Showing posts with label Pusaka melayu. Show all posts
Showing posts with label Pusaka melayu. Show all posts

Thursday, November 14, 2013

Salam 10 Muharam

Alhamdulillah kita bersama lagi pada hari Asyura. Hari 10 Muharam. Sejarah Hari Asyura telah menyaksikan banyak peristiwa besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Sempena meraikan hari Asyura kita disunatkan berpuasa. Seeloknya dimulakan pada hari ke sembilan. Info tentang makna dan kelebihan hari Asyura boleh dihayati sepenuhnya hanya dihujung jari.

Apa yang menarik mengikut tradisi orang melayu, bergotong royong memasak bubur asyura. Biarpun ada yang tidak menghiraukan asal usul dari mana bermula sejarah bubur Asyura namun kita bahagia bersepakat mengambil berkat meraikan tanggal 10 Muharam.


Kata mak, bagi mengesahkan tarikh sebenar yang pagi itu adalah pagi 10 Muharam, burung cak rumah pun tidak kedengaran, sunyi sepi tidak berbunyi. Kadang-kadang kata-kata orang lama meninggalkan kesan tanda tanya. Biasanya bila berpagi-pagi akan kedengaran suara burung cak rumah berkicau-kicau. Memang benar sudah berapa kali 10 Muharam disambut, hamba cuba mengamati suara burung ini.  Ternyata, memang sah siddeq, suara burung ini tidak kedengaran. Ironinya mak bilang, burung cak rumah antara bahan hidangan yang dimasukkan  ketika sejarah asyura bermula. Betul atau tidak hanya Allah Penyimpan segala rahsia.Tidak pula terjumpa dalam hadis.

Kita manusia biasa sekadar  bermain dengan teka teki. Apapun kita terus menghayati Asyura sejauh mana meninggalkan kesan pada kita dipenghujung usia.


10 Muharam kali ini. hamba catatkan,  makna besar bagiku setelah hampir 7 tahun bersara awal. Ramai yang membuat andaian, hidup pasti bosan tanpa kerja tanpa pendapatan. Sesungguhnya bersara merehatkan separuh nyawa. Terlepas dari beban tanggung jawab yang tidak pernah habis. Lainlah kalau niat bekerja itu hanya sambil lewa. Setakat bekerja hanya untuk menunggu gaji, lebih baik mati. Tidak membawa apa makna dalam hidup bahkan melantun kemalasan pada anak cucu.Tidak jumpa jalan pulang sampai tua.


Bila dirasakan segala hampir selesai, anak-anak sudah boleh berdikari. Apa salahnya kita undur diri. Mencari ruang untuk diri sendiri. Memberi laluan pada anak-anak muda yang dahagakan pekerjaan. Ternyata tindakan bersara awal memberi keistimewaan luar biasa. Siapa sangka setelah putus hubungan dengan rakan-rakan sekerja, kini tumbuh rakan- rakan tunas baru. Rakan seperjuangan, rakan niaga bahkan paling terkesan muncul saudara-saudara baru. Hubungan ikhlas terjalin tanpa talian darah.


Ada yang menawar diri menjadi anak angkat. Ada sudah selesa memanggil mak. Ada yang menganggap seperti saudara sendiri dan seribu satu macam hubungan begitu indah, begitu akrab. Bahagia bila ada yang menjadikan tempat mereka mengadu, meluahkan apa yang terbuku, meminta khidmat nasihat dan berbagai lagi keperluan khususnya melibatkan rasa jiwa. Diluar sana ramai dahagakan sentuhan. Aduhaaii...


Jalinan ikhlas ini meliputi semua bangsa, semua pangkat tidak kira darjat. Rumah yang dulunya sepi bila anak-anak sudah keluar mengejar impian, kini seringkali ada tamu bertemu janji. Tidak kira doktor perubatan maupun doktor falsafah, jurutera, tidak ketinggalan guru-guru, misi-misi messy, bahkan apa jua bidang hadir membawa seribu satu masalah. Seribu satu kisah duka, kisah rumahtangga sedang mewarnai dunia hamba. Pendek kata macam-macam ada. Seronok juga dipenghujung usia dapat jadi penawar rindu. Ingatkan dihati selalu, aku berbakti kerana Allah. Jika ada pahala dalam bakti ini, hamba hadiahkan pada kedua ibu bapa kita.


