Tuesday, July 2, 2013

Lillahi Ta'ala

Lillahhi Ta'ala. Kerana Allah. Bagaimana belajar makna semuanya kerana Allah.

Masa dulu-dulu tak faham makna. Zaman Jahiliah. Kita kenal cuma mak bapak. Kita hidup untuk berbakti pada mak bapa. Tidak ada siapa yang menceritakan makna hidup kerana Allah.

Dari kecil meningkat dewasa, hanya wajah mak ayah terbayang dimata. Tidak pernah berfikir tentang diri sendiri. Mak bahagia, kita tumpang gumbira. Mak berduka, kita menumpang sengsara. Bezanya mak dulu-dulu tidak merungut letih, tidak pula nampak sakit. Seperti sihat selalu adanya. Agaknya mak malu menyatakan sakit, bimbang anak-anak jadi tak kuat.

Terkadang hiba memikirkan sampainya hati kalian. Pun begitu mak cekal memikul amanah menjadi isteri,menjadi ibu sampai tua.Kalaulah ku tahu mak berbakti kerana Allah...pasti tidak ku biarkan mak sendirian selalu.Jahilnya hamba yang hina.

Mengenang Ramadhan yang datang bertamu tidak lama lagi, terungkai kenangan bersamamu wahai rinduku, ayah dan bondaku sayang. Saat mengejutkan seisi rumah. Menyediakan sahur tanpa sungut. Memastikan bapa berselera untuk bersahur, maklumlah dia kian uzur.

Tidak jugaku tahu bahawa segala khidmat bakti itu kerana Allah. Kalaulah ku tahu pasti ku niatkan, aku buat semua kerana Allah, pasti meraih pahala berlipat ganda. Itulah membezakan antara jahil dengan yang berilmu seperti kamu.

Bila tiba zaman bekerja, tidak juga tahu bahawa hamba bekerja kerana Allah. Setahu hamba yang jahil, sudah diberi kerja, bekerjalah sampai pencen. Persekitaran bekerja memaksaku memilih untuk bersara awal. Cukup service dan layak menerima faedah pencen, hamba undur diri.  Aku kah yang semakin malas atau masakah yang menghambatku keluar demi masa yang terpaksa dilalui  menjadi sia-sia.

Jemu melihat suasana pejabat yang sudah jadi caca marba. Bos turun pangkat, anak buah curi tulang, yang perempuan sibuk berbisik siapa pula menjadi calun untuk tahun ini. Masing-masing berebut mengambil hati. Sibuk mencatur pergerakan gaji tahun depan. Bekerja seperti melepas batuk di tangga. Suka membiarkan orang sekeliling merayu, meminta-minta dicepatkan urusan.  Bukankah sudah menjadi tanggungjawab.

Bukankah seronok bila bekerja dapat mengembirakan semua. Siapa yang lapur diri awal, pastikan gaji diterima menepati masa. Tidak perlulah nak cukupkan tiga bulan kalau kita boleh ikhtiarkan bagi dapat sebulan lepas bekerja. Jangan ada kerenah birokrasi among staff. Kesian pada mangsa. Bayangkan kalau anak-anak kita ditempat mereka. Bagaimana gelisah bila tidak bergaji.Segala tuntutan cuba diselesaikan se awal mungkin, tanpa mengira darjat. Yang dulu kita dahulukan yang kemudian, ikut giliran. Susah sangatkah bila bekerja itu tanda membantu.

Bila bekerja dengan orang awam. Jangan menyusahkan orang awam. Jangan biar mereka merayu-rayu mohon dicepatkan urusan. Siapakah kita untuk memaksa mereka merayu? Siapakah yang membayar gaji kalau bukan duit rakyat jelata. Bukankah melihat orang ramai berpuas hati dengan khidmat kita sudah cukup mententeramkan rasa.

Kalaulah ku tahu tahu masa keluar bekerja pasangkan niat bekerja kerana Allah pasti pahala berlipat ganda.Meminjam kata-kata UAI, ' mana aku tau !'

Apapun disaat kita disayang, dihormat rakan dan lawan, kita mohon bersara cara hormat sebab dah penat. Kita penat memaksa diri. Tidak dapat jadi diri sendiri. Kita berpura-pura bekerja dengan gembira padahal hati menahan marah. Marahnya melihat suasana ofis kian hari kian selesa mereka bercerita..Bertukar keluar bukan dapat menyelesaikan masalah sikap manusia. Masalahnya sikap sendiri yang wajib ditangani. Sikap sebenar yang lebih jahat dari yang suka berpura-pura. Budaya gomen sudah sebati. Dipenuhi onak duri. Baik dimana kita berada, orang gomen rileknya sampai mati.

