sendiri tidak mampu bertahan tambahan bila kita sedang berpuasa. Jadi, apalah sangat lukaku yang hanya sedikit, hasil pembedahan kecil kerana kebas jari yang di alami hampir empat tahun. Semua pemandangan menjadi iktibar untuk kita menitikberat tentang kesihatan dan keselamatan diri.

Alhamdulillah...Maha suci Allah yang meringankan segala beban pada raya kali ini.

Petua Dr. Fadzilah Kamsah. Bila kita selalu memaafkan orang, tidur kita senang, hidup kita lapang dan jiwa sentiasa tenang. 


No comments:

Post a Comment