Sekadar meninggalkan jejak-jejak kisah kita buat tatapan anak cucu kita. Bila kita yakin pada Allah, insyaAllah ditemukan kita jalan keluar.  Segala kesukaran dimudahkan. Bila sudah melalui jalan berduri, jalan penuh liku, tidak sukar bagi kita melalui jalan lurus bahkan dapat membantu meredakan jiwa-jiwa yang hampir putus asa dengan rahmat Allah. Allah tidak saja-saja menguji hambaNYA. SubhanAllah semakin berat ujian ditempuh semakin dekat kita dengan kasih sayang Allah. Yakin lah pada ayat Al Quran, antaranya,

 “Dan sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut, kelaparan, dan kekurangan harta, hilangnya jiwa, dan sedikitnya buah-buahan…(Al-Baqarah : 155)

Allah tidak memberati ( menguji ) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya….  
 (Al-Baqarah 286)


Dipenghujung usia ini rasa bersyukur diberikan Allah sedikit ilmu. Sebagaimana kita semua maklum ilmu manusia hanyalah seumpama titisan air yang jatuh dari paruh burung berbanding dengan ilmu Allah yang melebihi luas lautan. Dengan izinNya juga dapat di manfaatkan untuk berkongsi, mencurah bakti. Hamba rakamkan tanda kenangan buat anak cucu sambil berpesan-pesan pada kebenaran. Online selalu dengan Allah, insyaAllah doa mustajab. Bersuara dengan mata, melihat melalui jiwa, insyaAllah masin mulut bila kurang berkata pada sia-sia.



Antara yang terkesan, kisah sebuah rumahtangga. Pasangan berkahwin sudah lama. Hampir 6 tahun masih belum dikurniakan cahaya mata. Suami sudah disahkan doktor tidak ada sperm. Seumpama mandullah dia. Miang pun bukan main bagi menutup keaiban sendiri. Isteri tetap sabar menanti. Hanya melalui sentuhan, ditambah doa mustajab, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Bila Allah hendakkan sesuatu itu terjadi, maka jadilah ia. Bila isteri sudah disahkan mengandung, dengan sendiri mententeramkan suami. Alhamdulillah, lahirlah sudah bayi perempuan sihat lagi comel bahkan sesuatu yang luar biasa, bayi ini lahir sudah tumbuh gigi bawah dua batang. Doktor sendiri mengaku tidak pernah jumpa kes seperti dia. Tahniah pada isteri dan Zahrin bukan nama sebenar.




Lagu jiwa menyentuh rasa sempena Hari Asyura.












Wednesday, May 1, 2013

Hancur badan dikandung tanah....

 


Al Fatihah pada yang mendahuli. Kita yang tinggal buatlah sesuatu untuk peninggalan anak-anak cucu. Ini kalilah. Jom ubah. Sempena cuti hari buruh, jadikan hari buruh hari rakyat jadi tuan.

Monday, April 16, 2012

Dua Wajah Orang Lama

Kata Pak Samad Said ' saya tak nak mati sia2 '. Sekurang2 Pak Samad bersedia turun takhta demi anak2 bangsa. Jasa laungan Pak Samad dikenang oleh anak2 cucu hingga seribu tahun biar seribu zaman. Hingga akhir nanti terpahat jadi sejarah.



Pak Samad dan Tuan Guru Nik Aziz adalah antara dua tokoh ilmuwan melayu sejati. Raut wajah nampak tenang tapi hampa. Wajah yang bisa menggamit jiwa untuk kembali tunduk setelah sekian lama bermaharajalela. Meskipun nampak tenang, luka terpendam  semakin dalam. Wajah kasihankan anak2 cucu yang bakal ditinggalkan.


Mereka hadir untuk kita, dizaman kita yang semakin luka. Terharu melihat Pak Samad bersama anak muda dikala jam sudah 3 pagi masih segar didataran. Tersentuh hati melihat gambar2 tuan guru yang menikmati hidangan hanya duduk dikerusi plastik.


Siapa kita kalau nak dibandingkan dengan dua insan yang dimuliakan Tuhan. Teringat kembali pantun lama antaranya,


Pulau pandan jauh ketengah, gunung daik bercabang tiga,
hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga.

