Tuesday, June 22, 2010

Blog Cinta, Airmata dan Cita2


Hari ini genap setahun Blog Gubahan Qaseh Bonda melayari alam maya. Bersyukur hamba pada yang Esa, diberi peluang meneruskan catatan perjalanan untuk berkongsi rasa. Pada anak-anak diluar sana, tidak lupa pada pengunjung yang sudi meluangkan waktu, pada yang tiba-tiba terjah tak menentu dan pada yang sudi mengintaiku dicelah pelangi, Qaseh Bonda merakam rasa penghargaan dan Salam Qaseh Bonda!

   
Pada Qaseh yang sedia tercipta, Qaseh Bonda amat menghargai kemunculan kalian, cukup memberikan sokongan untuk mencari dan terus mencari catatan lama yang masih terpendam nun didasar hati.

Sempena ulangtahun pertama, Gubahan Qaseh bonda mengalu-alukan kunjungan mesra.Tanda jambatan sudah terbina merentasi dunia tanpa sempadan. Harapan hamba agar diberi kesihatan lebih baik bagi memanfaatkan diary online untuk tatapan seantero dunia. Kehadiran pengunjung dari luar negara membikin hati  bergelora menyingkap semula kenangan silam andai boleh dijadikan teladan.

Hidup ini cuma perjalanan bukan destinasi. Diciptakan insan untuk memberi bukan mengambil. Disepanjang jalan kenangan boleh digubah menjadi lagu. Dalam lagu, ada cinta. Dalam cinta ada mahligai.

Sambil berteduh melepaskan dahaga, merehatkan minda, kita berpantun dan berseloka. Kita bagaikan pengembara. Meniti tangga-tangga impian, sambil menitip pesanan orang tua dahulu kala, berguru pada yang mampu memberi tanpa balas. Berpesan-pesan dalam kebaikan. Dalam kesabaran  demi mengejar  masa. Begitulah hidup diumpamakan. Dilahirkan, kemudian bertatih, mula berjalan lalu jatuh. Luka sana sini sudah menjadi adat. Adat  mendirikan insan. Insan tegar, alah bisa tegal biasa.

Seperti tidak mahu melepaskan hari ini hari Selasa. Hari Nostalgia. Hari mengajar hamba erti ketabahan. Ditinggal pergi buat selama-lamanya setelah hampir setengah abad menumpang Qaseh Bonda.

Wahai bondaku sayang, tinggallah hamba dalam kelemasan.Biarlah hamba jadi penyambung warisan, membela nasibmu yang bernama ibu.

Salam Qaseh Bonda.








No comments:

Post a Comment