Lega rasanya terlepas segala beban. Bahagia dapat kembali menjadi diri sendiri. Belum pun mencecah usia 50 hamba berehat sepenuh masa. Bermalas-malas tidak membebankan orang lain. Mencangkul dibelakang rumah. Menyiram selasihku sayang. Menyambung legasi nenek moyang.

Demi masa, sesungguhnya memang manusia dalam kerugian. Berpesan-pesan dalam kebenaran dan dalam kesabaran. Baru ku sedar segalanya entah-entah dibuat kerana Allah. Kalaulah ku tahu....jawapannya masih macam UAI, ' mana aku tau'

Bila kita tidak tahu segalanya dibuat kerana Allah, kita diuji untuk tahu dan untuk kenal siapa kita. SubhanAllah!! Maha suci Allah yang mendengar suara hambaNya mengadu segala penat. Bila sesak dengan kerenah manusia, padaNya jua hamba bercerita. Esok lusanya manusia itu ditukarkan tanpa dia sendiri yang memohon pertukaran. Lucunya bila dia datang mengadu. Mustajab doa bila benar kita dizalimi. 

Apapun "Forgiveness Is The Sweetest Revenge."

Pernah di asak kuat semasa bertugas Di LPKP. Tuhan saja yang tahu betapa siksanya jiwa ini berhadapan dengan kerenah dalaman lebih teruk dari melayan kerenah dari luar. Terima kasih pada Tuan Hj Rahman Ahmad yang kini pengerusi Al Syifa' yang menghadiahkan puluhan lesen pada suami demi mengubat segala dukaku disitu. Beliau menasihatkan untuk bertukar keluar dari LPKP. Dia sendiri tidak faham dengan hasad dengki manusia satu pejabat. Kata Tuan Hj. Ahmad, sekiranya Anwar Ibrahim pun kalau nak lesen lori kena datang kepejabat ini.

Dalam pada itu hati ini tidak pernah puas selagi maruah tidak diangkat semula andai hamba tidak berdosa. Berdoa lagi untuk sesuatu yang lebih istimewa. Memohon pada Allah untuk memilih insan yang mengajarku tentang liku-liku hidup. Mengajarku merendah diri. Punya rasa ehsan yang tinggi. Insan yang hamba kagumi kebaikannya sampai mati. Disayang semua disekeliling.Tidak pernah memikirkan tentang diri sendiri. Bekerja tidak mengira masa. Bapa yang penyayang, suami yang setia hingga hujung nyawa. Menyimpan rahsia duka. Menyembunyikan rahsia hati. Selalu menyanyi menghibur hati.

Hamba berdoa agar Allah letakkan insan mulia ini ditempat Tuan Hj Rahman Bin Ahmad. Mana tahu maruah yang tercalar bisa sembuh bila dia berada disitu. Masa silih berganti, SubhanAllah, doa diangkat mustajab jadinya.

Kian hari kian tunduk padaMu yang tidak meninggalkan, yang tidak melupakan hamba yang tidak berdaya.

Menjelang Ramadhan ini, syukur pada Ilahi yang mengajar hamba makna Lillahhi Ta'ala. Walaupun pada asalnya tak faham makna.

Adakalanya dirasakan diri ini seperti sudah tidak berharga bila dihina. Apapun hamba teruskan hidup demi suami, demi anak-anak dan demi mak yang tidak berdaya. Biar saudara mara, kawan dan taulan memandang rendah. Hamba masih punya sahabat-sahabat setia yang sudi bersama, ada tuan-tuan guru yang sedia membimbing. Istimewanya ada anugerah Cinta yang tidak terbanding. Diberi kesempatan untuk mengutip kemanisan sementara masih bernyawa.

Selagi ada hayat, hamba rakamkan segala kenangan. Disepanjang perjalanan ini Allah temukan dengan hamba-hambaMU yang sedang meniti usia, yang patah hati, yang hilang kemudi dengan seribu satu malam membawa bersama kisah sedih. InsyaAllah masih ada ruang untuk diubati bila mahu belajar dengan pengalaman kisah silam orang yang terlebih dulu makan garam. Inikan pula yang memiliki bahtera garam. Membahagiakan orang sudah seperti berkerjaya semula. Memberikan secubit garam buat perasa mengenal maksud Sentuhan.

Menjelang Ramadhan ini, syukur pada Ilahi yang mengajar hamba makna Lillahi Ta'ala. Walaupun pada asalnya tidak memahami makna namun kini terbukti maksud ' Silence is golden'

Berpesan-pesan dengan kebenaran,

Daripada Aisyah r.a. “Sesiapa yang memasukkan kegembiraan ke dalam keluarga orang Islam, Allah tidak redha balasan untuknya kecuali syurga.”  ( HR At-Thabrani )

Marilah kita merebut peluang 5 perkara menyambut Ramadhan sebelum tibanya 5 perkara.

No comments:

Post a Comment