Pisang emas bawa belayar, masak sebiji di atas peti.
Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.


Budi luhur keduanya menjadi obor bagi anak2 muda, menghangatkan Mahathir dan konco2nya.


Seharusnya kita meninggalkan sesuatu, tanda buah tangan untuk anak cucu.Semangat juang untuk kembali bersuara ketika semangat mereka diperlukan. Kemampuan jati diri keduanya untuk menjadi insan sejati,ternama didunia, muliana diakhirat.Mendidik hati bagaimana menempatkan diri untuk jadi manusia tenang ketika dipuncak. Dalam tenang pula jangan disangka tidak ada buaya. Sampai masa biar dimamah usia, asalkan mengikut sunnah, yang salah tetap bersalah.


Jangan rapuh pegangan, Jangan bermuka2, Jangan berbuat janji, Jangan jadi pondan.


Sudah jauh perjalanan Pak samad dan tuan guru Nik Aziz dan sudah lama mesej mereka bergema. Membara dijiwa membakar semangat kita. Sama2lah kita panjatkan doa agar apa yang jadi idaman ke dua tokoh bangsa ini menjadi kenyataan hendaknya. Ameen....


Termotivasi dek perjuangan mereka laluku rakamkan rasa sempurna melalui ukiran dua wajah bertakhta dihati.

Thursday, July 7, 2011

Pejuang Negarawan

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

Meminjam kata2 Pak Samad,  " Seseorang seniman mesti ada hak untuk berpihak. ( Jika tidak ) Itu bukan sasterawan, itu kuasawan. Dalam kehidupan kita juga harus membijaksanakan orang. Apa lagi kalau ada kekejaman2 yang sudah mula agak membesar "

Friday, June 10, 2011

Pustaka warisan



Hari ini hari Jumaat. Bonda pesan " ikhlas tu kalis-setan "

- Hasnul J. Saidon-

Wednesday, June 8, 2011

Masterpiece




 Ibuku ~ Usman Awang

IBUKU mempunyai seribu mimpi
Yang dipikulnya tiap hari
Sambil menimangku ia pun menyanyi:
Timang tinggi-tinggi,
Dapur tak berasap,
Bila besar nanti,
Jangan masuk lokap.

Ibuku tidak mengenal buku dan sekolah
Tiap pagi terbongkok-bongkok di lumpur sawah
Menggaru betisnya yang dikerumuni lintah.
Hatinya selalu teringat
Suaminya yang mati melarat
Setelah dikerumuni lintah darat

Ibuku tangannya kasar berbelulang
Mengangkat bata-bata bangunan
Wajahnya dibedaki debu berterbangan.
Ibu tidak pernah mengenal supermarket
Tinggal di bilik sempit
Upahnya buruhnya sangat sedikit

Ibuku tidak punya TV
Tidak berpeluang pula menontonnya
Tak pernah mengikuti laporan parlimen
Atau ceramah bagaimana menambah jumlah penduduk
Tidak pula tahu adanya forum kemiskinan
Atau pertunjukan masak-masakan
Dengan resepi yang sangat menakjubkan

Ibuku setiap pagi berulang ke kilang
Bekerja dengan tekun hingga ke malam
Mikroskop itu menusuk matanya dengan kejam
kaburlah mata ibu diselaputi logam

Ibuku tidak tahu tentang hak asasi
Apalagi tentang seni dan puisi.
Jika ditanya makna melabur
Nama-nama saham yang menjanjikan makmur
Atau tentang dasar pandang ke timur,
Ibu tersenyum menunjukkan mangkuk bubur
Yang melimpah kanji beras hancur

O ibuku sayang
Di negerimu kau menumpang.
Sesekali kudengar ibu menyanyi
Pantun tradisi caranya sendiri:
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
Tak boleh jadi menteri

Tetamu senja- A. Samad Said

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

Wednesday, October 6, 2010

Ali Bin Musa

Lipatan sirah para sahabat, Ali Bin Abi Talib k.w.h adalah di antara sahabat baginda yang dijamin syurga. Kanak2 pertama dan termuda memeluk Islam. Ali  merupakan sepupu baginda Rasullullah s.a.w. Saiyidina Ali dikahwinkan dengan Fatimah az zahra puteri baginda Rasulullah. Kerana kemiskinan, .tidur Fatimah hanya berbantalkan lengan Ali. Kesabaran Fatimah dikuatkan dengan pesanan dan petua dari ayahanda tercinta bagaimana membina kekuatan dalaman dalam membantu meringankan beban suami, antara sahabat yang paling dicintai baginda Rasulullah s.a.w.

