Thursday, March 21, 2013

Pusaka Melayu


' Dulunya gadis melayu sekarang wanita melayu jadi  pusaka orang melayu'


' Siapa bilang gadis melayu tak menawan, tak menarik hati, tiada memikat ..... '


Memperkenalkan Juwita-juwitaku sayang. Termimpi-mimpi wajah menawan. Ibarat bulan nan bergemerlapan. Meruntun qalbu, kekal jadi idaman. Itulah kata-kata sanjungan pada dua insan istimewa. Daripada memiliki biorafi Rosmah Mansor yang tidak membawa pada apa-apa faedah, lebih baik dikesempatan yang ada ini hamba rakamkan kehidupan dua insan yang sedang meniti usia senja namun diraut wajah jelas terpancar rahsia hati sedang bahagia.


Keunggulan cinta dari sinar mata. Dua wanita hebat lagi berjiwa kental ini terkenal dengan kecantikan paras rupa ketika zaman remaja. Bila sudah  dimamah usia, mereka tetap anggun menawan. Wajah mereka yang rupawan membuatkan diri yang serba kekurangan ini selalu rasa terpencil. Selalu menganggap hamba bagaikan gagak dirimba mana kan sama merak kayangan, tak sepadan tak sebaya.


Memperkenalkan yang disebelah kiri Johariah berusia sudah lewat enam puluhan. Masih anggun, sopan dan menawan. Manakala disebelahnya bernama Rohani, cantik, manis, pandai berbahasa, lancar tutur kata. Ramai yang memuja pada kecantikan mereka yang luar biasa bahkan menjadi siulan anak muda pada zaman dahulu kala. Sungguhpun Rohani juga sudah lewat lima puluhan namun kak Ani tetap manis menawan. Bibirnya bak  delima merekah,  sungguh hamba terpesona pada indahnya ciptaan Dia.


Rahsia awet muda kekanda tercinta. Mengabdikan diri pada keluarga hingga hujung nyawa. Mereka bagaikan lilin yang hidupnya untuk membahagiakan orang disekeliling. Jauh disudut hati, tiada siapa yang mengerti apa sebenarnya yang mereka cari. Sukar dimengerti  jika tidak direnung jauh dari matahati. Menyelami akan halusnya budi pekerti, menyimpan segala rahsia rumahtangga, memendam segala derita, yang terpancar hanyalah pengabdian demi kerana Tuhan. Beginilah  jiwa seorang perempuan.


Biarlah persekitaran tidak memahami, namun dalam mencari kebenaran, wajah itulah rahsia. Segala yang terpancar dari wajah itulah yang terbit dari sanubari nan suci. Tidak pernah kenal erti penat, mereka terus berbakti. 


Alhamdulillah takdir penentu segala matlamat. Kita seharusnya bersyukur dihidupkan dari permulaan, diuji dipertengahan, InsyaAllah, dipermudahkan pada kesudahan. Menikmati keselesaan dipenghujung usia hasil penat lelah, jerit perit, menempuh segala dengan kesabaran.


Istimewanya dua wanita melayu ini, paling pakar bab masak memasak. Selain dari air tangan mak, tiada siapa yang dapat menandingi kehebatan keduanya dalam menyediakan masakan khususnya kuih muih melayu jati. Sekali rasa pasti tidak lupa. Siapa saja andai merasa, pasti memuja dan memuji rasa keenakan kuih muih antaranya, seri muka, tepung talam,lopeh dan aneka jenis kuih melayu hasil air tangan keduanya, warisan bondaku sayang. Setiap syawal hamba terkenangkan ketupat mak, ketupat palas mak lemak, liatnya tiada tandingan. Ruginya tidak mewarisi kepandaian mak.

Alhamdulillah bila raya menjelang, adakalanya dapat juga menumpang rasa kesedapan ketupat hasil air tangan kakak.

Mereka berdua berkorban demi keluarga. Mewarisi keunikan bakat masakan melayu untuk santapan seisi keluarga. Pastinya diakui anak-anak sendiri, hasil air  tangan ibu mereka tiadalah tandingan diatas dunia fana ini. Beruntung anak-anak yang dapat menikmati hasil air tangan ibu. Pasti dikenang sepanjang zaman, sampai menutup mata, masakan ibu pengubat segalanya.


Masa muda mereka berkorban segalanya demi suami. Mengabdikan pula hidup pada keluarga. Tidak kenal erti penat. Mereka tabah mengharungi. Tidak seperti hidupnya Rosmah, tidak pernah puas nafsu bergolak. Tidak pernah bersyukur diatas pemberian, malah terus menerus berbelanja macam syaitan. Mengerbang rambut macam hantu dalam hutan, suami tetap tak cukup makan. Apalah ertinya hidup si Hawa jika sekadar memusnahkan usia si Adam. 


Tidak cukupkah peringatan pada kaum Hawa pada nasib Adam yang dicampak keluar dari syurga hasil dorongan nafsunya Hawa. Bila Adam turun kedunia, Adam tidak putus-putus berdoa memohon keampunan dari Allah sambil Adam mencari-cari hilangnya Hawa. Bukankah Hawa juga bertaubat.


Seharusnya kaum Hawa mengambil iktibar pada kisah Adam dan Hawa. Segala kehancuran bermula dengan sikap perempuan yang tidak pernah puas, tamak  lagi merbahaya.


Biografi Rosmah mengukur sejauhmana nafsu bertakhta dihati andai tidak dibendung dengan akal melalui ilmu dan amal. Wajah Rosmah menggerunkan kita umat hawa untuk tunduk mengajar anak-anak agar tidak leka bila hidup sempurna. Berbalik kita mencari kebenaran dengan mengenang air tangan ibu, pemberian semula jadi lagi suci. Ingatlah kita diciptakan untuk memberi, teruskan memberi.


Bersyukur atas pengajaran dari kedua kekanda ini yang setia sampai hujung nyawa. Bersendirian lebih bahagia bila suami yang pergi dulu.Melihat kelebihan anugerah yang diberi pada setiap insan, terasa kerdilnya diri ini dalam memujaMU selalu.


' Seperti lagu P. Ramlee, dimanakan ku cari ganti, serupa denganmu....'










No comments:

Post a Comment