Ibu Ali bin Abi Talib bernama Fatima bt Asad dan setelah kematian isteri tercinta, Fatimah az zahra. Ali berkahwin dengan Fatima binti Hizam al Qilabbiya. Betapa nama Fatimah seperti sudah sebati dalam jiwa, ruh dan jasad Ali.

Sayang seribu kali sayang sejarah Ali Bin Musa tidak mampu mencontohi teladan sahabat baginda. Sekadar  menumpang nama. Nama Ali bin Musa memang nama sebenar. Lahir lebih seratus tahun yang lalu. Ali Bin Musa berkahwin dengan Fatimah dan perkahwinan mereka di akhiri dengan bertalak tiga setelah di kurniakan tiga cahaya mata perempuan.

Kebarangkalian Ali bin Musa  tidak ditemukan titik keserasian bersama Fatimah lalu diceraikan Fatimah dengan kuasa mutlak talak tiga. Bergegar Arasy mengundang kemurkaan yang Maha Suci.

Jodoh pertemuan ketentuan termaktub. Bila ingin merujuk semula di atas keterlanjuran kata...pintu hati  Fatimah ditutupkan biarpun ada kaedah menggunakan khidmat cina buta. Fatimah berdiam seribu bahasa sampai hujung nyawa.

Berkerat rotan, berpatah arang. Bagi Fatimah...berani kerana benar, takut kerana salah dan ingatlah  pesan  Fatimah pada anak2 cucu orang2 melayu,

" pahit jangan terus di buang, manis jangan terus ditelan "

 Itulah Fatimah Sri Kandi Malaya. Bagi Fatimah.

' When i walk, i walk with dignity. When i speak i do not lie.'

Sejarah Ali bin Musa, insan tegas tapi sayang kurang sabar, semasa mudanya mengembara bersama Fatimah dan anak bongsunya bersusah payah mengharung hidup bersama, menimba ilmu berniaga sampai ke Haatyai, Siam. Berpeluang  membuka restoran dirantau orang lalu pulang ke kampung  laman membawa  kekayaan bagi memakmurkan tanah pusaka  melayu. Tanda kekayaan, Ali membuka ladang yang luas dikampung, Bagi membantu mengawasi ladang dari di ceroboh, Ali menggunakan khidmat haiwan yang taat dan patuh pada tuannya iaitu se ekor anjing garang yang di gelar dengan panggilan;

' come on '

Bila ada sesuatu yang mencurigakan berlaku anak2 Ali selalu menjerit memanggil come on ! come on! come on!

Begitulah antara cebisan kisah Ali Bin Musa. Barangkali Ali inginkan anak lelaki untuk mewarisi harta pusaka dunia milik Ali. Maka ketika itu berlakulah perang Fisabilillah antara Ali dan Fatimah.
Ali juga seorang guru agama. Ali menunaikan  haji pada zaman dahulu  dengan kapal layar. Belayar berbulan2 meredah gelombang. Tatkala kota mekah masih sunyi...Ali sujud mengabdikan diri penuh kehambaan.

Sayang semuanya sudah terlambat, Ali tidak dibekalkan waris lelaki meskipun Ali beristeri baru.

Antara Episod luka, sampai hati Ali menceraikan Fatimah dengan talak tiga.

Come on Ali, be gentle!

Al Fatihah kepada yang mendahului.

Untuk membawa nama2 indah dalam sirah bukan satu perkara yang boleh diambil mudah. Alangkah beruntungnya anak2 muda zaman ini jika ada yang bernama Ali . Pastinya yang memiliki nama2 hebat sudah melalui ranjau berduri, diuji dan diuji sehingga adakalanya menemui jalan buntu. Warisan nama2 klasik ini jangan sekali2 dilupakan jika benar kita kenal siapa kita bangsa Melayu. Kalau Cina Islam samasekali tidak akan meninggalkan nama keturunan cina  inikan pula kita anak2 melayu yang terang lagi bersuluh lambang kekuatan melayu terletak pada nama.

Tambahan pula atas kesedaran Jabatan Pendaftaran Negara, ejaan bagi nama2 hebat yang di awalkan dengan Muhammad atau nama yang dimulakan dengan Nur telah diselaraskan ejaannya bagi memudahkan segala urusan dunia dan harapan ibu bapa bersandarkan nama Muhammad dapat membantu memudahkan  urusan disana.

Carilah nama mudah tapi indah untuk mummy dan daddy memotivasikan diri sendiri.

Ali ! Ali ! Ali ! Usah disingkatkan lagi nama Ali. Mudah2an ada cucu2ku yang dinamakan Muhammad Ali.

Fatimah bukanlah sesuatu nama yang diminati untuk anak2 zaman ini tetapi bersandarkan sirah, sesungguhnya terlalu istimewa nama Fatimah disisi Allah s.w.t. Betapa eratnya hubungan Ali dan Fatimah  seperti kaedah tiga dalam satu.

Cinta orang2 melayu ramai yang tak kesampaian. Anggaplah semua itu satu mimpi indah yang didatangkan hanya untuk menguji.  Mengenal cinta sejati, carilah cinta dalam diri sendiri. Terbit satu rasa, dalam dua jasad, dua jiwa dicantumkan dalam satu nyawa mampu  melahirkan gerak hati yang sama.

Tanda wujud keserasian ruh yang asalnya suci.

Carilah cinta dalam ruh Fatimah untuk kita mengenal diri..siapa kita disisi hambaNya. Tidak mustahil untuk generasi akan datang merindui ehsan Fatimah.

Masakan tercipta lagu oh Fatimah kalau tiada sejarah indah.

' Tak akan melayu hilang didunia '

Oh Fatimah

Oh Mas Ayu Fatimah nan ayu
Parasnya indah suara merdu
Senyum membawa hati rindu
Buat jiwa bimbang ragu

Oh Fatimah gadis Palembang
Pinggangnya ramping leher jinjang
Pakainya cantik istimewa
Budi bahasa sungguh indah

Oh Fatimah gadis ayu
Indah sungguh parasmu Mas Ayu
Kasih mesramu menawanku
Membelai harapanku

Oh Fatimah gadis manja
Membawa hatiku yang mesra
Bilakah masa kan bersua
Rasa cinta hidup ria

Monday, June 28, 2010

A. SAMAD SAID


Terjaga dari lena yang panjang, hamba dikejutkan dengan empat patah perkataan;

' Patah sayap terbang jua '

Itukan tajuk novel Pak Samad!

Hamba bukanlah peminat novel jadi tak pernah teringat untuk menyentuh novel ini apatah lagi untuk membacanya tapi hamba tetap kenal siapa itu Pak Samad dan empat patah perkataan itu telah di ilhamkan menjadi novel terkemuka pada Tokoh Wartawan Negara Allahyarham A. Samad Ismail - Al Fatihah

Mungkin agaknya terbawa2 kisah rajuknya Sasterawan Negara A. Samad Said semalam dalam suratkabar. Entahlah!. Memang sudah lumrah orang melayu berterima kasih pada manusia setelah mati. Setelah mati pandai pula mereka menghitung satu persatu segala lagenda seni, budi dan jasa insan yang pernah berjuang memartabatkan bahasa jiwa bangsa. Diberi gelaran tertinggi setelah mati padahal yang tinggal tak seorang pun dapat menandingi berbanding dengan orang2 cina yang sudah di awal kurun meletakkan asas matlamat bangsa.

Rajuk Pak Samad rajuk bermakna,
pada bangsa dan juga negara.
Bila Pak Samad hilang dari dunia,
apa lagi yang orang melayu ada?

Rajuk Pak Samad banyak faedahnya. Ada lebih baik khazanah luhur Pak Samad beristirehat di negara yang kaya dengan kebersihan alam semula jadi. Bila rindu datang melanda tak mustahil anak2 melayu yang berjiwa Pak Samad berkorban mengembara mencari tinta Pak Samad disana.

Terhibur rasa hati bila terkenangkan senyuman Pak Samad yang penuh makna dalam melahirkan sua rasanya tentang Cinta lalu dia gubah puisi indah:

Untuk Mesraku

Didalam hati melimpah rasa
ada sayang untukmu, mesraku.
Rasalah kemesraan suara manja
merayap lembut memeluk kalbumu.

Di seberang selat sayangku ada,
terlalu manja mendalam rasanya,
Sakti apa, ya, padamu
membawa manja rindumu selalu

Pada bintang menggetar tenang
selalu benar kutumpang tanya
"Rindukah dara padaku sorang
kelana hina dirimba lara?"

Kadang bintang mengejek padaku
dan lokek pula memberi jawapan,
lalu luluhlah harapan kalbu
sepilah, hampalah, laralah badan!

Kadang bintang bertimbang rasa,
disela senyum lekas dijawabnya;
" Usahlah susah duhai teruna
kasih si dara padamu sahaja!"

Kabar manakah yang padat benar
kasihkah, mesrakah, atau bencikah?
Di seluruh jiwa bimbang menjalar
dalam merindu jawapannya.

A. Samad Said
Singapura 11 Ogos 1955

Meminjam kata2 Pak Samad semalam didada akhbar berita harian;

' Kata Luhur dalam pameran ini membawa maksud jujur dan ia penting dalam seni termasuk setiap tindakan dan sikap seseorang."

Sunday, May 30, 2010

' Aku nak hidup 1000 tahun lagi'

Kata2 hikmat peninggalan insan seni yang sukar dicari ganti.

Kelmarin 29 Mei, genap 37 tahun P.Ramlee bersemadi. Biarpun jasad dimamah bumi, P. Ramlee seperti tidak pernah meninggalkan orang2 melayu yang setia pada cinta.Khazanah P. Ramlee diulang2 dari zaman ke zaman...dari zaman hitam putih, zaman umno, zaman Pakatan Rakyat...pendek kata menyentuh cerita2 P.Ramlee seakan menyatukan rumpun2 melayu.

Hebatnya P.Ramlee berdakwah cara seni yang tersendiri. Dalam usia muda bagi lelaki yang hidup bermula ketika 40 tahun. P. Ramlee dijemput pulang cara hormat ketika meniti usia 44. Betapa empat puluh empat memberi makna yang luas pada yang mahu belajar dan memerhati.

P.Ramlee tidak diberi usia subsidi oleh Allah. Perjuangan P.Ramlee memertabatkan seni bukan untuk wang ringgit, seni untuk masyarakat meletakkan P. Ramlee seakan tidak berdosa bila bertemu Allah nanti. P. Ramlee mendidik jiwa bangsa jadi mulia.
Maha suci Allah yang Maha Lembut lagi Maha Penyantun menganugerahkan kami insan terulung yang memberi dengan keseronokan...membelai dalam lagu...mendidik dalam lakunan...mensyukuri insan2 tersayang....berdakwah dengan seni yang di ilhamkan oleh para2 malaikat kiriman Allah.

Hamba berdoa agar roh seniman ini dicucuri rahmat ditempatkan bersama orang2 beriman serta mendapat kedudukan yang tinggi disisiMU wahai Allah yang Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.
Andai hamba dipanjangkan umur akan hamba khususkan amalan untukmu bagi membawamu ke syurga bersama kedua2 ibu bapaku dan insan2 yang mengajar aku mengenal cinta tulus.

Baru ku tahu P.Ramlee berazam nak masuk politik dan disatu hari nanti bercita2 nak jadi menteri kebudayaan. Perkataan yang keluar dari mulut orang ikhlas sebenarnya hikmat dan pasti terjadi. Satu masa nanti, tentu menteri kebudayaan mempunyai ciri2 yang ada seperti P.Ramlee...Amin.

Bila UMNO ditumbangkan tak mustahil perkara ini berlaku. Teringat kata guru yang paling aku sanjung.

Andai dia diberi kuasa untuk menemuduga orang, dia akan memberikan pilihan kerja2 apa yang orang tu minat. Kalau orang tu suka membaca, dia nak letakkan di perpustakaan negara, jika seseorang suka menari, tempat yang sesuai di kementerian kebudayaan dan begitulah seterusnya mengikut keselesaan masing2.

Paling menarik jika jawatanyang dipohon hanya office boy...dia akan membawa mereka ke padang bola. Memberikan sebiji bola untuk diuji dengan kemahiran bermain bola. Ternyata jawatan tersebut walaupun peranannya kecil, kekuatan sesebuah organisasi kerajaan bergantung pada kekuatan pasukan bola.

Hanya orang2 yang kaki bola khususnya orang-orang bersukan kurang berminat main rasuah...berpendirian teguh dengan semangat juang tinggi. Sayangnya kerajaan umno punah ranah bila office boy dijadikan kuda tunggangan bos dan ada yang jadi tali barut bos dan ada yang seperti pecacai angkat najis.

Mudah2an Pakatan baru dapat merobah rencana jahat orang2 kerajaan yang malas bekerja supaya kembalikan seni dan maruah bangsa melayu,bekerja dengan ikhlas kerana memegang amanah rakyat. Gaji yang ada sudah cukup menyumbang untuk keluarga lahir dari amalan berkat masa bekerja.

Orang melayu berjiwa seni. Orang seni mulia peribadi. Orang melayu tak layak berniaga kalau dicampurkan dengan muslihat tipu daya. Hilang berkat. Berbakti pada masyarakat sudah tentu ditinggkatkan ilham dari para malaikat.

Al Fatihah untuk P. Ramlee dan insan2 yang telah lama pergi meninggalkan kita maupun yang baru disemadikan sebentar tadi.

Wednesday, January 13, 2010

HablumminAllah dan Hablumminannas

Kita tidak payah susah-susah mengukur hubungan seseorang tu dengan Allah. Sebesar manapun serban dia dan selabuh manapun hijab, hanya Allah saja yang tahu hubungan hamba dengan Khaliq. Yang penting, ukur baju dibadan sendiri terlebih dahulu.

Tanda-tanda keikhlasan keintiman kita dengan Allah, adalah sejauhmana keikhlasan kita berbaiksangka sesama manusia.

Kita senang sekali berkawan dengan orang yang free hair,yang bertudung litup, yang cakap lain bahasa, yang putih dan yang hitam pun senang berkawan dengan kita.

Selami hati budi, kita kenal kawan dan lawan. Kenapa dia jadi begitu kenapa dia jadi begini. Terima mereka seadanya. Kita kongsi duka lara. Kunjungi guru menimba ilmu. Ziarah orang sakit buat kita insaf. Jalinkan hubungan baik bersama anak-anak kecil. yang tua maupun yang muda. Kita kutip ilmu dimana saja demi memantapkan hubungan kita dengan Allah...

Bila ruh kuat, jasad ceria dan bahagia. Kenali diri dengan rasa rendah hati, akan tersingkap rasa cinta pada yang mahu mengerti makna makrifatullah.

Hiasi diri dengan senyuman. Kiyai dari Indon berkata dia belajar senyum selama 6 bulan untuk mendapatkan impak pada senyuman dari Qalbu.

Bila kita berbaik sangka, kita temui jalan bahagia. Tuba yang dihantar, kita balas dengan senyuman. Yakinlah harimau juga boleh dijinakkan. Sujud syukur tanda terima kasih atas nikmat yang terpilih.

Islam indah kalau kita jadikan mudah. Tidak payah nak pening kepala kalau orang tu tidak bertudung, tidak berjubah, tak berserban. InsyaAllah sampai hidayah nanti, dia lebih alim dari kita yang asyik tidak berpuas hati  dengan rahmat yang Allah beri.

Bimbang jadi cerita seperti kisah penglipur lara Awang tak de tangan.

Nanti kita balik nanti tangan kosong.

Sewaktu singgah di Insaniah, kedengaran suara perempuan mengilai ketawa, bersenda riuh rendah, hiruk pikuk, macam dirasuk. Jangan diukur manusia melalui hijab.

Dalam Ihya' 'Ulumiddin Imam Al Ghazali;

Ada 4 sifat yang dapat mengangkat seseorang ke darjat tertinggi meskipun kurang amal dan ilmunya;
1) Sifat Penyantun
2) Rendah Hati
3) Pemurah
4) Elok budi pekerti

Tercipta keindahan budi bilamana 4 syarat ini terkendali;
1) Daya ilmu
2) Kekuatan mengendalikan amarah
3) Kekuatan mengendalikan nafsu
4) Tenaga untuk seimbangkan ketiga2 sifat tersebut

Budi pekerti baik juga mengalami kehancuran kerana pekerti manusia ada 4 jenis
1) Pekerti Syaitan
2) Pekerti haiwan
3) Pekerti binatang buas
4) Pekerti Malaikat

Terdapat 4 unsur dalam tubuh manusia;
1) Unsur anjing
2) Unsur babi
3) Unsur Syaitan
4) Unsur Malaikat

Ada 4 sendi2 akhlak bagi meletakkan unsur2 dalam tubuh mengikut landasan yang betul;
1) Hikmat atau kebijaksanaan
2) Keberanian
3) Kelapangan Dada
4) Keadilan

Manusia diperintahkan untuk menyingkap kegelapan kebodohan dengan cahaya fikiran.
Tidak seorang pun boleh mencapai darjat setinggi dan sempurna Nabi S.A.W. Cukuplah bila insan dapat mengikuti jejak Qaseh Baginda dan memiliki keperibadian seumpama para isteri dan khalifah baginda.

Hakikat perempuan berakal satu dan bernafsu sembilan adalah bilamana perempuan boleh melakukan apa saja sehingga menggoncang dunia. Bila hakikat ini dijadikan ilmu makrifat akan lahirlah perempuan seperti peribadi Omar Al Khattab. Istilah sekarang bahasanya gender.

Seperti kata baginda Nabi pada Omar;

' Demi Tuhan yang diriku ini berada ditanganNya...bila iblis sekalipun yang menjumpaimu, disuatu jalan pastilah dia lari tercirit birit ke jalan lain untuk menghindarkan diri darimu.'

Ketika Fatimah mengadu pada ayahandanya kerana penat seharian bekerja tanpa pembantu...lalu diajar baginda zikir bagi membina kekuatan pada Fatimah.

' Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman diantaramu dan orang2 yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat .'

( Al Mujaadilah: 11 )

' Dan menahan diri dari keinginanan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal (nya).'

( An Naazi'at: 40-41 )

Sabda Nabi S.A.W.

' Sesungguhnya kamu semua tidak dapat mempergauli para manusia itu hanya dengan hartamu saja, maka pergaulilah mereka itu dengan wajah yang berseri2 serta baiknya budi pekerti'

Saturday, November 14, 2009

Kepala Ilmu Orang Melayu

Aku suka bangat bercerita pasal nama. Aku yakin benar pada nama dan kekuatan yang ada dalam nama.

Melihat nama orang Indonesia beralun2 dan adakalanya melambangkan bunga dan mentafsirkan alam sampai jadi haru biru nak menyebutnya.

Berbanding dengan bangsa melayu yang ada kelebihan dalam menamakan anak. Bangsa melayu cukup sinonim dalam menamakan anak mengikut Sirah. Mengikut sejarah para ambiyak. Sayang semakin hari semakin pupus nama-nama hebat.

Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama.
Nama hebat seperti nama para para sahabat baginda Rasullullah hanya tinggal menjadi ukiran nama masjid seperti masjid seperti masjid saiyidana Abu Bakar, Osman, Omar dan Ali.

Betapa orang-orang dulu menamakan anak Isa, Musa, Daud, Sulaiman, Yunus, Zakaria dan ramai lagi mengikut nama 25 nabi terbukti meninggalkan kesan pada penama.

Dinamakan anak seperti, Siti Khadijah, Aishah, Fatimah, Zainab, Siti Hajar dan ramai lagi nama-nama indah peninggalan zaman baginda penghulu segala nabi.

Kembalikanlah nama Ali, Omar, Fatimah, Khadijah dan seumpamanya bagi mengangkat semula darjat orang melayu dengan mengambil berkat nama-nama pejuang sejarah Islam. Lambang kekuatan bagi mengalahkan tentera iblis dan syaitan sekuat nama seperti nama Umar r.a.

Anak-anak zaman siber  sedang berperang..bukan dengan musuh yang nyata tapi kekal berada dalam diri manusia. Meyusuri pembuluh darah.Bertopengkan badan dan nyawa. tidak nampak dimata bertakhta dihati.

Bila nama Umar di sebut pasti menggerunkan bagi yang mengenali siapakah itu Umar.

Bertanya pada hati, apakah nama kita, atau bapa kita atau nama datuk dan nenek kita ada terdapat dalam sirah junjungan.

Jika ada, benar sungguh mereka orang terdahulu antara orang  mengaji.

Jangan ditunggu lagi wahai anak cucuku sayang. Kembalikanlah nama hebat pada yang hak.